![]() |
Operasi perniagaan sempena Ramadan di gerai ayam pusing milik Amshari Abdullah tertangguh seketika berikutan sebahagian gerainya itu dirempuh sebuah lori satu tan yang membawa muatan budu |
DUNGUN– “Selepas terdengar dentuman kuat, saya menoleh ke belakang dan terlihat tiga orang tersepit dalam lori yang terbalik,” kata Zainun Mohd, 68, saksi kemalangan melibatkan sebuah lori dan Perodua Kelisa merempuh gerai ayam pusing di sini, pagi semalam.
Ketika kejadian, Zainun bersama suaminya, Abdullah Othman, 73, sedang membuang sampah di pekarangan rumahnya sebelum dikejutkan dengan
bunyi dentuman kuat berpunca daripada kemalangan melibatkan dua kenderaan itu.
Zainun berkata, dia cemas seketika apabila melihat lori muatan kotak bahan makanan sebahagiannya mengandungi budu dari arah Besut menuju ke Kuantan, Pahang itu terbalik manakala tiga penumpang termasuk pemandunya bertindih antara satu sama lain.
Katanya, tanpa berlengah dia terus meluru ke arah jalan raya sebelum menahan sebuah lori lain yang secara kebetulan melalui kawasan itu untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.
“Nasib baik gerai anak makcik belum beroperasi lagi, jika tidak mungkin dia juga akan menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, akibat rempuhan berkenaan, beberapa barang di gerai ayam pusing milik anak Zainun, Amshari Abdullah, 28, dilaporkan turut rosak.
Tiga mangsa yang tersepit itu termasuk pemandu lori, Omar Salleh, 43, serta dua kelindannya masing-masing Ahmad Shafarin Omar, 41, dan Mohd Asri Ismail, 50, berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
No comments:
Post a Comment