Pengikut Boyzzonne

Monday, November 14, 2011

Kasih ibu hingga ke hujung nyawa



ASIAH tidak pernah merungut sepanjang menjaga anak kembarnya, Ahmad dan Muhammad.


PADA 13 tahun lalu, Ahmad dan Muhammad dilahirkan sebagai pasangan kembar Siam. Bercantum dari bahagian dada hingga ke punggung, mereka berkongsi usus besar, hati, abdomen dan tulang pelvik. Mereka juga mempunyai sepasang kaki dan dua buah zakar.
Si ibu, Asiah Kanda tidak dapat menyimpan perasaan sedih, begitu juga si bapa, Rosli Abdul Rahim. Pada masa itu, Asiah hanyalah seorang ibu muda yang baru berusia 22 tahun. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya membesar penuh sukar dengan badan yang bercantum.
Baik Asiah mahupun Rosli, mereka tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan anak sulung mereka itu.
Bagaikan satu keajaiban apabila Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz menawarkan pembedahan pemisahan Ahmad dan Muhammad di negaranya.
Tarikh 17 September 2002 menjadi tarikh keramat apabila pasangan kembar itu yang berusia empat tahun berjaya dipisahkan. Pembedahan itu dilakukan di King Fahad National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi.
Ia mengambil masa selama 22 jam 45 minit dengan diketuai oleh Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang sekarang merupakan Menteri Kesihatan negara Arab itu. Pembedahan pemisahan itu menelan belanja sebanyak RM1.7 juta.
Pada tahun 2007, Putera Abdullah sekali bermurah hati mendermakan kaki palsu untuk Ahmad dan Muhammad.
Selepas dipisahkan, kehidupan sebagai manusia normal pun bermula bagi pasangan kembar itu. Namun, ia tidaklah semudah yang disangka. Mujurlah si ibu tidak bekerja malah dengan sepenuh hati menumpukan perhatian untuk membesarkan anak kesayangannya itu.
Kembar itu memasuki Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2), Shah Alam pada tahun 2005. Mereka ditempatkan di kelas Satu Anggerik.
Rutin
Sejak itu, rutin Ahmad dan Muhammad bermula kira-kira pukul 6 pagi dengan mereka dikejut daripada tidur oleh Asiah sebelum dimandikan dan bersiap-siap memakai pakaian sekolah.
"Sejak mereka berdua bersekolah saya terpaksa bangun awal iaitu lebih kurang pukul 5 pagi untuk menyediakan sarapan dan siapkan pakaian mereka.

AHMAD dan Muhammad sebelum menjalani pembedahan pemisahan pada 17 September 2002.


"Tak susah nak kejutkan mereka berdua kalau mereka tidur awal dan waktunya cukup. Dulu semasa di tadika mereka masuk pukul 10 pagi, kini sebab mereka sekolah pagi, saya berusaha mendisiplinkan mereka bangun pagi-pagi," kata Asiah seperti dipetik akhbar Kosmo! sebelum ini.
Di sekolah, Ahmad dan Muhammad terpaksa menggunakan kerusi roda kerana mereka hanya mempunyai sebelah kaki.
Disebabkan kelas mereka terletak di tingkat satu, Asiah telah membuat sarung tangan khas untuk mereka berjalan menggunakan tangan.
Asiah dan suaminya mahu melatih Ahmad dan Muhammad berdikari dan melakukan semua perkara tanpa dibantu oleh orang lain.
Sebagai ibu, tidak sukar untuk Asiah memahami sikap kedua-dua anak kembarnya itu.
Kata Asiah, anak kembarnya itu memang suka melukis dan mereka mampu menghabiskan masa seharian untuk melukis pelbagai objek.
Jelas Asiah, walaupun Ahmad dan Muhamamad dilahirkan bercantum dan merupakan kembar seiras, masing-masing mempunyai karakter dan perangai yang berbeza.
"Ahmad merupakan seorang yang panas baran dan ia berlawanan dengan Muhammad yang banyak mengalah dan lebih cool," ujarnya.
Namun, jika dilihat dari segi pergaulan pula, Ahmad lebih suka berkawan berbanding dengan Muhammad yang lebih suka duduk di rumah dan bermain permainan video.
"Setiap petang, Ahmad suka keluar jalan-jalan menggunakan tongkat dan berkawan dengan jiran-jiran.
"Tetapi Muhammad lebih suka bermain permainan video sebab katanya di luar panas," beritahu Asiah.
Tahun lalu, Ahmad mendapat 2A 3B manakala Muhammad pula memperoleh 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Kanser
Meskipun begitu, langit tidak selalunya cerah. Tahun lalu juga Asiah disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat. Keadaan penyakit yang serius itu menyebabkan Asiah terlantar di katil selama beberapa bulan.

SAAT Asiah menukar lampin Ahmad dan Muhammad hanya tinggal kenangan.


Akhirnya pada 7 November lalu, Asiah menghembuskan nafas terakhirnya, meninggalkan Ahmad dan Muhammad ketika kanak-kanak itu masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.
Jenazah Asiah disemadikan di kampung halamannya di Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor.
Asiah turut meninggalkan tiga lagi anak iaitu Nur Badrisia, 3, Ammar Safiy, 6, dan Muhammad Iman, 9.
Mimik muka Ahmad dan Muhammad kelihatan sedih ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tengah, Puchong, Selangor pada Khamis lepas.
Biarpun baru berusia 13 tahun mereka turut merasai bahang kesakitan yang dialami ibu tersayang.
Ahmad memberitahu, dia akan sentiasa terkenangkan pesanan ibu supaya menjadi insan yang berguna apabila besar kelak.
"Tetapi saat mencium tangan ibu sebelum pergi ke sekolah sudah tiada lagi," katanya.
Menurut Ahmad, selama ini ibunya yang banyak menguruskan kehidupannya seharian seperti menukarkan lampin dan menyediakan makan dan minum.
"Semasa ibu terlantar sakit, saya melakukan perkara serupa. Saya membantu memberikan air minuman selain membantu ayah menukarkan lampin ibu," kenang Ahmad yang pasti teringatkan masakan istimewa ibunya iaitu ikan bawal kukus.
Bagi Muhammad pula, dia tidak akan lagi merasai masakan nasi ayam dan sambal sotong ibunya.
"Ibu juga sering membantu saya menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.
"Ibu seorang yang istimewa dan kuat kerana menjaga kami dengan sepenuh hati. Dia tidak pernah mengeluh sepanjang menguruskan kami," katanya.
Semasa arwah ibunya sakit, Muhammad juga membantu memicit kepala dan mengurut badan ibunya itu.
"Kadang-kadang ibu akan mengusap kepala saya menandakan sayangnya dia kepada kami," cerita Muhammad.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive