ZAKARIA (tengah) menunjukkan parang dan barangan rampasan hasil penangkapan ahli Geng Ah Chai di Sentul |
KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah dikenali Geng Ah Chai yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan samun kenderaan sejak awal tahun ini tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek di Damansara Damai dekat sini Selasa lalu.
Nama Geng Ah Chai tersebut diambil daripada gelaran salah seorang suspek yang dikenali sebagai
Ah Chai.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, penangkapan bermula apabila polis mengesan salah seorang suspek berusia 26 tahun yang menggunakan kad kredit palsu untuk mengisi minyak di Damansara Damai pada pukul 12.30 tengah malam.
“Ekoran penangkapan lelaki itu, polis menahan pula dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun dan teman wanita suspek pertama berusia 25 tahun setengah jam kemudian.
Zakaria berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah didiami suspek di Damansara Damai dan menemui pelbagai peralatan untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti parang panjang dan pengumpil pintu.
Beliau berkata, turut ditemui pelbagai barangan curi termasuk 30 keping kad kredit, pelbagai jenis kunci kereta, komputer riba, puluhan kad sim telefon dan barang kemas.
Jelas Zakaria, berdasarkan penemuan pelbagai jenis kunci kereta itu polis tidak menolak kemungkinan suspek juga giat melakukan jenayah mencuri kenderaan.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah di sekitar Setiawangsa di sini sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri lalu.
Tambah beliau, dua suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah serta pecah rumah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
No comments:
Post a Comment