TERPILIH atau tidak? Itu persoalan peminat bola sepak tempatan berhubung masa depan dua tonggak Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor (gambar) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria bersama kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu.
Misi kedua-dua pemain tersebut yang
sebelum ini menjalani latihan pemilihan selama 19 hari bersama kelab yang berpangkalan di Okinawa itu telah pun berakhir pada 28 Julai lalu.
Biarpun dikatakan berjaya memikat hati jurulatih FC Ryukyu, Takeo Matsuda, masa depan kedua-dua pemain itu masih menimbulkan tanda tanya apabila belum ada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan kelab tersebut setakat ini dan ia turut diakui pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya masih belum dimaklumkan oleh kelab Jepun tersebut sama ada mahu menandatangani kedua-dua pemain tersebut atau sebaliknya.
"Masih tiada jawapan (daripada FC Ryukyu) sama ada mahu mengambil kedua-duanya, salah seorang daripada mereka ataupun langsung tidak sama sekali.
"Jadi, saya harap ia dapat diketahui secepat mungkin dalam tempoh terdekat, sekali gus membantu saya merencana strategi pasukan dalam saingan Liga Singapura (Liga S)," katanya kepada Kosmo!.
Sekembalinya bersama skuad Harimau Muda, kedua-dua pemain berusia 21 tahun itu dilihat tidak menunggu lama mempamerkan 'taring' apabila masing-masing meledak gol ketika membantu Harimau Muda menewaskan Brunei DPMM 2-1 di Stadium Hassanal Bolkiah dalam saingan Liga S, Ahad lalu.
Dengan kemenangan itu, Harimau Muda berjaya melonjak ke tangga kelima liga dengan 29 mata, lapan mata di belakang pendahulu liga, Albirex yang begitupun beraksi lebih dua perlawanan.
Kejayaan meraih tiga mata itu juga menyaksikan kemarau kemenangan Harimau Muda akhirnya ternoktah selepas tewas 0-1 kepada Albirex Niigata dan Young Lions dalam dua aksi terakhir sebelum ini.
Dalam pada itu, Wan Zack semasa dihubungi mengakui, fokusnya tidak terjejas biarpun masih belum dapat mengetahui sama ada terpilih menyarung jersi FC Ryukyu ataupun tidak.
"Sejujurnya saya gembira dengan pengalaman yang diraih sepanjang berada di Jepun tetapi jika terpilih sudah tentu ia cukup mengujakan," kata Wan Zack.
Malam esok, Harimau Muda akan melayan kunjungan pasukan di tangga ketujuh liga, Armed Forces di Stadium Yishun.
Ia merupakan aksi terakhir anak- anak buah Kim Swee dalam saingan Liga S sebelum 'berehat seketika' bagi menyertai kejohanan jemputan Piala SCTV di Indonesia selama dua hari bermula 9 September ini.
No comments:
Post a Comment