Pengikut Boyzzonne

Saturday, May 26, 2012

Kapsul swasta bersedia berlabuh di ISS


GAMBAR NASA menunjukkan kapal angkasa Dragon (dalam bulatan) berada 350 meter dari ISS untuk misi berlabuh di stesen angkasa lepas itu semalam. - Reuters


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat AS, SpaceX bersedia untuk melabuhkan kapal angkasa komersial, Dragon di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam.
Pelancaran Dragon merupakan percubaan pertama daripada sebuah syarikat swasta untuk berlabuh di ISS, stesen yang dibina pada kos AS$100 bilion (RM312 bilion).
Sebelum ini hanya Rusia, Jepun dan Eropah sahaja yang mampu membawa bekalan ke ISS.
AS kehilangan kapasiti itu selepas misi kapal angkasa Space Shuttle ditamatkan tahun ini.
Angkasawan ISS merancang untuk membantu menarik kapal angkasa itu dengan lengan robot stesen untuk misi berlabuh di ISS.
Sekiranya Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memberi lampu hijau, ia dijangka bermula pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan cubaan untuk bercantum bermula sekitar pukul 12.30 tengahari semalam.
"Ia merupakan misi percubaan. Namun, kami sangat optimis,"kata pengarah misi SpaceX, John Couluris.
Mengikut laporan NASA dan SpaceX, penerbangan demonstrasi berjalan lancar sejak kapsul itu dilancarkan dengan menggunakan roket Falcon 9 dari Cape Canaveral di Florida pada Selasa lalu.
Pelancaran kapsul angkasa Dragon ke ruang orbit merupakan yang pertama dilakukan oleh sebuah syarikat swasta yang disifatkan sebagai era baharu oleh White House dan SpaceX. - AFP


Bertumbuk di Parlimen kerana bahasa Rusia


BEBERAPA orang menteri daripada parti pemerintah dan pembangkang bergaduh pada sesi pembentangan parlimen di Kiev, Ukraine kelmarin.


KIEV, Ukraine – Pergaduhan ganas tercetus di sidang parlimen Ukraine  berikutan satu rang undang-undang yang akan membenarkan penggunaan bahasa Rusia di mahkamah, hospital dan institusi lain di negara tersebut.
Pergaduhan berlaku antara kumpulan pembangkang pro-Barat yang mahu membawa Ukraine keluar daripada bayang-bayang Rusia dengan anggota parti pemerintah pimpinan Presiden Viktor Yanukovych yang menyokong penggunaan bahasa Rusia.
Sekurang-kurangnya seorang menteri parti pembangkang, Mykola Petruk mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital.
Pergaduhan di parlimen Ukraine bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam satu pergaduhan pada Disember 2010, enam orang menteri dikejarkan ke hospital.
Ukraine berpecah kepada wilayah timur yang bertutur dalam bahasa Rusia dan mahukan hubungan rapat dengan Moscow. Bahagian barat pula yang menggunakan bahasa Ukraine dan pro-Barat, mahu negara itu menyertai negara Barat. – Agensi


iPad 1Malaysia kini di pasaran


iPad 1Malaysia kini di pasaran
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob menandatangani skrin sebagai simbolik pelancaran tablet
1Malaysia Pad
PUTRAJAYA - MalTechPro Sdn Bhd optimis menjual 5,000 unit tablet jenama1Malaysia Pad bagi peringkat permulaan dengan harga serendah RM999.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, setakat ini, jualan tablet itu tidak dijual secara terbuka, namun sesiapa yang berminat boleh mengunjungi laman sesawang syarikat untuk membuat tempahan.

“Unit tempahan adalah terhad buat masa ini. Bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan yang lebih daripada pengguna dan bakal mengeluarkan tablet mengikut permintaan.

“Kami akan melantik agen dan pengedar di seluruh negara  bagi memudahkan tempahan dan penghantaran,” katanya, selepas pra pelancaran 1Malaysia Pad di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, sasaran utama tablet 1Malaysia Pad adalah golongan tidak berkemampuan khususnya warga pedalaman, selain pelajar sekolah, kolej dan universiti.

Katanya, MalTechPro Sdn Bhd turut mencadangkan kepada kementerian penerangan untuk menjadikan tablet itu sebagai ganti kepada komputer netbook 1Malaysia sedia ada yang diberikan kepada pelajar sekolah.

Beliau berkata, 1Malaysia Pad yang dibangunkan sejak tahun lalu adalah produk setanding jenama lain di pasaran yang mempunyai kualiti tinggi dengan harga murah.

Selain itu, pelajar institusi pengajian tinggi yang mempunyai kad diskaun siswa boleh membeli tablet tersebut dengan diskaun istimewa.


1Malaysia Pad berukuran tujuh inci adalah tablet yang menggunakan sistem operasi Android Gingerbread 2.3, kamera belakang tiga megapiksel dan hadapan 0.3 megapiksel, mempunyai sambungan WiFi serta dilengkapi aplikasi terbaru 1Malaysia Club, 1Malaysia Messenger dan 1Malaysia Info.

Peluang Kelantan himpit kedudukan Lions XII


BARISAN pemain Kelantan sedia menggempur Johor FC di Pasir Gudang malam ini.



SELEPAS berjaya merangkul Piala FA dan melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan mahu terus menambah koleksi kejuaraan dan mengekalkan status sebagai penyandang juara Liga Super.
Aksi menentang Johor FC malam ini di Pasir Gudang merupakan peluang terbaik buat The Red Warriors untuk menekan kedudukan pendahulu, Lions XII yang mengungguli persada liga dengan kelebihan tujuh mata.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim bagaimanapun mahu para pemainnya memandang serius pertemuan malam ini biarpun prestasi semasa tidak begitu menyebelahi pasukan kelab dari selatan tanah air itu.
Menurutnya, Johor FC dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Khaironisam Shahbudin, Azi Shahril Azmi, Edy Helmi Manan dan ramai lagi yang mampu mengancam kedudukan Kelantan.
"Atas kertas, tugas kita nampaknya seperti mudah jika prestasi semasa Johor FC diambil kira, namun saya tidak melihat itu sebagai kelebihan kepada kita, sebaliknya kita perlu beraksi dengan baik sekiranya mahu menang.
"Sasaran kita adalah untuk memenangi perlawanan tersebut bagi merapatkan jurang mata dengan Lions XII," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, sistem penggiliran pemain yang dilakukan oleh jurulatih setakat ini berfungsi dengan baik walaupun pemain terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat.
Katanya, jurulatih kini sedang mengenal pasti beberapa kelemahan, terutamanya dari segi kekuatan mental selepas mereka hampir menerima padah ketika menang tipis ke atas Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC baru- baru ini.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihak pengurusan mungkin akan menambah seorang lagi pemain import bagi memenuhi kuota bagi saingan Piala AFC selepas kontrak Onyekachi Nwoha tamat kelmarin.
Jelasnya, sehingga kini masih belum ada calon yang sesuai, namun pemain import baharu itu kelak perlu memenuhi beberapa kriteria bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi saingan suku akhir pada September ini.

Amah Surabaya terima balasan


SULISMAWATI



PETALING JAYA – Seorang pembantu rumah Indonesia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana melarikan diri bersama sejumlah barangan kemas milik anak perempuan Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Azizah Abd. Samad pada Isnin lalu.
Amah yang hanya dikenali sebagai Sulismawati, 30, disabitkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Tertuduh didakwa mencuri barang-barang kemas milik Zalilawati Osman, 33, yang bernilai kira-kira RM50,000 di No. 44, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya di sini pada pukul 3.15 petang, 21 Mei lalu.
Barang-barang kemas yang dicuri itu berupa seutas rantai leher, sebentuk loket, seutas rantai kaki, seutas gelang tangan, empat bentuk cincin bertatah berlian dan sepasang anting-anting berlian.

Gerudi ATM larikan RM100,000



ANGGOTA polis memeriksa sebuah ATM yang digerudi perompak dalam kejadian di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak licik dengan memecahkan pintu belakang sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Stesen Aliran Ringan Universiti di Bangsar di sini sekali gus dapat melarikan wang lebih RM100,000.
Kejadian itu hanya disedari pada pukul 1 petang semalam apabila seorang juruteknik, Rahim Nasir, 29, melakukan pemeriksaan sebaik menerima laporan wang di dalam mesin berkenaan lesap.
Katanya, sebaik tiba, dia dapati papan kekunci di belakang ATM tersebut telah diumpil dan pencuri menggunakan mesin gerudi untuk memecahkan dinding konkrit yang menempatkan peti besi.
“Penjenayah juga mematikan alat penggera yang dipasang di peti besi tersebut.
“Dia juga dapat melengah-lengahkan pihak berkuasa untuk mengesan jenayah itu dengan memecahkan bahagian belakang mesin tidak seperti kes-kes sebelum ini yang dirosakkan di depan,” ceritanya.

Himpunan Jutaan Belia 2012 cipta sejarah



AHMAD SHABERY melepaskan 210 buah kereta konvoi MyAlza sempena Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Negara mencatatkan satu lagi sejarah apabila jutaan belia dari seluruh negara berpusu-pusu ke sini untuk memeriahkan Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara 2012 yang berlangsung selama lima hari.
Sejak program bermula pada Rabu lalu, ratusan ribu pengunjung terutama golongan muda sudah memenuhi setiap sudut pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan jumlahnya bakal mencecah dua juta orang menjelang hari terakhir esok.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini, pihaknya sudah mencatatkan kehadiran ratusan ribu belia bagi mengikuti 500 aktiviti yang disediakan khusus untuk mereka.

Keputusan Miss World Harvest diumum hari ini


FINALIS Miss World Harvest Festival 2012 menyertai pertunjukan fesyen sempena hari keluarga Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sebuah hotel di Kuching malam tadi.- GAMBAR Mohamad Gustie Noorambia


KUCHING – World Harvest Festival (WHF) 2012 yang berlangsung hari ini dijangka meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung bagi mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak (SCV) sehingga esok.
Antara yang paling mendapat tumpuan sepanjang festival itu ialah pertandingan Miss WHF 2012 yang disertai oleh 14 jelitawan untuk merebut gelaran utama serta lapan gelaran subsidiari.
Gelaran tersebut ialah Miss Beautiful Eyesight, Miss Photogenic, Miss 360 Congeniality, Best Traditional Costumes, Best Catwalk, Miss Versatile, Miss SMS Favourite, Miss Talent dan gelaran utama Miss World Harvest Festival 2012.
Hari ini, para jelitawan terbabit membuat penampilan akhir dengan mengayakan pakaian tradisional kaum Iban di Panggung Budaya SCV manakala nama-nama pemenang diumumkan pada sebelah malam di Dewan Lagenda.


Friday, May 25, 2012

Kemalangan Maut Di Kluang



Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut bersama ibu dan ibu saudaranya dalam kemalangan di KM70, Jalan Kota Tinggi-Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Abdul Majid Mohd Ali berkata Sharmila Jumadi, 2, ibunya Marlisa Mansor, 25, serta ibu saudaranya, Maryana Mansor, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya Sofea Balqis Jumadi, 4, cedera parah.

"Kemalangan berhampiran Ladang Tabung Haji itu berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi tadi apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu Marlisa dari arah bandar Kluang menuju arah Bandar Tenggara cuba memotong sebuah kereta Toyota Hilux di depannya.

"Dipercayai wanita berkenaan gagal memotong kenderaan terbabit lalu berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan sebelum berpusing dan kemudiannya dilanggar oleh Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak.


 

Juara American Idol 11

Rekod ciptaan Philip



HAKIKATNYA, bukan satu kejutan apabila Phillip Phillips menjadi juara terkini American Idol yang telah memasuki musim ke-11.
Sejak awal kemunculan, dia hadir dengan aura dan pesona tersendiri. Dalam setiap persembahan yang dilakukan pada setiap minggu, Phillip dilihat sentiasa konsisten walau sesekali ditegur juri tentang pemilihan lagu yang dibuatnya kurang bersesuaian untuk sebuah pertandingan. Namun Phillip adalah Phillip. Dia berani mengambil risiko, mendengar gerak hati dan sentiasa tampil dengan idea yang segar.
Maka ketika dia dipilih oleh sebanyak 132.2 juta peminat sekali gus menewaskan pesaingnya yang juga bukan calang-calang gadis, Jessica Sanchez ia dilihat bukan satu keputusan yang semborono.
Malah undian tersebut merupakan rekod baharu dalam sejarah American Idol sejak program realiti TV dimulakan 11 tahun lalu.
Malah laporan akhbar Los Angeles Times menyifatkan pertarungan akhir antara Phillip dan Jessica telah menampakkan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Phillip.
Ia berikutan impak daripada keupayaan Philip yang mengalunkan lagu Billy Joel, Movin' Out menjadi seperti lagu miliknya sendiri manakala Jessica pula mendendangkan lagu balada berjudul Change Nothing.
Sementelah Jessica dikatakan langsung tidak memberi saingan kepada Phillip, malah dia disarankan Los Angeles Times untuk mencari nama komersial bagi memastikan kelangsungan kariernya berjalan lancar.
"Ia adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat beraksi di atas pentas ini dan bermain dengan banyak orang yang hebat.
"Kepada para peminat saya, berterima kasih kerana mengundi kami berdua sehingga ke peringkat ini," ucap Phillip sebelum diumumkan sebagai pemenang baharu program tersebut.
Berusia 21 tahun, Phillip yang berasal daripada Leesburg, Georgia, Amerika Syarikat sememangnya bukan peserta yang pertama tampil dalam American Idol bertemankan gitar atau kebolehan bermain instrumen. Dia juga bukan peserta pertama yang berbakat mengubah lagu sedia ada menjadi lebih segar.
Detik debaran Phillips dan Jessica ketika melangkah di pentas final American Idol 11.


Namun hal yang tidak dapat disangkal, dalam American Idol 11, hanya Phillip seorang yang membawa 'bekal lebih' berbanding peserta lain. Tidak dinafikan 13 peserta yang bertanding kali ini masing-masing mempunyai vokal yang mengagumkan.
Sekadar menyebut beberapa nama seperti Heejun Hun, Joshua Ledet, selain Jessica sendiri, ketiga-tiga mereka memang terkenal dengan vokal luar biasa.
Heejun misalnya sentiasa menggoda audiens dengan vokal dalam tonasi rendah, Joshua yang hanya menduduki tangga ketiga memukau dengan vokal emasnya selain Jessica yang tidak pernah gagal melontar vokal gemersik dengan kawalan yang cukup baik.
Tuah bagaimanapun lebih memihak kepada Phillip. Pada malam final yang berlangsung semalam, Phillip dilihat menangis sewaktu membawakan lagu karya sulungnya berjudul Home sebaik sahaja diumumkan sebagai juara American Idol 11 sebelum dia meninggalkan pentas dan berpeluk-pelukan dengan ahli keluarganya sebagai tanda meraikan kemenangan yang diperolehnya itu.
Sentiasa konsisten menukar lagu-lagu yang diberi menjadi seperti lagu miliknya, barangkali itu yang membuat pengundi tertawan dengan kebolehannya.
Selain itu, dia yang kerap mengucapkan ucapan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan mengundinya melalui Twitter peribadinya juga dilihat menjadi antara faktor kemenangan yang diperoleh.
Sakit
Di sebalik kemenangan dan kemasyhuran yang diperoleh, ada harga yang tetap perlu dibayar oleh jejaka dengan senyuman manis itu.
Oleh kerana dia terbabit dengan American Idol 11, Phillip terlepas untuk menghadiri majlis konvokesyennya selepas tamat pengajian di Albany Technical College, Albany, New York.
SAAT gemilang Phillip sebaik diumumkan sebagai juara American Idol 11 sambil dipeluk oleh Jessica.


Pada bulan Mac yang lalu, dia juga pernah dikejarkan ke hospital kerana masalah buah pinggang yang dihidapinya selama ini.
Malah sebaik dinobatkan sebagai juara American Idol 11, Phillip akan segera menjalani pembedahan bagi membantu dia bebas daripada penyakit tersebut.
Dia juga dikhabarkan tidak akan turut serta dalam beberapa buah promosi American Idol 11 kerana pembedahan tersebut yang memerlukan dia berehat panjang.
Namun sebaik sahaja dia sihat sepenuhnya, Phillip akan terus aktif dan memulakan kembara baharunya sebagai artis sebenar. Dengan semua bakat yang telah ditonjolkan dalam American Idol 11, persoalan timbul mampukah Phillip bersaing dengan artis sedia ada dan seterusnya mengekalkan popularitinya.

Lagu Lufya untuk Zarina Anjoulie


ZARINA ANJOULIE



PENYANYI Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar sebelum ini 'berperang' di laman sosial Twitter dengan Zarina Anjoulie Lavocah. Ia berlaku selepas Lufya mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya pernah diganggu dan dipandang serong masyarakat gara-gara wajahnya yang seiras dengan pelakon drama Anak Ponti itu.
Kenyataan Lufya itu membuatkan Zarina telah melancarkan 'perang' terhadapnya. Zarina membuat kenyataan balas bahawa Lufya sengaja membangkitkan isu tersebut kerana namanya kurang popular.
Lufya yang mengambil sikap berdiam diri dan tidak membalas kenyataan yang dibuat oleh Zarina mengatakan perang kenyataan yang dibuat oleh Zarina itu menjatuhkan imej artis-artis di Malaysia.
Ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia dan Lord's Tailor di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, Lufya yang bakal muncul dengan lagu kerohanian berjudul Doaku sempena bulan Ramadan ini memberitahu, dia menujukan lagu tersebut untuk Zarina. 
Kosmo!: Khabarnya Lufya ada mencipta lagu sendiri berjudul Doaku?
LUFYA: Ya, lagu Doaku hasil ciptaan saya sepenuhnya. Lagu itu merupakan lagu kerohanian pertama saya dan bakal dipasarkan pada bulan Ramadan nanti.
Benarkah lagu Doaku ini ditujukan buat Zarina?
Ketika kecoh isu saya dan Zarina, secara kebetulan lagu Doaku memang sudah siap sejak pertengahan tahun lalu. Saya bukan cipta lagu ini khas buat dia tetapi saya tujukan lagu ini kepadanya kerana kutukan yang dibuatnya terhadap saya sangat melampau.
Adakah Lufya kesal kerana membuat kenyataan tentang wajah kalian yang seiras?
Saya tidak kesal membuat kenyataan tetapi saya kesal perkara ini secara tidak langsung telah menjatuhkan reputasi artis tempatan. Secara jujur saya tidak salahkan dia, cuma isu tersebut menjadi besar hanya akibat salah faham.
Komen Lufya terhadap segala kenyataan yang diberikan oleh Zarina?
Terserah kepada dia untuk cakap apa sahaja. Saya diamkan diri kerana berfikir tidak mahu besarkan isu tetapi tidak. Sebaliknya saya dikutuk bertubi-tubi. Memang saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai isu ini lagi, cuma saya tujukan lagu Doaku kepadanya. Saya harap dia akan dengar dan hayati lagu itu.
Bercakap soal lagu, kenapa mengubah genre lagu daripada irama pop ke kerohanian?
Saya tidak mahu menjadi penyanyi yang kekal dengan satu genre lagu sahaja. Kalau boleh saya ingin dikenali sebagai penyanyi yang versatil, lagu Doaku merupakan percubaan pertama saya dan berharap agar lagu ini diterima ramai.
Adakah selepas ini, Lufya akan beralih ke lagu-lagu kerohanian?
Bukan beralih sepenuhnya tetapi saya mencuba. Saya orang biasa dan saya mengaku bukannya alim tetapi setiap hari saya berdoa untuk menjadi orang lebih baik. Jika orang yang mendengar lagu ini mendapat inspirasi, saya sudah cukup berpuas hati.
Lagu-lagu Lufya sebelum ini kurang diputarkan di corong radio, adakah Lufya yakin lagu Doaku bakal mendapat sambutan?
Soal sambutan saya tidak boleh ramal, bagaimanapun daripada pengalaman saya sebelum ini saya akan mencuba yang terbaik untuk mempromosikan lagu tersebut. Sekiranya lagu saya tidak mendapat sambutan tidak bermakna saya akan berputus asa.

Lady Gaga batalkan konsert jelajah Asia


PENUNJUK perasaan memegang poster membantah konsert Lady Gaga di Indonesia 
pada 3 Jun depan. - AFP


SINGAPURA - Bintang pop Amerika Syarikat (AS), Lady Gaga yang sebelum ini berhasrat menunda tarikh konsert jelajahnya bercadang mahu membatalkan terus konsert tersebut, kata pengurusnya, Troy Carter semalam.
Ia berikutan beberapa konsert jelajahnya yang dicadangkan berlangsung di Asia mendapat bantahan keras daripada kumpulan-kumpulan agama dan konservatif.
Menurut Carter, konsert jelajah Lady Gaga mendapat bantahan di Korea Selatan, Indonesia dan Filipina sejak dari awal ia diumumkan lagi.
"Kami akan membatalkannya," kata Carter dalam satu persidangan muzik di Singapura.
Penganut Kristian konservatif di Korea Selatan, Filipina dan kumpulan agama Islam di Indonesia mengkritik penyanyi berimej pelik itu kerana sering mempromosikan tingkah laku tidak bermoral, manakala kebanyakan lirik lagunya disifatkan sebagai memuja syaitan.
Polis Indonesia tidak mengeluarkan permit kepada penganjur bagi konsert yang dijadualkan pada 3 Jun depan di Jakarta selepas mendapat ancaman keganasan daripada kumpulan-kumpulan militan.
Lady Gaga dijangka mengadakan 110 buah konsert pada tahun ini berikutan kejayaan album Born This Way yang terjual lebih enam juta unit di seluruh dunia sejak ia dilancarkan pada Mei 2011. - AFP


Meterai bukti kota Baitul Laham wujud



GAMBAR yang disiarkan dalam laman web Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin menunjukkan meterai kuno yang tertera nama Baitul Laham. - Agensi


BAITULMUQADDIS - Sepasukan ahli arkeologi Israel menemui sebuah meterai (cop mohor) berusia 2,700 tahun yang tertera perkataan Baitul Laham dalam bahasa Ibrani, kata Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin.
Ia dipercayai bukti terawal kewujudan kota Baitul Laham seperti yang disebut dalam kitab Injil.
Penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa dilahirkan di kota Baitul Laham.
Diperbuat daripada tanah liat, meterai itu ditemui semasa kerja ekskavasi di Kota Nabi Daud, berhampiran Bandar Lama di sini.
Pengarah ekskavasi berkenaan, Eli Shukron berkata, artifak berdiameter 1.5 sentimeter itu dihasilkan antara 700 hingga 800 tahun Sebelum Masihi ketika raja-raja Yahudi memerintah kerajaan Judah atau 700 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. - Agensi

Pesawat tentera patah dua


ANGGOTA bomba memindahkan serpihan pesawat tentera An-30 yang patah dua.


PRAGUE, Republik Czech - Sebuah jet tentera Rusia terbabas dari landasan, patah dua dan terbakar semasa mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di Caslav, 32 kilometer dari sini kelmarin.
Beberapa pegawai Rusia berkata, tujuh orang cedera dengan seorang parah dalam nahas tersebut yang berlaku ketika pesawat itu pulang daripada misi pemantauan.
Jurucakap tentera Republik Czech, Jana Ruzickova memberitahu, pesawat Antonov An-30 buatan Rusia itu membawa 23 orang.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Kolonel Igor Konashenkov, sistem pendaratan hadapan pesawat patah semasa mendarat.
Namun, punca sebenar nahas masih disiasat. - Agensi


Helikopter pengangkut CH-46 'bersara'

SEBUAH helikopter CH-46 terbang di tepi pantai dekat Kem Pendleton, California kelmarin. - Agensi



WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Helikopter pengangkut, CH-46 menamatkan perkhidmatan dalam tentera AS kelmarin.
Helikopter itu digunakan dalam semua konflik melibatkan pasukan Marin AS sejak tahun 1964.
CH-46 kini digantikan dengan helikopter model baharu, MV-22 'Osprey'.
Sebanyak 500 buah helikopter CH-46 telah dibina sejak hampir 50 tahun lalu. - Agensi

Rahsia terbongkar di atas katil


SALEHHUDIN (tengah) menunjukkan sebahagian kapsul syabu yang dirampas daripada seorang lelaki Nigeria pada sidang akhbar di Melaka semalam.


MELAKA – Siapa sangka rahsia seorang keldai dadah Nigeria yang telah beberapa kali berjaya meloloskan diri menyeludup bahan khayal itu ke negara ini akhirnya terbongkar selepas dia terbuang air besar di atas katil Hospital Melaka setelah tiga jam dirawat.
Tembelang lelaki berusia 33 tahun tersebut terbongkar pada pukul 3 pagi kelmarin apabila petugas hospital yang cemas melihat keadaannya hairan sebaik ternampak 11 objek pelik turut terkeluar bersama najis di atas katil.
Bagaimanapun, selepas diteliti, mereka mendapati ia merupakan kapsul dadah yang telah ditelan oleh suspek untuk diseludup dan dijual kepada penagih syabu di negeri ini.
Selepas ujian X-ray dilakukan, doktor mengesahkan sebanyak 16 kapsul dadah lagi masih berada di dalam perutnya. Ia kemudian dapat dikeluarkan pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, pembongkaran berlaku apabila suspek yang mendakwa dirinya pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur ditahan ketika berkelakuan seperti orang tidak siuman berhampiran Rumah Batik, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada pukul 10.30 malam.


One Drop Perfumes perkenal kategori Miss Versatile


FINALIS WHF 2012 memperagakan produk haruman One Drop Perfumes di Kompleks Kubah Ria, Kuching malam tadi.


KUCHING – Seramai 14 finalis Miss World Harvest (WHF) 2012 bersaing buat pertama kali pada tahun ini untuk merebut gelaran Miss Versatile One Drop Perfumes dengan membuat penampilan di Kompleks Kubah Ria di sini malam tadi.
Kesemua 14 finalis tersebut yang mengenakan jean dan baju T eksklusif Kosmo! tampil satu persatu dengan gaya cat walk sebelum memperkenalkan diri sambil memegang produk One Drop Perfumes.
Pengurus Pemasaran dan Jualan Kampung Budaya Sarawak, Zaini Zainuddin berkata, program malam tadi merupakan salah satu acara untuk mengadili pemenang yang akan dinobatkan sebagai Miss Versatile One Drop Perfumes.
Menurutnya, terdapat tiga kriteria yang diberi perhatian untuk menobatkan pemenang bagi kategori tersebut iaitu disiplin, ringan tulang dan penampilan.
“Dua kriteria iaitu disiplin dan ringan tulang telah pun diadili sejak awal lagi manakala untuk kriteria penampilan pula mereka dihakimi pada malam ini dan hari kemuncak nanti.
“Pemenang bagi kategori Miss Versatile One Drop Perfumes akan diumumkan pada hari kemuncak WHF 2012 pada Sabtu ini di Kampung Budaya Sarawak.


SHARE THIS

Blog Archive