Pengikut Boyzzonne

Thursday, July 26, 2012

Cendol durian jadi sumber rezeki - Rm90,000 sebulan jual Cendol


Perniagaan sememangnya menjanjikan pulangan lumayan sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud sembilan persepuluh rezeki dalam daripada perniagaan.
Bagaimanapun, bukan semua yang menceburi perniagaan itu mencatat kejayaan mudah. Sebabnya, ramai yang terpaksa berhempas pulas menempuh pelbagai
cabaran sebelum bergelar usahawan atau peniaga yang berjaya.

Apabila berjaya, timbul pula rasa ingin menceburi bidang baru yang kononnya menjanjikan pulangan berlipat kali ganda.
Itulah antara sekelumit pengalaman yang dilalui oleh Borhan Salikon, 44, yang kini mengusahakan perniagaan cendol durian di Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor.

"Saya dahulu kategori orang senang. Semuanya berkat cendol. Saya mampu memiliki kereta berjenama, ada lori dan mendiami rumah yang selesa.

"Pendapatan saya ada kalanya mencecah RM500 sehari. Namun, siapa sangka saya akan menjadi penerima zakat," katanya membuka bicara.
Masih terbayang di wajah Borhan di mana pada tahun 2005 beliau dipengaruhi kawan-kawan menukar haluan bisnes. Kata mereka, berniaga cendol tidak menguntungkan.

"Mereka mengajak saya menceburi pernigaan kayu balak, jongkong emas dan kayu getah. Dek kerana terpengaruh, saya merubah haluan dan tanpa sedar itulah titik permulaan kejatuhan saya dalam dunia perniagaan," jelasnya.

Benar, dunia perniagaan bukanlah perkara mainan. Kesilapan menghitung, mengakibatkan rugi yang tidak tertanggung. Borhan sudah merasainya.
Lalu, pada tahun 2007, dia tegar membuat keputusan. Bersama isteri dan lapan anak, Borhan meninggalkan Kuala Selangor mencuba nasib di Kuala Lumpur.
"Daripada tinggal di rumah besar, akhirnya di bilik kecil saya terdampar. Saya gagahkan diri, justeru kehidupan sebelum itu amat menjerakan.

"Manalah tahu di Kuala Lumpur saya mampu mencari titik permulaan baharu. Dalam kesempitan itulah, anak-anak saya juga telah tidak bersekolah selama setengah tahun. Bahkan saya pernah tidak membayar zakat fitrah, kerana sudah tidak mampu," katanya.
Tidak lagi betah mendiami bilik kecil di Kuala Lumpur, Borhan mengubah arah. Kali ini, beliau membawa keluarga berpindah ke Gombak. Alhamdulillah, di situ beliau bertemu 'pintu' yang membuka jalan untuk kembali bernafas dengan lega. Semuanya bermula apabila pada suatu hari, saya dikunjungi wartawan sebuah akhbar.

Mereka memang aktif mencari orang susah. Melalui akhbar berkenaan, kesusahan saya dipaparkan. Ia akhirnya membawa kepada pertemuan dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Tanpa disangka, LZS benar-benar membukakan serelung cahaya perubahan buat diri saya. Apatah lagi, saya sendiri tidak berniat untuk terus menjadi penerima.

"Bagi saya, bakat dan kebolehan serta pengalaman berniaga cendol selama 15 tahun sebelum ini adalah sesuatu yang amat berharga untuk dipersiakan begitu sahaja. Saya mahu mencuba nasib berniaga lagi dan LZS memberikan jalannya," kata Borhan.

Anak-anak kembali bersekolah

Di Gombak, kehidupan Borhan sekeluarga semakin baik. Anak-anaknya yang pernah keciciran sekolah selama enam bulan kembali bersekolah. LZS turut menyediakan pelbagai bantuan, seperti bantuan pendidikan, hari raya dan terutamanya bantuan kewangan bulanan buat beliau sekeluarga.
Malah, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut turun padang menghulurkan bantuan bulanan.
"Dengan semua bantuan inilah, saya mampu mengorak langkah untuk pulih kembali," ujar beliau.
Dengan peluang membuka kembali perniagaan, Borhan dibantu beberapa kali oleh LZS di bawah skim bantuan perniagaan.

Katanya, alhamdulillah, pada tahun 2010 LZS menyalurkan RM9,490 untuk membeli peralatan. Pihak kerajaan juga memberi bantuan pembelian mesin.

"Dengan itu, dapatlah saya memiliki set generator, mesin memproses cendol, mesin memerah santan, mesin pengisar air batu dan peti ais. Semua ini perlu, kerana saya memang menyediakan cendol buatan sendiri 100 peratus. Ini adalah resipi asli saya sejak tahun 1987.
"Kemudian, LZS meluluskan bantuan membina gerai sebanyak RM12,386. Akhirnya, LZS memberi modal pusingan RM5,000 bagi membolehkan saya membeli bahan-bahan mentah untuk berniaga.
"Dengan kesemua modal inilah saya berdikit-dikit berbelanja sehingga perniagaan saya tegak kembali," jelas beliau.

Alhamdulillah, kini perniagaan Borhan semakin maju. Bahkan, pada penghujung tahun 2010 beliau enggan menerima apa-apa bantuan zakat lagi.
Baginya, bantuan modal perniagaan yang diperolehi sudah memadai. Selain cendol durian, beliau turut menjual cendol labu dan laksa.

"Jika diberi kesempatan, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembayar zakat.
"Kini pendapatan saya sudah lebih daripada mencukupi. Saya sendiri berhasrat mengeluarkan zakat. Saya juga mengambil kesempatan ini, menyeru kepada semua penerima zakat agar tidak terus rela membiarkan diri dalam keadaan menerima semata-mata. Kita mesti ada usaha membawa diri kepada kejayaan," tegas beliau.

Borhan juga menawarkan kepada sesiapa yang berminat khususnya asnaf zakat di LZS untuk bersama-sama saya memajukan perniagaan cendol.

"Jika mereka mahu, saya sedia memfrancaiskannya. Saya mahu kita sama-sama berjaya, di dunia dan akhirat," katanya menamatkan bicara.

Nota: Gerai Cendol Durian Borhan terletak di Bt. 2, Pasir Penambang, Kuala Selangor. Beliau boleh dihubungi di talian 017-6573096 atau 017-29146

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive