Pengikut Boyzzonne

Saturday, November 19, 2011

Singa lahir 5 anak di Zoo Taiping



SEORANG kakitangan Zoo Taiping menunjukkan lima ekor anak singa Afrika yang baru dilahirkan di Zoo Taiping, Perak semalam.


TAIPING – Zoo Taiping dan Safari Malam di sini menerima anggota baharu dengan kelahiran lima ekor anak singa Afrika dan seekor anak gajah baru-baru ini.
Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus berkata, empat ekor anak singa jantan dan seekor anak singa betina itu dilahirkan pada 26 Oktober lalu.
“Kelima-lima anak singa Afrika itu adalah baka daripada induk singa betina, Nyanga, 5, yang dilahirkan di Zoo Taiping dan Safari Malam pada 3 September 2006.
“Nyanga merupakan singa kedua yang berjaya dilahirkan di zoo ini dan merupakan singa tempatan pertama berjaya membiak di zoo ini

Penghantaran Putera William ke Falkland dipertahan



PUTERA William yang bertindak selaku juruterbang helikopter pencari dan penyelamat, Sea King akan ditugaskan ke Pulau Falkland pada tahun depan.


LONDON - Pegawai-pegawai Britain kelmarin mempertahankan tindakan menghantar Putera William untuk bertugas di Kepulauan Falkland selepas Argentina mengecam tindakan tersebut sebagai mencetuskan provokasi.
Kementerian Pertahanan pada minggu ini mengumumkan bahawa Putera William, 29, yang bertugas sebagai juruterbang pencari dan penyelamat Tentera Udara Diraja Britain akan dihantar ke pos tentera di Kepulauan Falklands selama enam minggu pada tahun depan.
Penghantaran beliau yang akan dibuat menjelang sambutan ulang tahun ke-30 kekalahan Argentina kepada Britain dalam perang Falkland mencetuskan kemarahan beberapa pemimpin Argentina.
Seorang pegawai Argentina, Sebastian Brugo memberitahu akhbar negara berkenaan, La Nacionbahawa langkah itu bersifat provokatif.
Ketua angkatan bersenjata Britain, David Richards bagaimanapun menafikan London mempunyai motif tersembunyi dalam membuat keputusan tersebut.
"Putera William bersama adiknya Putera Harry ialah anggota angkatan bersenjata Britain. Mereka perlu melakukan tugas berdasarkan jadual yang telah diatur," kata Richards.
Britain memerintah Kepulauan Falkland yang terletak 460 kilometer ke timur pantai Argentina selama lebih 180 tahun.
Argentina bagaimanapun menuntut kedaulatan ke atas kepulauan berkenaan yang digelar Las Malvinas.
Kedua-dua negara itu terlibat dalam perang singkat kerana isu kepulauan berkenaan pada 1982. - Agensi

Abu mayat diproses jadi manik



PENGASAS syarikat Bonhyang, Jae-yul menunjukkan mesin yang menukar abu mayat manusia kepada manik perhiasan. (Gambar kecil)MANIK-MANIK kristal yang terhasil selepas pembakaran abu mayat manusia.


INCHEON, Korea Selatan - Rakyat Korea Selatan mencuba kaedah baharu untuk memperingati orang kaum keluarga dan sanak saudara yang sudah tiada.
Sekitar 500 orang telah menukar abu mayat orang tersayang mereka menjadi manik melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Bonhyang di sini, selatan bandar raya Seoul.
Seorang lelaki berusia 69 tahun, Kim II-nam menggali kubur bapanya dan menyerahkan mayat bapanya untuk dibakar.
Dia membayar AS$870 (RM2,728) untuk abu mayat bapanya diproses menjadi manik-manik kristal menyerupai batu permata.
"Setiap kali saya melihat manik-manik ini, saya menganggap ia adalah bapa saya dan saya akan mengingati hari-hari bahagia bersamanya," kata II-nam.
Pengasas Bonhyang, Bae Jae-yul berkata, manik-manik itu membolehkan orang ramai berada dekat dengan saudara-mara mereka yang telah mati.
"Manik-manik kami bersih dan tidak berbau," katanya.
Menurut Jae-yul, syarikatnya menggunakan suhu yang amat tinggi untuk meleburkan abu mayat sehingga abu berkenaan bertukar menjadi kristal berbentuk manik. Proses itu memakan masa selama 90 minit. - Agensi

Dipenjara kerana tembak anak tiri



ROLA EL-HALABi duduk di dalam sebuah mahkamah di Berlin, Jerman kelmarin.


BERLIN, Jerman - Bapa tiri petinju wanita Jerman, Rola El-Halabi dipenjara enam tahun kerana berulang kali menembak petinju berkenaan di bilik persalinan ketika dia bersiap sedia untuk perlawanan merebut kejuaraan.
Rola ditembak di tangan, lutut dan kaki oleh bapa tirinya itu, Hicham El-Halabi, 44, yang juga pengurusnya ketika dia menunggu untuk menentang Irma Balijagic Adler dari Bosnia bagi merebut gelaran juara lightweight Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF).
Kelmarin, sebuah mahkamah di sini menyatakan bahawa Hicham El-Halabi sengaja menembak petinju berusia 25 tahun itu pada 1 April lalu untuk menghalangnya daripada meneruskan kerjaya tinjunya.
Namun, wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawanya.
Turut ditembak ialah dua pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian.
Mahkamah yang sama menyatakan Hicham sebelum ini pernah menyerang tunang Rola pada Disember 2010.
Rola merupakan juara dunia Persekutuan Tinju Antarabangsa Wanita (WIBF) dan Persatuan Tinju Wanita Antarabangsa (WIBA) pada 2009. - Agensi

Erdogan bidas Presiden Syria



Recep Tayyip ERDOGAN


ANKARA - Turki kini hilang keyakinan terhadap rejim pemerintah Syria, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam.
Kenyataan tersebut merupakan amaran kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bahawa penggunaan kekerasan oleh tenteranya terhadap para penentangnya meletakkan beliau dalam senarai pemimpin yang dahagakan darah.
Erdogan mendesak Bashar supaya menghukum mereka yang bertanggungjawab menyerang misi-misi diplomatik Turki di Syria.
Dalam ucapannya, Erdogan tidak menghormati Bashar apabila beliau memanggil pemimpin Syria itu dengan menggunakan nama pertamanya.
"Bashar, anda mesti mencari mereka yang bertanggungjawab dan menghukum mereka," kata Erdogan
Sejumlah penyokong Bashar cuba menceroboh misi diplomatik Turki pada Sabtu lepas untuk mengecam keputusan Liga Arab yang menggantung keanggotaan Syria dalam pertubuhan itu ekoran penggunaan kekerasan oleh pemerintah Libya bagi mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lapan bulan lalu. - AP

Dipenjara kerana bunuh petani semasa rebut Viagra Himalaya



GAMBAR menunjukkan tiga tumbuhan Yarshagumba di Kathmandu, Nepal.


KATHMANDU - Sebuah mahkamah di Nepal menjatuhkan hukuman penjara terhadap 19 penduduk kampung atas kesalahan membunuh sekumpulan petani dalam pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan Yarshagumba yang mampu menguatkan seks yang dikenali sebagai Viagra Himalaya, kata seorang pegawai semalam.
Seramai tujuh petani telah dibunuh di daerah Manang pada bulan Jun 2009 semasa mengutip tumbuhan itu yang merupakan pendapatan utama bagi kebanyakan penduduk di Himalaya
Para tertuduh itu mendakwa tujuh petani tersebut mati secara tidak sengaja ketika berlaku pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan tersebut yang harganya boleh mencecah puluhan ribu dolar untuk satu kilogram di China.
Laporan mengenai kehilangan para petani itu diketahui oleh pihak berkuasa pada Jun 2009.
"Enam tertuduh didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun," kata seorang pendaftar sebuah mahkamah di daerah Manang, Shambhu Baral.
Menurutnya, seramai 13 lagi dijatuhi hukuman dua tahun penjara, tetapi mereka telah menghabiskan masa dalam tahanan sejak ditangkap.
Katanya, bukti-bukti menunjukkan hanya enam orang terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu.
Pada mulanya, pihak berkuasa menangkap seluruh penduduk kampung tetapi sejumlah wanita dan kanak-kanak kemudian dibebaskan. -AFP

Peralatan pelik musim banjir laris di Bangkok

DUA remaja menjual but dan seluar kalis air di Bangkok pada 2 November lalu.



BANGKOK - Banjir yang melanda ibu kota Thailand di sini memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai barang yang digunakan semasa banjir.
Antara barangan tersebut termasuk but getah beraneka warna, jet ski, pam air, kipas bot dan pembalut plastik.
Malah, mekanik-mekanik di sini menawarkan perkhidmatan mengapungkan kenderaan yang ditenggelami air dengan menggunakan bahan styrofoam.
Mereka juga melakukan modifikasi khas dengan memasang snorkel enjin dan ekzos yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal meredah jalan raya yang ditenggelami air.
Mekanik-mekanik itu di bandar raya ini sibuk dengan peralatan khas yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal melalui kawasan yang dilanda banjir.
Seorang mekanik berusia 24 tahun, Thong Dechapak berkata, bengkel kereta keluarganya mengenakan caj AS$333 (RM1,049) untuk memasang dua alat berkenaan.
Gajet enjin itu dipacak tegak melepasi bumbung kereta seperti snorkel selaman.
Ia berfungsi untuk menyedut udara bagi membolehkan pembakaran enjin terus berlaku ketika kenderaan melalui air banjir.
"Permintaan untuk alat ini tinggi. Kami menerima tempahan pelanggan sekitar dua bulan lalu apabila wilayah-wilayah di utara bandar raya ini mula ditenggelami air banjir," kata Thong.

Gambar yang dirakamkan pada 7 November lalu menunjukkan sebuah jet ski diletakkan di atas sebuah trak untuk dijual di Bangkok.


Seorang peniaga lain, Wiweena Boonsanong, 27, pula menjual beraneka but getah yang didatangkan dalam pelbagai warna.
"Wanita mahu gemar berfesyen walaupun dalam suasana banjir, kami mahu sentiasa kelihatan comel," kata Boonsanong.
Dalam tempoh sejam, peniaga wanita itu berupaya menjual enam pasang but getah pada harga AS$12 (RM37) sepasang.
Selain but getah, mesin kipas yang boleh digunakan sebagai kipas untuk menggerakkan rakit buluh turut mendapat permintaan menggalakkan.
Sebuah mesin berkenaan dijual pada harga sekitar AS$315 (RM993).
Wichra Lertrasamee yang menjual peralatan itu menyatakan, seorang pembeli membelinya untuk menggerakkan rakit buluh.
Keluarganya mula menjual peralatan untuk musim banjir itu di rumahnya di wilayah Chachergsao, timur Bangkok.
Apabila banjir itu melanda dari utara, dia mendirikan kedai sementara di kawasan berdekatan dengan Pathum Thani.
Apabila wilayah itu juga dilanda banjir, dia memindahkan perniagaannya ke Bangkok.
Menurutnya, dia bangun daripada tidur pada pukul 3 pagi supaya dapat tiba di bandar raya ini menjelang pukul 5 pagi bagi mendapatkan tempat strategik di pasar. Beberapa kawasan di Bangkok kini masih dilanda banjir. - Agensi

Katil tempat Jackson mati tak akan dijual



GAMBAR yang dirakamkan pada 7 November lalu menunjukkan katil tempat Michael Jackson meninggal dunia di rumahnya di Los Angeles, California.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Katil tempat penyanyi terkenal, Michael Jackson meninggal dunia pada 25 Jun 2009 tidak akan dijual dalam satu acara lelongan pada 17 Disember depan.
Lelongan berkenaan menampilkan barang-barang dari sebuah rumah yang disewa oleh Raja Pop itu di sini.
Firma lelongan Julien menarik balik katil tersebut daripada senarai lelongan barangan dari rumah beralamat 100 N. Carolwood Drive di sini yang merupakan kediaman terakhir Jackson sebelum kematiannya.
Presiden firma berkenaan, Darren Julien menyatakan kelmarin bahawa hanya kepala katil berkenaan sepatutnya dijual dalam lelongan itu.
"Namun atas permintaan Estet Michael Jackson, kami menarik balik kepala katil ini daripada lelongan yang akan diadakan pada 17 Disember depan," kata Julien.
"Sebelum ini cuma kepala katil ini yang berada dalam senarai lelongan, bahagian-bahagian lain katil berkenaan bukan untuk dijual," tambahnya. - Agensi

Biskut beras terbesar di dunia



BEBERAPA ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia bergambar dekat biskut beras terbesar di dunia di wilayah Chiba, Tokyo semalam.


TOKYO - Sekumpulan peminat snek di Jepun semalam mendakwa mereka mencatat rekod untuk biskut beras terbesar di dunia.
Memiliki diameter 160 sentimeter, biskut itu jauh lebih besar daripada biskut beras biasa yang dikenali sebagai senbei.
Senbei yang diperbuat daripada tepung beras, dimakan dengan meluas di Jepun.
Michihiro Yamaguchi yang merupakan seorang ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia di bandar Kioroshi, timur Tokyo menganggap ia adalah detik kejayaan buat mereka.
"Kami berjaya melakukannya. Inilah dendam yang amat manis," katanya selepas gagal dalam percubaan untuk berada dalam buku rekod dunia pada bulan lalu selepas biskut yang dihasilkan itu kurang tiga sentimeter daripada sasaran mereka. - AFP

Harimau jarang dilihat ditemui di Indonesia



SEBUAH kamera tersembunyi merakamkan gambar seekor harimau batu di Bukit Tigapuluh, Sumatera pada 18 Mac lalu. - Reuters


JAKARTA - Kumpulan pemuliharaan Dana Hidupan Sedunia (WWF) semalam mendesak pemerintah Indonesia memulihara hutannya selepas gambar-gambar menunjukkan beberapa ekor harimau yang jarang dilihat berada di sebuah kawasan pembalakan.
Menurut WWF, gambar itu menunjukkan harimau Sumatera, harimau emas, harimau bintang, harimau akar dan harimau batu berkeliaran di sebuah kawasan hutan yang tidak dilindungi.
Ia menyatakan, harimau tersebut ditemui berada di antara Taman Negara Bukit Tigapuluh, Sumatera dan sebuah kawasan pemuliharaan haiwan liar.
Lebih tiga bulan dalam tahun ini, kamera WWF merakamkan 404 gambar harimau liar termasuk 226 ekor harimau Sumatera, 77 ekor harimau akar, 70 ekor harimau emas, empat harimau batu dan 27 harimau bintang. - AFP

Aishwarya Rai Bachchan lahir anak perempuan

GAMBAR fail menunjukkan Aishwarya Rai bergambar di atas karpet merah di Festival Filem Cannes di Perancis pada 11 Mei 2011. - AFP



MUMBAI – Pasangan pelakon Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan dan suaminya Abhishek mendapat cahaya mata pertama semalam dengan kelahiran seorang bayi perempuan yang menyinari dinasti keluarga Bachchan.
Rai, 38, yang merupakan bekas Ratu Cantik Dunia bersalin secara normal di hospital swasta Seven Hills di sini.
“Ia bayi perempuan!,” Abhishek, 35, menulis di akaun Twitternya, @juniorbachchan, tanpa mengulas lanjut seperti laporan agensi berita AFP.
Ayah Bachchan iaitu legenda Bollywood, Amitabh turut melahirkan kegembiraan di akaun Twitternya kerana mendapat seorang cucu perempuan.
“Saya seorang datuk, gembiranya!” Ia bayi perempuan yang paling comel,” kata Amitabh.
Amitabh sebelum ini sudah bergelar datuk selepas anak perempuannya Shweta Nanda melahirkan dua orang anak.
Sementara itu, ucapan tahniah daripada peminat dan selebriti Bollywood berhubung kelahiran tersebut membanjiri Internet menerusi laman web Twitter.
Antara mereka yang menghantar ucapan itu termasuk pengarah terkenal Bollywood, Karan Johar.
Rai menyandang mahkota Ratu Cantik Dunia pada 1994. Dia mula berlakon dalam filem Bollywood pada akhir tahun 1990-an.
Sehingga kini, aktres jelita itu telah membintangi lebih 40 filem India.
Dia juga pernah muncul dalam filem blockbuster Tamil, Endhiran bersama aktor Rajinikanth yang memecahkan rekod box-office di India.
Rai juga pernah berlakon dalam filem The Pink Panther 2.
Sebelum kehamilan Rai diumumkan, dia menghadiri festival Filem Cannes di Perancis pada tahun ini bagi mempromosikan filem lakonannya, Heroine.
Filem itu dijangka menjalani penggambaran pada tahun ini tetapi pada Jun lalu, penerbitnya menyatakan ia terpaksa ditangguhkan kerana Rai hamil. – Agensi

Pembeli misteri jadi pemilik pertama berlian kuning

GENEVA, Switzerland - Sebutir berlian kuning seberat 110 karat dikenali sebagai Sun Drop dijual pada harga AS$10.9 juta (RM34.3 juta) dalam satu lelongan di sini, menurut firma lelongan Sotheby kelmarin.
Berlian Sun Drop ialah berlian kuning terbesar di dunia.
"Dijual pada harga AS$10.9 juta," kata seorang eksekutif Sotheby, David Bennett di hadapan sekitar 150 orang yang menghadiri lelongan berkenaan di sebuah hotel mewah di sini.
Harga jualan tersebut kurang daripada anggaran pakar-pakar yang meletakkan nilai berlian kuning itu antara AS$11 juta (RM34.6 juta) hingga AS$15 juta (RM47.2 juta).
Permata itu yang ditemui di Afrika Selatan dalam tahun 2010 mengagumkan para pengunjung semasa ia dipamerkan di Muzium Sejarah Semula Jadi London pada awal tahun ini dan juga Hong Kong.
"Ia belum pernah dimiliki, justeru, pembelinya merupakan orang pertama yang memakai berlian ini," kata Bennet.
Berlian tersebut bersaiz sebesar ibu jari tangan wanita.
Ia kelihatan kuning kerana mengandungi nitrogen dalam karbonnya.
Firma Sotheby bagaimanapun masih tidak mendedahkan identiti pembeli berlian tersebut. - AFP

Konvoi Hillary diserang bom cat

SEORANG anggota keselamatan dalam konvoi Hillary Clinton menghalang rempuhan sekumpulan penunjuk perasaan di Manila semalam.- Agensi



MANILA – Sekumpulan penunjuk perasaan bergelut dengan pasukan unit kawalan keselamatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (gambar kecil) berhampiran Istana Presiden Filipina semalam sekali gus memaksa konvoinya membuat lencongan, kata seorang jurugambar agensi berita AFP di lokasi kejadian.
Beberapa pengawal keselamatan Filipina dan sekurang-kurangnya seorang pengawal AS melompat keluar dan mengacukan raifal automatik selepas sekitar 50 penunjuk perasaan menendang dan menyimbah cat merah pada kenderaan-kenderaan mereka.
Namun, tiada tembakan dilepaskan, kata jurugambar berkenaan.
Jurucakap Kedutaan AS, Bettina Malone dan polis di sini enggan mengulas berhubung konfrontasi tersebut.
Menurut jurugambar AFP, insiden berkenaan berlaku selepas Hillary mengadakan pertemuan dengan Presiden Benigno Aquino di Istana Malacanang di sini.
Katanya, konfrontasi berlaku ketika beberapa anggota polis bermotosikal mendahului konvoi Hillary keluar dari istana berkenaan.
Kumpulan utama konvoi tersebut terpaksa berpatah balik dan mengambil laluan lain manakala pasukan polis pencegah rusuhan bertindak mengejar penunjuk-penunjuk perasaan yang berundur.
Jurugambar itu memberitahu, beberapa kenderaan keselamatan mengalami calar dengan cermin sisi sebuah kenderaan patah akibat ditendang oleh beberapa penunjuk perasaan.
Dianne Marie Solmayor yang merupakan jurucakap kumpulan belia berhaluan kiri di sini, Anakbayan memberitahu AFP bahawa mereka bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
Wanita itu memberitahu, sekitar 50 anggota kumpulannya membaling bom cat ke arah konvoi Hillary.
“Kami mengadakan protes kilat terhadap konvoi itu semasa ia muncul dari Istana Presiden,” katanya melalui telefon.
Dia memberitahu, tiada penunjuk perasaan yang ditangkap tetapi mendakwa polis mencederakan sebahagian daripada mereka.
Sejurus selepas insiden itu, seorang penunjuk perasaan turut mengganggu satu forum umum bersama Hillary untuk mendesak supaya pakatan ketenteraan antara AS dan Filipina ditamatkan.
Forum yang disiarkan di televisyen itu terganggu apabila seorang penunjuk perasaan tiba-tiba berdiri sambil memegang sepanduk dan menjerit, “Tamatkan VFA!” sebelum dia diiringi keluar oleh pengawal keselamatan.
Penunjuk perasaan itu merujuk kepada Perjanjian Tentera Pelawat (VSA) yang memberikan perlindungan undang-undang kepada askar-askar AS yang berada di Filipina.
Dalam perkembangan berkaitan, Hillary enggan memperbesarkan bantahan tersebut. Beliau sebaliknya menyatakan ia adalah ‘petanda bahawa orang ramai tidak gentar untuk meluahkan perasaan mereka” di Filipina.
Hillary berkunjung ke Filipina untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan ketika ketegangan antara Manila dengan Beijing semakin memuncak berhubung tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. – AFP

Bangunan kediaman digelar PBB Hong Kong



Peniaga dari Pakistan, Arif Mohammed berniaga di kedainya di Chungking Mansions, Hong Kong kelmarin.


HONG KONG - Bangunan Chungking Mansions di sini digelar sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Hong Kong.
Gelaran itu diberikan kerana terdapat pelbagai bangsa yang tinggal di bangunan berkenaan.
Pada asalnya ia merupakan kediaman untuk penduduk tetapi berkembang menjadi hotel murah, kedai dan perkhidmatan lain. - Agensi

Parlimen Kuwait diserbu

SEBAHAGIAN daripada ribuan penduduk menyerbu bangunan Parlimen di Kuwait kelmarin.



KUWAIT - Beribu-ribu rakyat di sini menyerbu bangunan parlimen kelmarin selepas polis dan pasukan elit membelasah penunjuk perasaan yang berarak menuntut Perdana Menteri, Sheikh Nasser Mohammad al-Ahmad Al-Sabah meletakkan jawatan, kata seorang ahli parlimen pembangkang.
Penunjuk perasaan itu memecahkan pintu masuk bangunan parlimen dan memasuki ruang utama dan menyanyikan lagu negara mereka.
"Kini kami telah memasuki bangunan milik rakyat ini," kata Mussallam al-Barrak yang mengetuai tunjuk perasaan itu.
Bagaimanapun, kumpulan ini beredar selepas beberapa minit.
Terdahulu pihak polis telah menggunakan baton untuk menghalang kumpulan perusuh ini ketika sedang berarak.
Saksi-saksi menyatakan sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera.
Beberapa aktivis berkata, mereka akan terus mengadakan tunjuk perasaan di luar parlimen sehingga perdana menteri itu dipecat.
Ia adalah keganasan politik yang pertama sejak Disember tahun lalu, apabila pasukan elit membelasah para penunjuk perasaan dan ahli parlimen pada perhimpunan awam.
Ketegangan telah bermula dalam tempoh tiga bulan yang lalu selepas kira-kira 16 orang ahli parlimen didakwa menerima rasuah kira-kira AS$350 juta (RM1105.79 juta).
Pada Rabu lalu, seramai 20 ahli parlimen pembangkang telah memboikot sesi parlimen sehari selepas pihak kerajaan dan para penyokongnya menolak kenyataan perdana menteri telah menerima rasuah.
Tiga anggota parlimen juga memfailkan permohonan supaya perdana menteri berusia 71 tahun itu disoal berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli-ahli parlimen dan pemindahan wang ke luar negara secara haram.

Parti Republikan kritik hutang Amerika Syarikat


RICK PERRY (kanan) yang mengkritik hutang pentadbiran Presiden Barack Obama berucap dalam kempen pemilihan sebagai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) di Nashua, AS kelmarin.


WASHINGTON - Wakil-wakil rakyat daripada Parti Republikan memberikan reaksi berhubung laporan mengenai beban hutang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang mencecah lebih AS$15 trilion (RM47.39 trilion).
Pengerusi Jawatankuasa Bajet Parti Republikan, Paul Ryan menyifatkan jumlah itu tersebut menandakan hari yang popular dalam sejarah AS.
Beliau membuat kenyataan itu dalam laman Twitternya kelmarin.
Gabenor Texas, Rick Perry turut menyatakan dalam Twitter tersebut dengan menyalahkan dasar-dasar sosialis Obama kerana sedang memufliskan negara.
Perry bertanding untuk menjadi calon Presiden AS bagi mewakili Parti Republikan untuk menentang Obama.
Seorang lagi anggota Parti Republikan, Michele Bachmann pula menyifatkan negara ini seperti sebuah bot yang sedang menuju ke arah air terjun.
Kesimpulan yang dicapainya ialah: "Kita perlu hentikan perbelanjaan, berhenti menjadi negara kebajikan."
Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan, Reince Priebus berkata: "Amerika telah melintasi angka yang dapat difikirkan, hutang negara sekarang melebihi AS$15 trilion (RM47.39 trilion)," katanya.
Menurutnya, hutang besar itu akan merencatkan ekonomi serta merugikan rating kredit.
Hutang AS ialah AS$10.62 trilion (RM33.55 trilion) ketika Obama mengambil alih tugasnya dan ia meningkat kepada AS$14.304 trilion (RM 45.193 trilion) pada bulan April lalu.
Perbendaharaan AS kelmarin mendedahkan hutang negara ini ialah AS$15,033,607,255,920.32 (RM47,490,698,234,988.44). - Agensi

Cooper dipilih lelaki paling seksi





LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Aktor Hollywood, Bradley Cooper (gambar) dilabel sebagai lelaki paling seksi yang masih hidup di dunia oleh majalah hiburan AS, People.
Dalam ulasannya, majalah People menyatakan, pelakon berusia 36 tahun itu bersikap sederhana walaupun dia memiliki senyuman memikat dan sepasang mata biru yang menakjubkan.
Menurut majalah berkenaan, Cooper juga seksi kerana amat rapat dengan ibunya terutama selepas bapanya, Charles meninggal dunia pada Januari lalu.
"Saya fikir ia hebat untuk seorang lelaki yang tidak memiliki wajah seorang model diberikan penghormatan sebegini," kata Cooper yang popular menerusi filem komedi, Hangover dalam satu wawancara bersama People.
"Saya fikir saya memiliki rupa paras yang baik. Kadang-kala saya kelihatan hebat dan sebahagian lagi saya nampak teruk," katanya.
Pelakon kacak itu bercinta dengan aktres Renee Zellweger selama dua tahun sebelum mereka berpisah pada Mac lalu.
Dia juga pernah dilihat intim bersama penyanyi Jennifer Lopez, tetapi Cooper menegaskan bahawa dia bukan seorang lelaki kasanova.
Antara pemenang terdahulu ialah aktor Ryan Reynolds, George Clooney, Brat Pitt dan Mel Gibson. - AFP

Terowong dadah ditemui di sempadan AS



SEORANG askar Amerika Syarikat (AS) meninjau sebuah terowong dadah di sempadan AS-Mexico di Tijuana kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pihak berkuasa AS mengumumkan kelmarin sebuah terowong utama yang digunakan bagi tujuan penyeludupan dadah di sempadan AS-Mexico telah ditemui.
Susulan penemuan tersebut, anggota-anggota pihak berkuasa AS dan Mexico merampas sekurang-kurangnya 14 tan ganja dan menangkap dua orang yang memiliki terowong canggih itu.
Terowong itu bersambung dengan beberapa buah gudang di Tijuana, Mexico dan Otay Mesa, selatan California di sebelah AS.
Terowong sepanjang 365 meter itu yang dilengkapi bekalan elektrik dan pengudaraan ditemui pada Selasa lepas oleh pihak berkuasa San Diego selepas beberapa anggota melihat sebuah trak yang mencurigakan meninggalkan sebuah gudang di Otay Mesa.
"Kartel-kartel dadah tersilap apabila mereka percaya dapat mengelak daripada dikesan dengan menyeludup dadah di bawah tanah. Kami dapat mengesan terowong seperti ini dan menutupnya," kata seorang anggota pihak berkuasa, Derek Benner.
Operasi pada Selasa lepas bermula apabila polis lebuh raya menahan trak yang mencurigakan itu dan menemui tiga tan ganja.
Dua lelaki ditangkap dan satu waran dikeluarkan untuk menggeledah gudang berkenaan dengan pihak berkuasa menemui lagi 6.5 tan ganja lagi.
"Laluan terowong itu yang berukuran 1.2 meter kali 0.9 meter dilengkapi bekalan elektrik dan pengudaraan," tambah Benner.
Menurutnya, pihak berkuasa percaya terowong berkenaan siap dibina baru-baru ini.
Pihak berkuasa Mexico yang dimaklumkan oleh AS bertindak menyerbu sebuah gudang di bandar Tijuana dan menemui beberapa tan lagi ganja. - AFP

SHARE THIS

Blog Archive