Pengikut Boyzzonne

Tuesday, January 8, 2013

Sinar Cameron Diaz Semakin Pudar

Bagi aktres ini, bergelar pelakon bukan impiannya. Sebaliknya dia lebih memilih untuk
bergelar model ternama dan itulah impiannya sejak kecil lagi. Seawal usia 16 tahun, dia menyertai sebuah agensi model terkenal di Amerika.


Berpersonaliti menarik dan punya keunikan tersendiri, ia berjaya meletakkan dirinya sebagai model bagi koleksi pakaian berjenama Calvin Klein dan Levi’s. Lebih membanggakan, pada usia 17 tahun, dia terpilih menjadi penghias muka depan bagi majalah Seventeen kerana kejayaannya dalam bidang itu.

Siapa sangka rezeki dalam bidang lakonan menyebelahinya sehingga bintang filem Charlies Angels ini dikenali sebagai aktres tersohor di Hollywood. Mengimbas sejenak pembabitannya dalam bidang lakonan, ia bermula apabila agensinya itu menghantarnya ke satu uji bakat bagi filem The Mask.

Tanpa sebarang asas lakonan, dia kemudiannya terpilih memegang peranan utama filem itu. Mungkin rupa parasnya yang cantik dan menawan turut memikat hati pengarah filem tersebut untuk memilihnya.

Begitupun, wanita berusia 40 tahun ini tidak bergantung kepada wajah sahaja, sebaliknya, dia mengambil peluang itu sebaiknya dengan mengikuti kelas lakonan bagi memantapkan kariernya.
Bergandingan dengan Jim Carey menerusi filem itu, bermulalah era kegemilangan wanita kelahiran California ini.

Hanya dengan sebuah filem di kala usianya 21 tahun, dia menjadi rebutan pengarah dan penerbit filem di sana yang mahukannya menjadi heroin filem mereka. Menariknya, sehingga kini, pelakon diberi nama Cameron Michelle Diaz atau lebih dikenali sebagai Cameron Diaz ini terus menawan industri perfileman Hollywood.

Tidak terlepas dengan kisah peribadinya, pelakon yang pernah dilabel simbol seks ini antara wanita yang sering bertukar pasangan. Bermula dari 1990 sehingga 1994, Diaz dikatakan mempunyai hubungan bersama pengarah video, Carlos De La Torre, kemudian pada 1995, Diaz menjalinkan hubungan dengan aktor Vincent D’Onofrio berikutan terlibat dalam penggambaran Feeling Minnesota bersama.

Bagaimana pun ia tidak kekal lama. Pada tahun sama, dia mula rapat dengan pelakon kacak, Matt Dilon. Pun begitu ia hanya bertahan tiga tahun. Selepas itu, dia menjalinkan hubungan pula dengan Jared Leto. Serius dengan hubungan tersebut, Diaz mengambil keputusan bertunang dengan Leto, namun ia tetap kecundang di tengah jalan.

Sepi tanpa lelaki di sisinya selama tiga tahun, Diaz akhirnya menjalin hubungan bersama bekas kekasih Britney Spears iaitu Justin Timberlake. Hubungan mereka juga tidak berjaya dan hanya bertahan tiga tahun.

Diakui keberkesanan lakonannya menerusi filem, My Best Friend Wedding, The Green Hornet dan Vanilla Sky, anak bongsu daripada empat beradik ini dilihat antara aktres yang mampu memainkan pelbagai peranan.

Beri apa sahaja genre filem, pasti penerima anugerah Teen Choice Award- Choice Movie Actress, menerusi filem Bad Teacher ini mampu menggalasnya dengan baik. Ia terbukti setelah 20 tahun berlalu, pelakon filem Gangs Of New York ini masih mendapat kepercayaan daripada pengarah di Hollywood dan menjadi pilihan untuk membintangi filem mereka.

Bakal muncul menerusi filem terbarunya, Gambit, Diaz menjangkakan filem tersebut akan mendapat sambutan dari peminat setianya. Jelasnya, bukan sahaja penampilannya berbeza dengan filem lain yang pernah dilakonkan, malah ia menjadi lebih menarik kerana filem tersebut mempamerkan sisi komedinya dalam usia 40 tahun.

Filem yang mengambil plot kecurian sebuah lukisan milik seorang lelaki kaya ini, turut dibintangi Stanley Tucci dan Alan Rickman. Bakal ditayangkan 10 Januari ini di pawagam seluruh negara, ia turut mendapat sentuhan pengarah Michael Hoffman.

-Sinarharian

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive