Pengikut Boyzzonne

Monday, November 14, 2011

Batu Belah diletup elak dipuja



SISA batu belah selepas tiga kali diletupkan.


PERJALANAN menuju ke Kampung Batu Belah di Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini cukup mengujakan memandangkan di situlah kononnya lokasi peristiwa Batu Belah Batu Bertangkup berlaku. Kisah kampung itu banyak diceritakan dalam laman blog.
Pengarah filem, Jamil Sulong turut mengarahkan filem Batu Belah Batu Bertangkup pada tahun 1959. Ia mengisahkan Si Tanjung yang mempunyai sepasang anak, Si Melur dan adiknya Si Pekan.
Pada suatu hari, Si Tanjung yang hidup miskin dan baru kematian suami dapat mengail seekor ikan tembakul sementelah dia mengidam telur ikan tersebut.
Dia menyuruh Si Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur ikan itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya.
Si Pekan menangis kerana ingin makan telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya.
Letup
Si Melur hanya mendapat sebiji telur ayam untuk menggantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Ini menyebabkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan marah.
Akhirnya Si Tanjung mengambil keputusan menyerahkan diri kepada Batu Belah Batu Bertangkup walaupun dirayu belas kasihan oleh Si Melur yang terus mengekorinya sambil mendukung Si Pekan. Akhirnya ibunya ditelan oleh batu itu.
Khabarnya, tinggalan batu belah itu ada di Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah di Kampung Batu Belah.
“Sebenarnya sebelum ini memang ada bongkah batu yang didakwa peninggalan Batu Belah Batu Bertangkup tetapi telah diletupkan semasa pembinaan bangunan baharu sekolah ini.
“Tiada lagi bongkah batu yang besar itu. Yang ada cuma serpihan batu itu yang bersaiz kecil tetapi telah menjadi milik persendirian,” kata guru sekolah berkenaan, Mohd. Faeez Mohd. Yassin, 32.
Bagaimanapun, menurut Faeez, Ketua Kampung Batu Belah, Salim Hassan, 64, ada menyimpan gambar batu belah berkenaan sebelum pembinaan sekolah itu dahulu.
“Dahulu memang ada tinggalan batu itu di situ. Tetapi apabila sekolah itu mahu dibesarkan, batu itu telah diletupkan kerana terlalu berat untuk dialihkan.

TAMAN SERI PEKAN di Kapar sempena nama Si Pekan.


“Lagipun ia mempunyai unsur khurafat kerana ada orang yang memuja batu itu berdasarkan colok yang ditinggalkan,” kata Salim kepada Jurnal.
Salim memberitahu, pada awal tahun 1950-an kawasan Bukit Batu Belah yang merupakan lokasi sekolah agama itu sekarang mempunyai sebuah kolam air semula jadi selain batu belah yang setinggi dua meter dengan saiz lebar dan panjang yang sama.
Monumen
Katanya, kawasan bukit itu digunakan penduduk kampung untuk mengambil sumber air.
“Pada masa itu, saya dan rakan-rakan sering mandi di kolam itu. Kami juga bermain di atas batu itu tetapi tiada perkara pelik yang berlaku.
“Namun, yang anehnya kawasan sekitar kolam air dan batu belah itu lapang tanpa tumbuh-tumbuhan, serangga atau haiwan dalam radius 500 meter sedangkan kawasan bukit itu sebenarnya dipenuhi hutan tebal,” ujarnya.
Salim menggambarkan bentuk batu belah itu seperti badan manusia dengan sedikit bonjolan yang membentuk seakan-akan hidung.
“Batu belah yang seolah-olah tertangkup itu juga berbentuk seperti mulut manusia,” katanya.
Bicara Salim lagi, mengikut cerita arwah bapanya, pada zaman penjajahan British terdapat sebilangan penduduk kampung yang memuja batu itu untuk tujuan tertentu sehingga menyebabkan batu itu diletupkan.
Sisa batu itu sekali lagi diletupkan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya.
“Sisa batu itu kekal di tapak sekolah agama sekarang sehingga awal tahun 2006 lalu sebelum ia diletupkan lagi bagi membina sekolah itu.
“Batu itu memang besar. Walaupun sudah tiga kali diletupkan, serpihannya masih ada. Disebabkan ia berat, pihak kontraktor bersetuju untuk mengalihkan batu itu ke kawasan lapang berhampiran sekolah.
“Mereka juga menawarkan untuk membina sebuah monumen menggunakan batu itu dengan upah RM10,000,” beritahu Salim.
Menurut Salim, batu itu tidak dijadikan monumen kerana khuatir ia dijadikan tempat penyembahan.
“Kini serpihan batu belah itu diletakkan dalam kawasan rumah banglo milik individu,” katanya.
Namun, terdapat dua kawasan perumahan yang dinamakan Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan di Kapar sebagai usaha untuk memperingati cerita mitos itu.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive