Perbuatan kejam seorang pengawal keselamatan yang membunuh seorang gadis sebelum mengerat dan membakar mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Masai di sini tahun lalu berbalas apabila dia
dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman mengarahkan D. Kalaiselvan, 47, menjalani hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, Kalaiselvan bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh Nur Rahayu Qomarodin, 16, di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai, antara pukul 2.30 pagi hingga 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Abdul Halim berkata, tertuduh gagal memberikan penjelasan yang munasabah selain pembelaan yang dibuat secara bersumpah menerusi kandang saksi itu bersifat penafian semata-mata.
“Tertuduh gagal memperjelaskan mengapa dia perlu lari daripada pihak polis dan memindahkan beban kejadian terhadap orang lain iaitu Ramani dan Siva yang tidak diceritakan dengan lebih lanjut identiti mereka.
“Perbuatan kamu kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun kerana kamu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap gadis yang sebaya dengan anak kamu. Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu,” katanya.
sumber kosmo
No comments:
Post a Comment