NGERI...anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat Hussain yang tersepit di tempat duduknya. |
SLIM RIVER: “Kerusi tercabut dan saya tercampak ke bahagian depan bas. Dalam kesakitan, saya terpandang pemandu sudah tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduknya yang remuk.”
Demikian kata R Kumutha, 23, seorang daripada 12 penumpang bas yang cedera, empat daripada mereka
parah dalam kemalangan meragut nyawa pemandu bas berkenaan di Kilometer 362.7, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Plaza Tol Slim River, di sini, jam 10.30 malam kelmarin.Pemandu bas ekspres yang terbunuh itu dikenali sebagai Hussain Jaafar, 29 dan ketika kejadian bas terbabit dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Butterworth, Pulau Pinang.
Kemalangan berlaku apabila bas terbabit melanggar belakang sebuah treler dengan muatan besi seberat 30 tan itu sebelum menyeret treler itu sejauh lebih 100 meter.
Kumutha yang juga penuntut Sarjana Sumber Manusia, Universiti Selangor (Unisel) berkata, ketika kejadian dia sedang tidur tidak jauh dari pemandu bas itu.
“Saya tidak ingat apa yang berlaku dan hanya tersedar apabila saya tercampak. Saya tidak dapat bergerak dan berasa sangat sakit.
SAKIT...Kumutha terlantar di hospital akibat patah pinggang |
“Ketika itu, keadaan menjadi kelam-kabut dan ramai orang menjerit kesakitan serta meminta tolong,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, orang awam dan penumpang bas kemudian membantu memapahnya keluar dari bas berkenaan sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Slim River di sini.
Kumutha yang ditemui di Hospital Slim River (HSR) semalam berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan dan imbasan X-Ray memberitahu tulang pinggangnya patah dan dia perlu menjalani pembedahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dipandu Hussain gagal mengelak treler yang bergerak perlahan di depan.
Menurutnya, impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan kebanyakan kerusi penumpang di bahagian hadapan bas tercabut dan penumpangnya tercampak “Pemandu bas ekspres itu maut di tempat kejadian. Kedua-dua kakinya hancur akibat tersepit.
“Mayat pemandu bas dan empat penumpang yang parah serta lapan yang cedera ringan dihantar ke HSR,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Othman berkata, ada penumpang mendakwa bas itu dipandu keadaan terhoyong-hayang sebelum nahas dan kemungkinan pemandu bas berkenaan mengantuk.
Menurutnya, pemandu kedua bas ekspres itu dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati bas ekspres itu melekat di belakang treler.
No comments:
Post a Comment