MANILA – Sekumpulan penunjuk perasaan bergelut dengan pasukan unit kawalan keselamatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (gambar kecil) berhampiran Istana Presiden Filipina semalam sekali gus memaksa konvoinya membuat lencongan, kata seorang jurugambar agensi berita AFP di lokasi kejadian.
Beberapa pengawal keselamatan Filipina dan sekurang-kurangnya seorang pengawal AS melompat keluar dan mengacukan raifal automatik selepas sekitar 50 penunjuk perasaan menendang dan menyimbah cat merah pada kenderaan-kenderaan mereka.
Namun, tiada tembakan dilepaskan, kata jurugambar berkenaan.
Jurucakap Kedutaan AS, Bettina Malone dan polis di sini enggan mengulas berhubung konfrontasi tersebut.
Menurut jurugambar AFP, insiden berkenaan berlaku selepas Hillary mengadakan pertemuan dengan Presiden Benigno Aquino di Istana Malacanang di sini.
Katanya, konfrontasi berlaku ketika beberapa anggota polis bermotosikal mendahului konvoi Hillary keluar dari istana berkenaan.
Kumpulan utama konvoi tersebut terpaksa berpatah balik dan mengambil laluan lain manakala pasukan polis pencegah rusuhan bertindak mengejar penunjuk-penunjuk perasaan yang berundur.
Jurugambar itu memberitahu, beberapa kenderaan keselamatan mengalami calar dengan cermin sisi sebuah kenderaan patah akibat ditendang oleh beberapa penunjuk perasaan.
Dianne Marie Solmayor yang merupakan jurucakap kumpulan belia berhaluan kiri di sini, Anakbayan memberitahu AFP bahawa mereka bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
Wanita itu memberitahu, sekitar 50 anggota kumpulannya membaling bom cat ke arah konvoi Hillary.
“Kami mengadakan protes kilat terhadap konvoi itu semasa ia muncul dari Istana Presiden,” katanya melalui telefon.
Dia memberitahu, tiada penunjuk perasaan yang ditangkap tetapi mendakwa polis mencederakan sebahagian daripada mereka.
Sejurus selepas insiden itu, seorang penunjuk perasaan turut mengganggu satu forum umum bersama Hillary untuk mendesak supaya pakatan ketenteraan antara AS dan Filipina ditamatkan.
Forum yang disiarkan di televisyen itu terganggu apabila seorang penunjuk perasaan tiba-tiba berdiri sambil memegang sepanduk dan menjerit, “Tamatkan VFA!” sebelum dia diiringi keluar oleh pengawal keselamatan.
Penunjuk perasaan itu merujuk kepada Perjanjian Tentera Pelawat (VSA) yang memberikan perlindungan undang-undang kepada askar-askar AS yang berada di Filipina.
Dalam perkembangan berkaitan, Hillary enggan memperbesarkan bantahan tersebut. Beliau sebaliknya menyatakan ia adalah ‘petanda bahawa orang ramai tidak gentar untuk meluahkan perasaan mereka” di Filipina.
Hillary berkunjung ke Filipina untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan ketika ketegangan antara Manila dengan Beijing semakin memuncak berhubung tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. – AFP
No comments:
Post a Comment