Pengikut Boyzzonne

Thursday, September 8, 2011

Hatchback eksotik tiga pintu



SEWAKTU dipertontonkan di Geneva Motor Show di Switzerland pada 1 Mac lalu, model terbaharu Ferrari iaitu FF sudah mencetuskan pelbagai reaksi berbeza. Ada yang memuji tindakan pengeluar Itali itu kerana berani menonjolkan kelainan pada barisan produknya. Jika ada pujian, pastinya akan ada juga kritikan.
Model FF ialah akronim untuk Ferrari Four. Namanya berkait rapat pada dua ciri utama. Empat tempat duduk dan pacuan empat roda. Model Prancing Horse terbaharu itu ialah sebuah hatchback grand
tourer.
Pengganti kepada model Ferrari 612 Scaglietti itu mempunyai ruang kargo yang besar seluas 450 liter. Jika tempat duduk belakang diturunkan, kapasiti ruang simpanan ditingkatkan sehingga 800 liter! Apa relevannya ruang kargo sebesar ini pada sebuah kereta supersport mewah?
Itulah antara persoalan pengkritik. Mereka mendakwa ciri itu menjadi penyebab model FF gagal meraih perhatian peminat. Sejauh mana kata-kata itu bukan untuk saya mengadilinya. Masing-masing ada pendapat. Berhubung soal ruang kargo, ada juga kebenarannya. Ruang kargo lazimnya bukan antara ciri-ciri utama untuk sebuah jentera supersport mewah.
“Ferrari suatu ketika dahulu merupakan kereta yang anda simpan dalam garaj. Keluar untuk dikilatkan dan menayangkannya. Kemudiannya, ia dimasukkan semula dalam garaj. Tetapi hari ini, orang ramai mahu melakukan lebih dengan kereta mewah mereka,” demikian kata Presiden Ferrari, Luca Cordero di Montezemolo, Itali berhubung model FF.
Sewaktu artikel ini ditulis, Ferrari FF menduduki tangga ketiga kereta sport eksotik dalam portal U.S News. Jentera itu berkongsi kedudukan dengan Audi R8 2012. Ketinggalan di belakang dua model Lamborghini iaitu Gallardo 2011 dan Aventador 2012.


MODEL FF dibina berdasarkan kepada konsep Shooting-Brake.



FF di Malaysia
Hanya selepas lima bulan pelancarannya, model tersebut diperkenalkan di negara ini. Tugas itu direalisasikan oleh Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia). Naza Italia diberikan hak eksklusif mengimport jenama ikonik mewah itu oleh Ferrari SpA pada Mac 2008.
Harus tahu bahawa model FF ialah GT paling eksklusif dalam pasaran. Ia merupakan jentera empat tempat duduk paling berkuasa dalam dunia.
Jentera itu dilengkapi sistem pacuan empat roda. Pertama dalam keluarga Ferrari. Sistem pacuan itu dipasang dengan sistem pembeza elektronik pada bahagian belakangnya (E-Diff). Selain itu, sistem pacuan FF turut diintegrasi dengan traction control F1-Trac.
Hatchback tiga pintu itu dipasang dengan enjin V12 bersesaran 6,262cc yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar dan kotak gear tujuh kelajuan F1. Satu lagi pembaharuan dalam segmen kenderaan mewah supersport.


RUANG kargo seluas 450 liter pasti berguna jika ingin bersiar-siar bersama keluarga.



Keseluruhan rangkaian kuasa itu memberikan hasil terbaik. Jentera berupaya menjana tambahan 20 peratus kuasa dan mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 25 peratus!
Rekaan luaran dan dalaman
Paras rupa model FF pada bahagian hadapan menonjolkan karismatik sebuah Ferrari. Lampu bahagian hadapan merangkumi padanan bi-xenon dan LED. Bampar pula dilengkapi gril yang agak besar dengan lambang Prancing Horse di hadapannya. Turut jelas kelihatan ialah dua lubang saluran udara, masing-masing di bahagian kiri dan kanan bampar.
Jika memandang dari sudut tepi, anda akan melihat rekaan sebenarnya yang dikenali sebagai shooting-brake. Untuk makluman, shooting-brake adalah kombinasi bentuk wagon dan coupe yang menawarkan ruang penumpang dan kargo.
Rekaan bahagian belakang menampilkan kombinasi lampu isyarat membelok, membrek dan undur. Turut kelihatan ialah ekzos kembar pada kiri dan kanan bampar belakang. Tidak lupa juga penggunaan diffuser mengemaskan lagi aspek aerodinamiknya.


DARI KIRI: Pengurus Perniagaan Ferrari Asia Pasifik, Paolo Ferrari dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin melancarkan ikon terbaru Naza Italia baru-baru ini.



Melangkah masuk ke dalam kabin jentera dengan anggaran harga lebih RM2.8 juta itu, ternyata semua aspek dalamannya cukup sempurna. Pilihan enam jenis warna dalaman disediakan. Turut kelihatan ialah beberapa bahagian dalaman jentera yang diperbuat daripada gentian karbon.
Stereng model FF dikatakan menyamai rekaan Ferrari F1. Ada beberapa butang kawalan yang diadun padanya termasuklah butang penghidup, lampu tinggi, petunjuk dan pengelap cermin. Tidak terlupa juga ciri paddle shifter di bahagian belakang stereng.
Pandang sahaja ke hadapan, takometer berada di tengah-tengah panel instrumen. Di bahagian kiri takometer, ada satu skrin yang memaparkan pelbagai penetapan (setting) jentera. Sementara bahagian kanan pula ialah meter laju elektronik.
Sistem infotainment turut didatangkan pada Ferrari FF. Dua skrin dipasang pada belakang kerusi barisan hadapan dengan sistem stereo 16 saluran Dobly Surround Sound berkuasa 1,280 watt.
Hanya sebuah FF ditawarkan buat setakat ini. Naza Italia memberitahu, FF bakal melonjakkan jualan Ferrari yang sebelum ini banyak disumbang oleh model Ferrari 458 Italia.

Honda Accord 2.4



Honda Accord generasi kelapan ini merupakan kenyataan Honda terhadap aspek sofistifikasi binaan sebuah sedan mewah.


SEDAN eksekutif buatan Honda ini tidak memerlukan pengenalan panjang lebar. Namanya sudah cukup gah di setiap pasaran yang disertainya. Sama ada di Asia, Eropah mahupun Asia Barat, pengguna tidak akan menyifatkannya sebagai satu model yang asing.
Mula dihasilkan pada tahun 1976, ia mempunyai sejarah menjangkau 35 tahun. Dalam tempoh itu, Accord sudah menjelma menjadi sebuah sedan global dengan barisan anugerah serta inovasi dipadatkan ke dalamnya.
Maka, tidak hairanlah jika ia merupakan salah satu model terlaris keluaran Honda. Dijual di lebih 160 buah negara, jualan Accord sudah mencecah 18 juta unit sehingga tahun 2010. Dengan jualan sebanyak 7,322 unit pada tahun lalu, Malaysia menjadi pasaran Accord nombor satu dalam kalangan negara Asean.
Begitulah popularnya model Honda Accord. Jadi, kalau ada sesiapa yang mengaku peminat kereta tetapi tidak kenal dengan Honda Accord, tukar sahaja pengakuan itu kepada minat penyanyi K-Pop. Lain kali, kalau ditanya lagi tidaklah malu sangat.
Kenapa Accord laku? Selain jenama Honda yang kukuh, faktor-faktor seperti prestasi enjin, penjimatan bahan api, kualiti pemanduan dan reka bentuk dalaman serta luaran menjadi penyumbang kepada pembelian sebuah Accord.
Namun, situasi tidak lagi mudah buat Honda. Dengan kehadiran model buatan Korea seperti Sonata dan Optima, ditambah dengan seteru tradisinya Camry serta kehadiran Nissan Teana, Honda nampaknya tidak lagi dapat duduk dengan selesa. Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikannya kekal relevan dan terus mampu menarik perhatian pembeli.
Itulah yang dibuat oleh Honda. Honda Accord dengan varian enjin 2.4 liter yang saya pandu uji baru-baru ini bukanlah model baru dalam pasaran. Ia merupakan model yang telah menerima proses penambahbaikan ke atasnya pada Mac lalu.
Jadi, anda boleh lihat perubahan pada bahagian luaran. Misalnya, gril radiator dan trunk lid berwarna krom, selain rim aloi bersaiz 17 inci yang mendapat rekaan baru. Perkara lain, tidak ada yang berubah pada penampilan Accord. Harus ingat, bukan mudah untuk mengubahsuai sesuatu yang sudah sedia cantik.
SEDAN eksekutif ini merupakan antara model penting buat Honda.


Boleh tidur lena
Ruang kabin jentera itu mengetengahkan warna hitam pada papan pemuka dan tempat duduknya. Honda mengaplikasikan kemasan gabungan warna kelabu pada bahagian konsol tengah yang biasanya menggunakan kemasan kayu berwarna coklat terang. Ia bagi menjadikannya terasa lebih sporty.
Sekali pandang, papan pemuka Accord macam ada terlalu banyak butang. Jangan risau, ia mudah dioperasi dan dicapai oleh pemandu. Ada satu perkara yang saya tidak suka. Tempat duduknya, tidak kiralah untuk pemandu atau penumpang terasa agak keras. Walaupun tidaklah sekeras tempat duduk kedai gunting mamak, tetapi ia tetap membuatkan perjalanan jauh kurang selesa.
Accord memang sebuah sedan yang panjang dan besar berbanding generasi sebelumnya. Jadi, anda boleh mengharapkan ruang kaki dan kepala yang luas. Ditambah dengan kualiti NVH yang bagus, tidur pun semakin lena.
Namun begitu, saiznya itu membuatkan pemandunya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Mujurlah ia hadir bersama alat pengesan ketika hendak memarkir.

REKAAN papan pemuka yang nampak mewah.


Dijana dengan unit enjin berkuasa 180PS dan tork maksimum 22Nm, ia sudah memadai untuk menggerakkan tubuhnya tanpa rasa malas. Kuasa tersebut diagih menerusi kotak transmisi automatik lima kelajuan konvensional. Sebagai sebuah Honda, kadar penggunaan minyaknya adalah menjimatkan. Inilah ciri yang ramai orang paling suka.
Kombinasi antara struktur badan berteknologi Advanced Compatibility Engineering (ACE) dengan suspensi double wishbone pada roda hadapan dan jenis multi link untuk roda belakang memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh.
Untuk semua itu, Honda tidak meminta wang tambahan. Harga Accord kekal pada takat sebelum penambahbaikan iaitu RM172,800 seunit. Jika harga itu terlalu tinggi untuk anda, pilih sahaja varian yang lebih murah seperti 2.0L VTi (RM142,800) dan 2.0L VTi-L (RM149,800).
Memang betul banyak pilihan di luar sana. Tetapi, pastinya lebih selamat dan menenangkan fikiran untuk memilih sesuatu yang sudah terbukti tahap kualitinya.

Piaggio Liberty 150



PIAGGIO Liberty 150 menambah rangkaian model skuter buatan Itali yang ditawarkan oleh Naza Premira.


SELEPAS sukses dengan model Vespa LX150, pengedar sah jenama skuter premium dari Itali, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) memperkenalkan pula model Piaggio Liberty 150. Merupakan produk pemasangan tempatan Asean (Asean CKD), Piaggio Liberty 150 dihasilkan di kilang Piaggio di Vietnam.
Sebenarnya, model Liberty mula dibina pada tahun 1997 sebelum diberi gaya baru pada tahun 2004 dan 2009. Skuter yang menampilkan gaya moden itu dipasang dengan unit enjin bersesaran 150cc, sama seperti yang ada pada Vespa LX150. Ia merupakan enjin empat lejang daripada keluarga enjin LEADER ciptaan Piaggio.
Penampilan dan kestabilan tunggangannya diserlahkan lagi menerusi penggunaan rim bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci untuk tayar belakang. Tidak mahu penunggang kerap ke stesen minyak, jentera itu mempunyai tangki berkapasiti tujuh liter. Di pasaran antarabangsa, Piaggio Liberty 150 disifatkan sebagai skuter untuk pasaran massa yang mampu menarik minat pembeli daripada segenap usia.
Rekaannya menitikberatkan aspek praktikaliti. Sebagai contoh, perumah suis lampu pada hendalnya mudah dioperasi. Bagi memudahkan penunggang, Piaggio Liberty 150 sudah dipasang dengan rak belakang dan perehat kaki yang boleh dicabut.
Platformnya yang rata itu juga menawarkan kemudahan untuk mengangkat objek-objek berkapasiti besar.
Ruang penyimpanan di bawah tempat duduk boleh menempatkan sebiji topi keledar tanpa sebarang masalah. Tempat duduk itu juga telah direndah dan dipanjangkan untuk memberi lebih keselesaan kepada penunggang dan pemboncengnya.
Boleh menjadi jawapan sempurna untuk tunggangan di bandar, Piaggio Liberty 150 dijangka mula dijual pada bulan September pada harga tidak melebihi RM10,000 seunit.

'Spy Kids 4' Gagal Menyerlah Dengan 4D


Jessica Alba sebagai bekas perisik bernama Marissa Cortez Wilson dalam Spy Kids 4
BAGI kalangan penonton yang pernah dikecewakan dengan filem Spy Kids 3-D: Game Over (2003) sebelum ini, kemunculan bahagian keempat francais Spy Kids selepas lapan tahun gagal meninggalkan impak yang diharapkan.
Bahkan tidak salah untuk mengatakan filem arahan Robert Rodriguez dengan judul Spy Kids: All The Time In The World (Spy Kids 4) pada kali ini hanyalah sebuah manipulasi yang dipersembahkan atas nama sebuah filem semata-mata.
Jelas sekali bahagian keempat ini yang kononnya dibikin dengan aplikasi teknologi visual dan audio empat dimensi (4D) tidak mampu menyerlahkan sebuah karya yang sememangnya rapuh dan goyah pada sudut skrip dan plotnya.
Justeru, jika format 4D yang disogokkan itu diketepikan, filem ini hanyalah sebuah ceritera yang lemah dan basi.
Kecelaruan yang dikongsi oleh produksi filem ini bermula dengan perkembangan plot dan skrip yang lemah. Ia disulami pula persembahan lakonan yang menyedihkan, sekali gus melengkapkan kerapuhan Spy Kids 4.
Kita sedia maklum filem ini sememangnya dihasilkan untuk tontonan seisi keluarga. Maka, setiap perincian dan konsep yang diketengahkan adalah ringan dan santai.
Pun begitu, mengapa begini jadinya pada bahagian terakhir ini? Berdasarkan apa yang dipaparkan itu, Rodriguez yang dihormati sebagai antara pengarah berkarisma di Hollywood bagai sudah hilang taring dan magisnya.
Lebih menjelekkan lagi apabila menonton lakonan yang lemah daripada empat tunggak utama filem ini.
Aksi Jessica Alba sebagai si ibu bernama Marissa Wilson, Joel McHale (Wilbur Wilson), Rowan Blanchard (Rebecca Wilson) dan Mason Cook (Cecil Wilson) sudah memadai untuk membunuh sepenuhnya Spy Kids 4.
Untuk kesekian kalinya juga, pengalaman menonton lakonan Alba itu terus menyesakkan dada. Lantas, ia mengundang persepsi betapa beruntungnya aktres itu kerana terus bernafas dalam lingkungan atmosfera Hollywood dengan mutu lakonan sebegitu.
Sayang sekali, jika keseimbangan dapat diseragamkan dalam filem ini, Spy Kids 4 boleh menjadi sebuah filem keluarga yang baik pada cerita, mesej dan aplikasi teknologinya.
Menyentuh soal teknologi 4D, jujurnya tiada efek ekstra atau luar biasa yang mengagumkan. Mungkin, ada sedikit pembaharuan tetapi ia pada tahap sederhana tetapi bersesuaian memandangkan filem ini disasarkan untuk tontonan keluarga khasnya kanak-kanak.
Oleh itu, kesederhanaan yang diterapkan dalam babak-babak aksi, cemas dan pertarungan itu masih boleh diterima biarpun ia kelihatan janggal pada mata penonton dewasa.
Bagaimanapun, kalangan pengikut francais ini atau yang meminati filem ringan tanpa perlu berfikir masih boleh menikmati Spy Kids 4 seadanya.
Sekalipun pengenalan format 4D itu tidak membawa makna ekstravaganza, sekurang-kurangnya penonton dapat merasai sebuah pengalaman baru menonton wayang.
Ringkasnya, Spy Kids 4 berkisar pada kisah Marissa Cortez Wilson (Jessica Alba) yang memiliki segala-galanya. Pada mata kasar, kehidupannya lengkap dan bahagia di samping suami yang juga seorang wartawan televisyen popular, anak tiri kembar yang pintar dan seorang bayi yang baru lahir.
Namun, secara realitinya, Marissa berdepan dilema kerana kesulitannya untuk membesarkan dua anak tirinya yang tidak menerima kehadirannya sebagai ibu baru mereka.
Dan, suaminya Wilbur (Joel McHale) juga tidak mengetahui bahawa dirinya adalah ejen perisik yang sudah bersara.
Situasi menjadi kacau-bilau dan tegang selepas kemunculan Timekeeper (Jeremy Piven) yang mengancam untuk merampas dan menakluki planet bumi sehingga memaksa Marissa dipanggil bertugas semula oleh ejen perisikan OSS untuk menyelamatkan keadaan.

Volvo S60: Varian T5, T4 lebih bergaya


Volvo S60. - Foto THE STAR Oleh BRIAN MOH
MODEL Volvo sememangnya tidak pernah menghampakan peminat jenama ini, lebih-lebih lagi dengan kelahiran dua varian terbaru T5 dan T4 dari model S60 turbo dengan pemasangan tempatan telah dilancarkan minggu lalu.
Presiden Volvo Malaysia, Goran Larsson berkata, model ini merupakan kereta Volvo yang paling hangat pernah dihasilkan.
“S60 memberikan keselesaan pemanduan yang sebenar, dengan reka bentuk mantap dan sporty mampu menonjolkan ciri-ciri pemanduan yang sebenar.
“Dalam pada itu, ia juga meletakkan T4 di antara enjin 1.6 liter paling berkuasa di Malaysia pada masa ini dan engin yang lebih kecil,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.
Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan stereng yang direka lebih teliti, spring yang lebih mantap dan berkesan dan selamat ketika meredah selekoh.
Sempena musim perayaan ini, Larsson berkata, Volvo Malaysia kini memberi aksesori bernilai RM10,000 secara percuma kepada 60 pembeli pertama yang menempah model T4 dan T5.
“Saya menyeru kepada mereka yang berminat untuk memiliki S60 untuk tidak melepaskan tawaran hebat ini dan segera menempah kereta mereka bagi memiliki pelbagai aksesori menarik yang bakal membuatkan S60 mereka tampak lebih bergaya,” katanya.
Harga jualan untuk S60 T4 ialah RM220,000 untuk model T4 dan RM255,000 untuk T5. (Kedua-dua harga atas jalan dan tanpa insurans)
Penggerak dinamik
Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan stereng yang direka lebih teliti, spring yang lebih mantap berkesan dan selamat ketika meredah selekoh.
S60 juga merupakan model sedan pertama di pasaran yang didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Lanjutan, satu ciri anti-gelincir yang membolehkan kereta untuk mengesan kecenderungan untuk menggelincir di peringkat yang sangat awal.
Turut dimuatkan dalam S60 baru ini adalah Kawalan Cengkaman Selekoh (Corner Traction Control) di mana ia menggunakan Pemvektoran Tork (Torque Vectoring) untuk memberikan lebih kuasa kepada bahagian luar tayar ketika membelok.
Reka bentuk unggul
Reka bentuk pada bahagian belakang S60.
Diukir untuk menggerakkan pemandu secara fizikal dan emosional, S60 baru menonjolkan interior mewah yang mengikut citarasa pemandu.
Lekuk di bahagian tengah gelombang berganda menyerlahkan bentuknya secara visual dan menonjolkan rupanya yang ‘garang’ bergaya.
But yang dibentuk dan bahagian bumbung hadapan dan belakang yang pendek turut menyerlahkan citarasa kereta sport.
Enjin suntikan turbo
Kedua-dua varian T4 dan T5 dilengkapi dengan enjin Gasoline Turbocharged Direct Injection (GTDi) yang menampilkan teknologi suntikan terus terkini Volvo.
GTDi telah dibangunkan bagi menawarkan penjimatan minyak sebenar tanpa berkompromi tentang prestasi dan keselesaan pemanduan.
Enjin petrol 2.0liter T5 mampu menghamburkan 240 hp, dan tidak kurang daripada 320 Nm tork dengan 0 hingga kelajuan 100 km/j dalam masa 7.5 saat. Ia mampu memecut dengan kelajuan maksima 230km/j.
Larsson bersama model S60 yang dilancarkan baru-baru ini.
Manakala bagi T4 pula merupakan enjin petrol 1.6 liter 180 hp, yang memberikan tork setinggi 240 NM daripada 1600 hingga 5000 rev seminit.
Dan fungsi overboost boleh-arah pula mampu mempertingkatkan tork sehingga 270 Nm.
Dengan transmisi dwi powershift cengkaman jimat minyak, mampu menghasilkan kuasa tarikan yang mengagumkan bagi semua peringkat kelajuan, memberikan pengalaman pemanduan yang selesa dengan hanya menggunakan 7.4 liter untuk 100km bagi pemanduan di dalam bandar atau di lebuh raya.
Teknologi keselamatan inovatif
T5 dilengkapi dengan ciri keselamatan unik Volvo yang terkini, Pengesan Pejalan Kaki (Pedestrian Detection) yang lengkap dengan ciri teknologi auto brek penuh yang pertama di dunia.
Ciri ini mengesan pejalan kaki di hadapan kereta.
S60 juga turut dilengkapi dengan beberapa penyelesaian berteknologi tinggi yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan pencegahan bagi membantu pemandu terlibat dengan sebarang kemalangan seperti:
Menggunakan enjin Gasoline Turbocharged Direct Injection
Keselamatan di kota (City Safety) - Standard bagi S60. Kereta membrek secara automatik sekiranya pemandu gagal memberi tindakbalas dalam masa yang sepatutnya apabila kenderaan di hadapan mula perlahan, berhenti atau jika pemandu S60 memandu terlalu laju ke arah satu objek tetap.
Amaran Perlanggaran dengan Brek Automatik Penuh – memberi isyarat dan membrek secara automatik sekiranya kereta berisiko untuk merempuh kenderaan lain dari belakang (T5 sahaja)
Kawalan Pemanduan Lancar Boleh Suai (ACC) dengan Queue Assist – merupakan ciri standard yang menggunakan sistem kawalan pemanduan lancar asas-radar dimana ia mengekalkan jarak tertentu dengan kenderaan di hadapan secara automatik.
ACC bertindak pada kelajuan 0 hingga 200 km/j, dimana secara asasnya ini bermakna kereta ini memandu dengan sendirinya apabila berada dalam barisan dengan kelajuan berulang atau perlahan.(Bagi varian T5 sahaja).
Sistem Informasi Titik Buta (BSIS) – mengesan kenderaan yang berada di dalam titik buta di kedua-dua sisi.
Kawalan audio
Sistem maklumat hibur baru S60, Volvo Sensus, merupakan contoh sistem infohibur yang diperhalusi. Ia membenarkan pemandu untuk merasai ciri-ciri teknologi tinggi (termasuk Bluetooth) dengan lebih dekat lagi tanpa perlu membuka buku panduan.
Sensus menampilkan informasi daripada unit audio dan beberapa fungsi lain di atas skrin bersaiz 5 inci yang dipasang di aras tinggi di konsol tengah dan boleh dikendalikan dengan kawalan di stereng.

Ferrari FF pertama di Asia


Ferrari FF pertama di Asia.
TIADA apa yang boleh dipertikaikan apabila berkaitan dengan jenama Ferrari, sama ada mengenai reka bentuk, enjin, tahap kepantasan dan kuasa maksimum yang mampu dihemburkan.
Buat julung kalinya, model terbaru Ferrari FF telah dilancarkan di Malaysia Rabu lalu dan ia merupakan yang pertama di Asia. Jika sebelum ini Ferrari lebih sinonim dengan pemandu yang mementingkan ciri-ciri kepantasan, namun kali ini Ferrari FF dilahirkan khas untuk kepentingan seisi keluarga.
Kuasa maksimum sehingga 660 cv pada 800rpm.
Model yang direka sebelum ini juga lebih gah dipandu bersama seorang penumpang, tetapi sedikit berbeza kerana ia mempunyai empat tempat duduk dan merupakan sistem panduan empat roda yang dikawal oleh sistem 4RM (pengawalan integrasi penuh, F1-Trac, E-Diff dan PTU).
Seperti yang diucapkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza Italia Sdn Bhd, Datuk SM Zulkifli SM Amin ketika melancarkan Ferrari FF di Petaling Jaya baru-baru ini, Ferrari FF ini merupakan model istimewa yang sukar digambarkan.
“Jika sebelum ini Ferrari hanya terhad kepada dua orang, kali ini dengan Ferrari FF ia boleh membawa ahli keluarga bersama,” katanya kepada media.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza Italia Sdn Bhd, Datuk SM Zulkifli SM Amin turut melancarkan Ferrari FF di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Berbaloi dengan harga RM2.8 juta, Ferrari FF dilahirkan dengan sentuhan yang lebih teliti dan setiap ruang di dalamnya mempunyai tahap kepuasan tersendiri termasuk aksesori di bahagian penumpang belakang.
Ferrari FF dicipta dengan enam warna eksklusif dan setiap warna itu dipadankan dengan tempat duduk yang dihiasi bersama warna yang sedondon diperbuat daripada jenis kulit aniline terbaik.
Ruang penumpang belakang yang luas dan selesa.
Turut disediakan ialah dua skrin sederhana untuk menonton televisyen ataupun cakera video digital (DVD) dan 1,280 watt, 16 saluran sistem stereo Dolby Surround Sound.
Walaupun Ferrari FF direka lebih kelihatan santai tetapi ia masih mengekalkan ciri-ciri sporty yang dinamik, elegan, dan mempamerkan ciri-ciri cabaran kepada pemandu itu sendiri dan ia sesuai dipandu di mana-mana sahaja, dalam pelbagai cuaca.
Ruang but yang luas mampu mengisi beberapa beg pakaian ataupun peralatan golf.
Pada masa yang sama ia telah memberi isyarat bahawa rekabentuk inovasi ini merupakan pacuan empat roda V12 pertama yang mempunyai rear-monted electronic defferential (E-Diff).
Penyediaan enjin V12 6262cc yang mempunyai kuasa setinggi 660hp@8,000rpm dan tork maksimum 683Nm@6,000rpm. Ia mampu memecut dari 0-100 km dalam tempoh hanya 3.7 saat dan kelajuan maksima 335 km/j.
Ternyata ciri-ciri unik pada model ini menjadikan ia sebuah kenderaan generasi baru F1-Trac yang dibangunkan khas untuk litar.
Ruang depan yang dilengkapi dengan aksesori terkini.
Ia juga merupakan satu-satunya yang menggunakan V12 di dunia ini dengan tujuh pecutan dual klac F1 kotak gear bersama 20 peratus lebih berkuasa dan 25 peratus penggunaan minyak yang rendah.
Ruang but juga direka lebih luas (bertingkat) memberi kepuasan kepada pemilik untuk menyimpan lebih banyak barang.
Secara jelasnya, model Ferrari FF ini sememangnya lain daripada yang lain dan ia mampu memberi kepuasan maksimum kepada pemilik.

Tuesday, September 6, 2011

Honda Malaysia panggil semula lebih 40,000 kereta

KUALA LUMPUR - Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) akan melaksanakan ujian dan langkah pencegahan awal melibatkan kira-kira 40,456 unit kenderaan Honda yang dikeluarkan pada tahun 2006 hingga 2008.
Dalam satu kenyataan, Honda kini sedang memaklumkan para pemilik model kereta Civic model tahun 2006-2008, City 2006-2007 dan Jazz 2005-2007 di bawah kempen mengemas kini produk bagi melaksanakan langkah pencegahan daripada isu-isu teknikal yang tidak diingini di dalam unit yang terlibat.
"Ini adalah panggilan awal bagi dilakukan pemeriksaan dan penggantian, di mana kami percaya dapat mengekalkan prestasi produk yang terbaik bagi para pelanggan walaupun berlaku kecacatan," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno (gambar) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Yoichiro berkata, sebagai contoh, adalah dilaporkan unit bagi model Civic (16,537 unit) kemungkinan mengalami kebocoran minyak dari hos perantara stereng kuasa, yang disebabkan aliran air panas dan cuaca yang lembap, yang boleh menimbulkan isu-isu keselamatan di masa hadapan.
"Kesemua alat ganti dan caj buruh kerja-kerja berkenaan akan ditanggung oleh Honda Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, ujar beliau, para pemilik model-model berkenaan dinasihati menghantar kenderaan masing-masing kepada pengedar Honda yang dibenarkan secepat mungkin sebaik mendapat notis berkenaan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, para pelanggan boleh menelefon talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau melawati sebarang pengedar Honda yang dibenarkan.
Katanya, para pelanggan juga dinasihati membuat panggilan bagi membuat temu janji bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lama. - Bernama
Katanya, para pelanggan ju

Syor tabung amanah Noramfaizul


KUALA LUMPUR - Presiden Social Care Foundation, Tan Sri Robert Phang Miow Sin mencadangkan penubuhan satu tabung amanah bagi menyelenggarakan dana daripada sumbangan pelbagai pihak kepada keluarga Allahyarham jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.
Miow Sin berkata, dengan adanya tabung itu, sumbangan orang ramai dapat diuruskan dengan lebih sistematik bagi kemudahan keluarga Allahyarham pada masa hadapan.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada ibu Allahyarham, Naemah Abdul Majid sambil disaksikan isteri Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37. "Sebagai rakyat Malaysia, bantuan hendaklah disampaikan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Noramfaizul dekat sini semalam.
Beliau turut menyatakan rasa simpatinya terhadap keluarga Allahyarham yang kehilangan insan tersayang ketika sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, bapa Noramfaizul, Mohd. Nor Abdul Majid menyokong cadangan Phang kerana sebuah tabung amanah akan lebih memudahkan pengurusan wang yang disumbangkan oleh pelbagai pihak. Terdahulu, keluarga Allahyarham turut menerima sumbangan RM3,000 daripada Tabung Kebajikan Wartawan Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC), yang disampaikan oleh penasihat kelab, Datuk Noraina Samad.
Noramfaizul, 39 terbunuh akibat terkena tembakan curi semasa menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dari membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran daripada Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia. -Bernama

Gadis diberi ganjaran kerana pulangkan jam Chris Brown


JAM tangan Rolex yang mempunyai hiasan berlian yang merupakan model yang sama milik Chris Brown.



LOS ANGELES - Seorang gadis, Alisha akan diberikan ganjaran apabila dia memulangkan semula jam tangan Rolex yang dihiasi berlian milik penyanyi R&B, Chris Brown yang berharga AS$22,000 (RM65,505), lapor sebuah akhbar semalam.
Jam tersebut dicampak oleh Brown kerana ia longgar di pergelangan tangannya semasa dia membuat persembahan pada Anugerah Muzik Video MTV di sini pada 28 Ogos lalu.
Brown mencampakkan jam itu ke satu sudut di pentas tetapi seseorang telah melompat dekat dengan jam tersebut menyebabkan ia melantun ke arah penonton.
Alisha yang mendapat jam itu kemudian memulangkan semula jam tersebut kepada seorang pengawal keselamatan yang mencarinya di kawasan penonton.
Brown berjanji kepada Alisha untuk memberinya tiket untuk menyaksikan konsertnya.
Menurut laman hiburan TMZ, Alisha menghubungi Brown selepas dia membaca di laman tersebut bahawa penyanyi itu mencarinya kerana dia telah memulangkan jam berkenaan. - Agensi

Trump dedah pesawat RM297 juta miliknya



PESAWAT milik Donald Trump yang berharga RM297.85 juta.


NEW YORK - Bilionair terkenal, Donald Trump (gambar kecil) mendedahkan ruang dalam pesawat Boeing 757 miliknya dalam satu klip video baru-baru ini.
Klip video selama tiga minit itu menunjukkan ciri-ciri kemewahan yang terdapat dalam pesawat yang berharga AS$100 juta (RM297.85 juta).
Hos klip video itu ialah Amanda Miller yang pernah muncul dalam program realiti televisyen The Apprentice yang diterbitkan oleh Trump.
Pesawat itu mempunyai kepala sinki bersalut emas di bilik tidur utama.

AMANDA MILLER menunjukkan sinki bersalut emas di dalam pesawat Donald Trump.


Sebuah televisyen rata dan sebuah kotak kawalan yang mempunyai butang membolehkan Trump mengakses lebih ribuan filem yang diminatinya.
Pesawat itu juga mempunyai sofa mewah mengelilingi sebuah meja untuk mesyuarat.
Ia merupakan pesawat baharu Trump yang dibeli daripada pengasas bersama Microsoft, Paul Allen pada Februari lalu dengan harga AS$100 juta. - Agensi

Dapat kekasih mirip isteri Putera William



[kiri]KATE MIDDLETON, [tengah]SHIRLEY MEIGH WOOD OAKES, [kanan]WILLEM MARX]


LONDON - Willem Marx yang merupakan bekas kekasih pertama isteri waris kedua takhta Britain, Putera William akhirnya mendapat seorang kekasih baharu, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, kekasih baharunya itu, Shirley Meigh Wood Oakes memiliki wajah mirip isteri Putera William, Kate Middleton.
Kekasih baharu Marx, 28, itu berkenalan dengannya pada satu parti beberapa bulan lalu.
Kate dan Putera William berkahwin pada April lalu.
Willem merupakan kekasih Kate semasa mereka belajar di Kolej Marlborough.
Dia dan Kate kekal berkawan dan mereka pernah keluar bersama semasa berkunjung ke kelab malam Boujis pada 2008.
Marx merupakan graduan Universiti Oxford dan pernah bekerja sebagai wartawan di Iraq bagi membuat liputan berita propaganda bagi pihak Amerika Syarikat - Agensi

Telefon bimbit rakam gambar 3D



TELEFON bimbit keluaran Sony Ericsson boleh merakamkan imej tiga dimensi.


LONDON, Britain - Telefon bimbit pintar yang dapat merakamkan gambar panorama tiga dimensi (3D) akan berada dalam pasaran pada bulan depan, lapor sebuah akhbar semalam.
Imej 3D telefon pintar itu adalah daripada siri Xperia Arc S keluaran Sony Ericsson yang boleh ditonton melalui televisyen yang menyokong aplikasi 3D. Imej yang dirakamkan akan dipaparkan dalam bentuk 2D pada skrin telefon pintar tersebut.
Telefon pintar itu yang dijana sistem operasi Android 1.4 gigahertz (GHz) keluaran Google bagaimanapun tidak boleh membuat rakaman video dalam bentuk 3D.
Menurut sebuah akhbar tempatan, telefon pintar Xperia Arc S menggunakan skrin berukuran 10.6 sentimeter selain dilengkapi kamera dengan definisi 8.1 mega piksel.
Harga telefon pintar itu yang diperkenalkan pada pameran teknologi IFA di Berlin Jerman baru-baru ini masih belum diumumkan. - Agensi

Penduduk kampung tangkap buaya gergasi



GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde mengukur buaya gergasi yang ditangkap hidup-hidup di Bunawan, Filipina.


MANILA - Sekumpulan penduduk kampung dan beberapa pakar menangkap seekor buaya gergasi air masin seberat satu tan pada lewat Sabtu lalu yang akan dijadikan daya tarikan sebuah taman ekopelancongan di sebuah bandar di selatan Filipina.
Datuk Bandar Bunawan, Cox Elorde semalam memberitahu, puluhan penduduk kampung dan pakar menangkap buaya jantan sepanjang 6.4 meter itu di sebuah teluk di bandar Bunawan, wilayah Agusan del Sur selepas pemburuan selama tiga minggu.
Ia merupakan antara buaya terbesar pernah ditangkap hidup-hidup di Filipina sejak beberapa tahun lalu.
Elorde berkata, buaya berkenaan membaham seekor kerbau dalam serangan yang disaksikan oleh beberapa penduduk kampung pada bulan lepas.
Reptilia itu juga dipercayai menyerang seorang nelayan yang didapati hilang sejak Julai lalu.
Beliau memberitahu, meletakkan buaya gergasi di sebuah taman pelancongan akan mengubah haiwan itu daripada ancaman kepada satu aset. - AP

Monday, September 5, 2011

Tips menanam buncis organik



Penanaman kacang buncis perlu diperbanyakkan bagi menambah jenis sayuran di pasaran tempatan.


KACANG buncis (french bean) mula ditemui di Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Tanaman dengan nama saintifik Phaseolus vulgaris ini tergolong dalam keluarga leguminosae dan ia merupakan sejenis kekacang yang rangup dan manis.
Kacang buncis yang biasa di tanam di negara ini adalah yang berwarna hijau muda, namun ia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis yang berbeza warna seperti warna kuning (yellow wax bean), merah (borlotto firetongue) dan ungu gelap (purple wax bean). Kebanyakan mudah didapati di negara luar.
Buncis mengandungi kadar protein dan vitamin tinggi. Ia boleh membantu menurunkan tekanan darah dan mengawal metabolisme gula dalam darah.
Amalan memakan kacang buncis seminggu dua kali sangat sesuai bagi mereka yang menghidapi penyakit kencing manis atau darah tinggi. Kacang ini juga dapat membantu mengatasi masalah kegemukan.
Ujian makmal menunjukkan kacang ini mengandungi serat dan enzim yang boleh membantu menurunkan berat badan secara semulajadi.

Penyediaan kawasan


n Kacang buncis sesuai ditanam di kawasan yang bersaliran baik, tanah mineral, dan pH tanah antara 5.5 dan 6.5
* Buat batas berukuran satu meter (m) lebar dan panjang mengikut keluasan kawasan. Gaul dan gemburkan batas bersama kompos dan baja organik (tahi ayam).
* Jarak penanaman yang disyorkan ialah 50 hingga -60 sentimeter (sm) antara pokok dan antara baris.
* Kayu junjung lima hingga 6.5 kaki (tinggi) dan trilles perlu disediakan juga kerana kacang buncis adalah tanaman jenis memanjat.
* Batas sebaiknya ditutup dengan plastik silver shine , daun kering atau jerami padi untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.

Penanaman


n Penanaman boleh dibuat melalui biji benih
* Dua kaedah penanaman sama ada semaian atau tanam terus.
* Biji benih yang disemai akan mula bercambah pada hari ke dua selepas ditanam, dan boleh mula dipindahkan ke batas pada hari ke lapan hingga kesepuluh.
* Bagi kaedah tanam terus, dua atau tiga biji benih akan ditanam dalam satu lubang. Pada hari kelapan, jika terdapat lebih daripada satu anak pokok yang tumbuh penjarangan perlu dilakukan.
Tinggalkan satu sahaja anak pokok yang paling sihat dalam setiap lubang tanaman.

Pengairan


n Pengairan perlu diberi dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan. Sebaiknya, sumber air yang digunakan adalah air yang bersih tanpa klorin.
* Cara pengairan bergantung pada pengusaha sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis.

Pembajaan


n Pembajaan kali pertama akan diberikan pada minggu kedua selepas menanam dengan kadar 50 gram per pokok
* Baja kali kedua, pada minggu keempat sebanyak antara 50 dan 80 g per pokok
* Baja kali ketiga, pada minggu ketujuh sebanyak 80 hingga 100g per pokok
* Baja yang digunakan mestilah baja organik sama ada baja yang dibeli atau baja buatan sendiri.
* Jika baja dari kilang, ikut kadar yang telah disyorkan. Ini kerana ada sesetengah baja dalam bentuk larutan pekat dan perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
* Bagi yang membuat baja organik sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali untuk pertumbuhan pokok yang baik.

Kawalan rumpai

ggunakan plastik agrosheet, jerami padi atau daun-daun kering bergantung pada kemampuan anda.
n Sungkupan boleh dibuat men
* Seminggu sekali rumpai perlu dibuang. Ini kerana rumpai adalah musuh utama tanaman dalam persaingan untuk mendapatkan nutrien, ruang dan cahaya matahari. Selain itu, rumpai boleh menjadi tempat pembiakan serangga perosak jika dibiarkan tanpa kawalan.
* Kerja merumpai boleh dilakukan di sekeliling pokok dan mesin rumput di luar batas tanaman.

Kawalan perosak, penyakit


n Bagi kacang buncis, serangan ulat Maruca testulalis dan lalat buah adalah masalah utama. Sembur racun organik buatan sendiri atau yang dibeli bermula pada minggu kelima selepas menanam.
* Campuran akar tuba, cili padi dan bawang putih yang dikisar halus bersama 200ml air adalah racun organik yang boleh mengawal perosak tersebut. Buat pencairan 100ml racun ditambah dalam 15 liter air bersih dan disembur pada tanaman.
* Sembur racun seminggu sekali/bergantung pada tahap serangan. Pemantauan yang teliti dan kerap sangat penting untuk mengawal serangan perosak dan penyakit.
* Penyakit antraknos, mozek virus dan kulapuk berdebu adalah penyakit popular kacang buncis.
* Semburan campuran satu liter susu dengan 10 liter dapat mengurangkan masalah penyakit antraknos.
* Campuran rizom kunyit, daun semambu dan daun bunga Marigold yang dikisar halus dan ditambah 100 (g) belerang (dilarutkan dalam 15 liter air) boleh mengurangkan masalah penyakit kulapuk berdebu dan mozek.

Penuaian


n Hasil boleh mula dituai selepas enam tujuh minggu ditanam.
* Kutip hasil setiap dua tiga kali hari sekali. Pengeluaran hasil akan berterusan selama sebulan, bergantung pada kesuburan pokok.

SHARE THIS

Blog Archive