Pengikut Boyzzonne

Wednesday, March 13, 2013

Pasangan berani mati Langgar dua kereta polis



BANDARAYA MELAKA - Satu pasangan bertindak berani memandu dalam keadaan berbahaya semata-mata kerana mahu melarikan diri dari kereta peronda polis di Jalan Mufti Haji Khalil.

Lelaki berusia 35 tahun itu turut memecut laju kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki bersama pasangannya berusia 30 tahun, sebelum bertindak melanggar dua kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu.

Usaha pasangan itu untuk
melarikan diri tidak berhasil apabila kereta mereka dikepung MPV, sebelum kedua-duanya ditahan apabila polis menjumpai dadah jenis syabu dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, sebelum kejadian, polis menemui kereta dinaiki pasangan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Pemandu kereta itu bagaimanapun bertindak memecut ke arah Bukit Peringgit selepas kenderaan anggota dari Balai Polis Bukit Baru menghampiri mereka.

“Sambil mengekori kereta itu, anggota tersebut meminta bantuan anggota peronda untuk menjejaki kereta berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kereta pasangan terbabit kemudian dikesan bergerak keluar ke jalan besar menghala Hospital Melaka di Jalan Mufti Haji Khalil.
“Pada waktu sama, kereta suspek dipercayai nekad keluar ke jalan besar dengan melawan arus menghala ke arah hospital sebelum sebelum berjaya dihalang kereta peronda dari Balai Polis Sungai Udang di bawah jejambat.
“Pemandu kereta itu kemudian bertindak mengundurkan kereta dan melanggar sebuah lagi MPV yang sudah mengepungnya di belakang hingga menyebabkan cermin depan pecah,” katanya di sini, semalam.

Salehhudin berkata, suspek turut memandu ke depan dan terlanggar MPV berasingan sebelum kedua-dua mereka termasuk wanita itu ditahan polis bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dadah iaitu dua ketulan kecil disyaki syabu di dalam kereta terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pasangan berkenaan kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive