“ Kepada semua orang dan mana-mana balai polis dan anggota polis, saya lari sendiri. Saya nak hidup berdikari jangan libatkan orang lain, apa-apa yang terjadi atas diri dia (Samer Khan) kerana saya, saya tidak teragak mencederakan diri sendiri atau mungkin kamu semua hanya akan menemui mayat saya,”
Begitulah kata-kata seorang gadis remaja, Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, di dalam Facebooknya.
Nurul Zakiah dilaporkan lari dari rumah pada 14 Februari lalu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting (SMKBB) itu dipercayai melarikan diri mengikut teman lelakinya dikenali sebagai
Samer Khan yang berasal dari Pakistan.
Kemudian dalam Sinar Harian pula, wartawannya melaporkan kisah seorang penuntut wanita di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), yang sanggup kahwin lari dengan seorang pengedar yang kini ditahan polis, sekiranya ibu bapanya menghalang dia berbuat demikian.
“Buat masa ini ibu bapa saya tidak mengetahui mengenai hubungan kami, namun saya akan maklumkan kepada mereka apabila tiba masanya kelak,” katanya.
Kata penuntut yang hanya mahu dikenal sebagai Dila ini, dia tidak kesal menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki terbabit biarpun tahu jenayah yang dilakukan.
Gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu juga mengakui, sebelum ini dia tidak tahu bahawa teman lelakinya seorang kaki dadah sehinggalah dihubungi polis kerana komputer riba miliknya berada dalam simpanan lelaki berkenaan.
Aduh, ini betul-betul kisah panahan asmara….penulis percaya ada beribu lagi kes sebegini di luar sana.
Malang sekali kerana kes ‘panahan asmara’ yang melibatkan remaja seperti yang disebut di atas semakin membimbangkan dari hari ke hari.
Nak tahu tanda-tanda terkena panahan asmara ni?
Antaranya,
a) Anda berbual dengan si dia hingga lewat malam melalui panggilan telefon atau bersembang di Internet dan apabila anda hendak tidur, anda masih teringat akan dirinya. Lantas anda tersenyum sendirian.
b) Anda melangkah perlahan apabila berjalan bergandingan dengan si dia
c) Anda berasa resah gelisah serba tak kena apabila si dia berada jauh dari mata.(namun masih kekal dan intim di hati)
d) Anda tersenyum apabila mendengar suaranya (walaupun hanya di dalam telefon)
e) Apabila anda terpandang raut wajahnya, anda tidak melihat orang lain yang turut berada di sekeliling anda. Hanya dia sahaja di mata anda tika itu.
f) Anda sentiasa memikirkan tentang dirinya setiap masa. Sampaikan di dalam tandas pun anda memikirnya!
g) Anda menundukkan wajah setiap kali bertembung denganya seolah-olah anda malu tetapi dalam masa yang sama, anda ingin menatap wajahnya,…Alangkah keliru keliri keluru dibuatnya…
h) Apabila si dia melemparkan senyuman pada anda (biarpun tidak menegur anda) terasa betapa indahnya perasaan itu. Sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Anda terpana dengan senyuman itu dan ia terus melekap erat di hati anda..
i) Apabila anda membaca kenyataan ini, anda terus mengakui ada seseorang yang sedang bertakhta di ruang pemikiran dan hati anda..
Apapun kita kena akui, kebanyakan remaja, tak kisahlah lelaki atau perempuan (yang berusia antara 13 hingga 17 tahun) sering terperangkap dengan angan-angan, cinta dan khayalan.
Manakala remaja perempuan pula sering terperangkap dengan masalah cinta dan kematangan. Mereka yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.
Dalam tempoh usia ini juga kebanyakan remaja mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang menjerumuskan mereka ke arah keburukan.
Bermula dengan berkenal-kenalan melalui perbualan telefon dan facebook, akhirnya mereka mudah terikut dengan pengaruh kawan dan terbabit dengan pergaulan bebas serta gejala sosial.
Dalam hal ini, penulis cukup tertarik dengan kupasan yang dibuat Hasnah Hussiin, seorang pensyarah dari Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang.
Katanya, jika anak-anak muda ini terus hanyut dibawa arus kealpaan dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?
Cara yang terbaik dalam menangani sesuatu masalah adalah dengan adanya gabungan beberapa faktor yang saling berkaitan antara satu sama lain.
Antara cara yang paling utama dalam menangani sesuatu masalah yang dianjurkan oleh Islam adalah melalui pengukuhan ikatan akidah.
Ikatan akidah menuntut kita supaya meyakini bahawa Tuhan sekalian alam ialah Allah S.W.T yang maha berkuasa ke atas makhluknya.
Segala perintah dan suruhan Tuhan wajib ditaati. Dia yang Maha Mengetahui. Melalui ikatan akidah juga, kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya hidup ini.
Dengan cara ini, para remaja akan mampu menghadapi segala masalah atau segala cabaran dengan penuh bijaksana dan kesabaran kerana meyakini Allah berkuasa ke atas segala-galanya.
Selain itu, remaja harus sentiasa melakukan kegiatan kerohanian agar sentiasa tenang dan tenteram dalam hatinya.
Para remaja mestilah sentiasa mendirikan sembahyang, mendampingi al-Quran, berkunjung ke masjid agar dapat mendampingi orang yang terpuji akhlaknya, berpeluang mendekati orang yang berilmu dan mendengar ceramah agama.
Dengan ini remaja akan sentiasa ingat siapa diri mereka dan apa yang mereka harus lakukan untuk bekalan di masa depan. Dalam hal ini remaja perlu tahu bahawa ilmu keduniaan yang mereka miliki tidak akan menjamin seseorang itu terpelihara daripada anasir-anasir luar.
Pendidikan agama juga perlu seiring supaya perjalanan hidup seseorang individu muslim sentiasa terarah ke jalan yang diredhai Allah sw.t.
Remaja juga harus mencari mereka yang baik akhlaknya serta ilmunya untuk dijadikan model ikutan serta sumber rujukan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka.
Begitu juga apabila memilih kawan. Kawan sebenarnya memainkan peranan dalam hidup seseorang individu. Ini kerana jika seseorang itu silap memilih kawan, kemungkinan untuk seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan adalah lebih tinggi.
Kawan adalah orang yang kedua dalam hidup seseorang individu selepas ibu bapa. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan remaja pada hari ini lebih percaya kepada kawan daripada ibu bapa sendiri.
Para remaja juga tidak boleh menjadikan tempat hiburan sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah.
Ini kerana pada zaman moden ini, para remaja Islam khususnya lebih suka mencari ketenangan dan menyelesaikan masalah dengan mengunjungi kelab-kelab malam, dan kelab-kelab hiburan di sekitar ibu kota.
Remaja pada hari ini lebih selesa mengunjungi pusat hiburan daripada mengunjungi majlis agama atau masjid-masjid. Ini kerana mereka merasakan masjid itu hanyalah tempat untuk bersolat sahaja.
Mereka tidak mengetahui bahawa masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk bertafakur dan memohon petunjuk daripada Allah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Akhir sekali, mari kita lihat apa nasihat tokoh pendidikan negara, Prof. Dr. Sidek Baba pada mereka.
Katanya, remaja pada hari ini harus insaf bahawa dalam proses bina negara kita berdepan dengan persaingan yang sengit.
Negara yang maju dan negara yang membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya.
Remaja harus selalu bertanya apakah sumbangan dirinya terhadap negara, bukan hanya bertanya apakah sumbangan negara terhadap dirinya. Wallahualam .
Mynewshub
No comments:
Post a Comment