Pengikut Boyzzonne

Friday, August 10, 2012

Suki Menang Saman RM367,575.17!


Bekas juara rancangan realiti Low Sook Yee, 22 atau lebih dikenali sebagai Suki Low berjaya memenangi kes tuntutan terhadap syarikat pengurusannya Galaxy Music Sdn. Bhd. selepas keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada beliau semalam.
Melalui tuntutannya, Suki telah meminta
pembabitan Mahkamah Tinggi untuk mengarah syarikat pengurusan Galaxy Music supaya membatalkan perjanjian yang telah ditandatanganinya dengan mereka serta memulangkan wang berjumlah RM367,575.17 dengan serta-merta yang telah dibayar kepada Galaxy Music selepas mereka menyatakan yang mereka mampu untuk merakam, menerbit, memasar, mempromosi, dan mengedarkan sebuah album antarabangsa berbahasa Cina di Taiwan, China dan Hong Kong untuk Suki.
Galaxy Music telah merakamkan sebuah album Mandarin, Ladies’ Night, tetapi selepas dipasarkan di Malaysia pada tahun 2009, album itu tidak dipasarkan di Taiwan, China atau Hong Kong seperti yang dijanjikan. Wang tersebut merupakan wang hadiah yang telah diterimanya selepas menjuarai sebuah rancangan TV realiti One In A Million pada tahun 2006.
Suki yang diwakili oleh syarikat guaman, Raj, Ong & Yudistra juga memaklumkan bahawa Galaxy Music telah menasihatinya untuk menandatangani sebuah perjanjian pengurusan artis yang membebankan, tidak adil dan berat sebelah.
Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan Suki dengan mengarahkan supaya perjanjian pengurusan artis tersebut dibatalkan dan pihak Galaxy Music harus mengembalikan jumlah wang yang telah dibayar oleh Suki dengan serta-merta bersama RM30,000.00 sebagai kos guaman.
Pihak mahkamah turut menolak tuntutan-balas Galaxy Music terhadap Suki yang menyatakan dia telah melanggar perjanjian pengurusan artis. Malah, pihak Mahkamah Tinggi telah menyamakan keadaan Suki seperti “sebuah patung ballerina di dalam kotak muzik, yang mana kuncinya dipegang erat oleh pihak Galaxy Music”.
Apabila dihubungi, Suki menyatakan yang dia berasa lega kerana semuanya telah berakhir selepas hampir setahun berlarutan. Dia juga menambah yang dia sebenarnya telah cuba sedaya-upaya untuk menyelesaikan isu ini di luar mahkamah dengan pihak Galaxy namun tidak berjaya. Ini telah menyebabkan beliau untuk mengambil tindakan undang-undang.
Suki juga berharap ini akan menjadi pengajaran kepada artis-artis baru dan muda lain yang ingin memulakan kerjaya mereka dalam bidang seni persembahan. Beliau mengingatkan mereka supaya jangan mudah teruja apabila diberi tawaran oleh pelbagai pihak dan sentiasa merujuk kepada pihak profesional kala berdepan dengan hal-hal membabitkan kontrak dan seumpamanya. (Gua.com.my)

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive