Pengikut Boyzzonne

Friday, August 31, 2012

Kesan nahas dedah rahsia Treler dalam gaung


JASIN: “Ketika melakukan rondaan di tebing bukit, kami menemui kesan seperti berlaku kemalangan. Sejurus turun ke gaung, kami menemui dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk depan treler berkenaan,” kata kakitangan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Khairul Ismadi, 40.
Dalam kejadian itu, pemandu treler terbabit terbunuh selepas
kenderaan dipandunya itu terbabas dan terhumban ke gaung sedalam 15 meter di Kilometer 188.5, Lebuhraya Plus arah selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai A Rajakumar, 33, manakala kelindannya, T Manivan, 35, cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Treler terbabit membawa muatan gelung besi.
Menurut Khairul, dia dan seorang rakan setugas pada awalnya mengalami sedikit kesukaran meninjau kawasan gaung yang agak curam itu kerana cuaca dan keadaan sekeliling yang gelap.

“Selepas mengambil lampu dan menyuluh, kami terkejut melihat sebuah treler terbalik di dalam gaung berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu treler membawa muatan gelung besi itu maut di tempat kejadian manakala rakannya yang cedera dikeluarkan pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal pihaknya mendapati treler itu datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bharu.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, treler dipandu Rajakumar itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum masuk ke dalam gaung serta terbalik.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu treler cedera teruk di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan pihaknya mendapati kenderaan berat itu mengalami kesan remuk di bahagian depan.

Kata Adnan, siasatan lanjut mengenai kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Pegawai Bomba Kanan I Abd Rashid Abd Wahid pula berkata, pihaknya ke lokasi kejadian mendapati dua mangsa tersepit di dalam treler berkenaan.

“Kami menghadapi kesukaran mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di bawah kepala treler yang terbalik dan terhimpit dalam longkang namun dapat mengeluarkan mereka dalam tempoh 30 minit.

“Bagaimanapun, kami terpaksa meminta bantuan kren mengangkat kepala treler bagi memudahkan usaha menyelamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive