Pengikut Boyzzonne

Monday, November 14, 2011

Piza Pah dapat pujian



SHARIFAH ROFIAH ingin memasarkan Pizza Pah di pasar raya utama di seluruh negara.


WANITA yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan ini cukup berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan. Beg komputer riba yang dibawanya ke mana-mana pasti berisi fail-fail perniagaan di samping diari yang mengandungi jadual aktiviti harian.
Rumahnya pula sekadar menjadi lokasi rehat pada waktu tengah malam dan hujung minggu setelah penat bekerja seharian.
Malah, putaran masa selama 24 jam bagaikan tidak mencukupi bagi Pengarah Urusan Pizza Pah Foods Sdn. Bhd., Sharifah Rofiah Syed Hassan, 45.
Kek
Rofiah ternyata begitu obses dengan perniagaan.
“Sebenarnya, hampir semua ahli keluarga saya hidup dengan berniaga. Bapa saya, contohnya, terlibat dengan perniagaan membekalkan barangan makanan seperti beras dan sayur-sayuran di Kelantan. Kebanyakan stok makanan itu dibawa dari Pattani, Thailand,” katanya.
Sementelah hubungan Rofiah dengan Sungai Golok yang menjadi sempadan pemisah di antara Malaysia dan Thailand memiliki nilai sentimental kepada Rofiah.
Ini kerana sungai itu merupakan tempat beliau membasuh pakaian suatu ketika dahulu. Beliau juga sering menaiki sampan untuk membeli barangan keperluan di pekan Golok.
“Wilayah Pattani pula ibarat rumah kedua keluarga saya. Tetapi nasib baik arwah bapa tidak menjadikan urusan di negara itu sebagai alasan untuk mencari isteri kedua,” katanya dalam nada bergurau.
Bidang perniagaan sudah sebati dalam diri Rofiah sejak berumur lima tahun lagi.
“Saya menjual buah rambutan dan manggis di sekolah pada harga 20 dan 30 sen sebungkus. Saya sendiri yang panjat pokok buah-buahan itu sebelum menjualnya,” ujar Rofiah.
Menurutnya lagi, wang hasil jualan buah-buahan itu di samping jualan keropok menyebabkan beliau tidak berharap pada wang saku pemberian bapanya semata-mata.
Malah wang simpanan hasil jualan itu membolehkan Rofiah menyambung pelajaran di peringkat sijil di sebuah kolej di New Zealand tanpa perlu membuat pinjaman.
Lucunya semasa di sekolah rendah, beg sekolah beliau lebih banyak berisi barang-barang jualan berbanding‘bermewah sedikit’ sudah mencukupi,” katanya.
“Tetapi semua kerja rumah yang diberikan guru saya akan siapkan,” katanya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

PIZZA PAH pada mulanya hanya dijual secara kecil-kecilan dari rumah.


Perniagaan Pizza Pah bermula secara kecil-kecilan di rumah sewa beliau sebelum ini di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
“Sebelum berniaga piza, saya menjual produk makanan sejuk beku seperti karipap dan popia selain membuat kek.
“Perniagaan kek tersebut mendapat sambutan yang baik tetapi anak-anak saya gemar makan kek itu setiap hari,” katanya.
Ujarnya lagi, kerana risau ahli keluarganya mendapat penyakit kencing manis memandangkan kek mempunyai kandungan gula yang tinggi, Rofiah beralih menjual piza pula pada tahun 2000.
Sedap
“Saya menghasilkan Pizza Pah bermodalkan wang permulaan sebanyak RM100,” kata Rofiah yang tertarik dengan sebuah iklan piza di televisyen semasa berusia 18 tahun.
Ditanya mengapa beliau memilih jenama Pizza Pah, Rofiah berkata Pah merupakan singkatan daripada namanya iaitu Sharifah selain rakan-rakan sering memanggilnya Pah atau Kak Pah.
“Tentu anda fikir nama Pizza Pah seperti bersifat kekampungan tetapi tahun lepas terdapat sebuah syarikat di China yang ingin menggunakan nama ini untuk produk piza syarikat mereka tetapi gagal kerana nama Pizza Pah telah saya daftarkan lebih awal,” cerita beliau.
Kini Rofiah memiliki sebuah kilang memproses piza di Kajang, Selangor selain dua buah kafe yang terletak di Pusat Hentian Kajang dan Kompleks PKNS, Bangi.
Malah, cogan kata ‘piza panas rangup sejuk lembut’ pada setiap produk piza keluaran syarikatnya membuatkan produk itu semakin dikenali.
Inisiatif Rofiah yang mempromosikan produknya di setiap ekspo makanan dan pasar malam selain melantik stokis jualan di beberapa negeri telah mempopularkan lagi jenama Pizza Pah.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji kelazatan pizanya pada satu ekspo makanan halal di Pahang baru-baru ini.
“Saya bangga kerana orang nombor satu negara memuji produk piza saya. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berjaya,” katanya.
Hasrat Rofiah pada masa akan datang ialah beliau ingin memasarkan produk pizanya di pasar raya utama di seluruh negara.
“Cukuplah jika perkara itu berjaya direalisasikan. Saya tidak ingin terlalu tamak.
“Ada rezeki milik kita dan juga milik orang lain. Asalkan ada pendapatan lebih bagi ‘bermewah sedikit’ sudah mencukupi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive