Pengikut Boyzzonne

Wednesday, August 29, 2012

Mesin F1 pandu lalu pertama


 Di saat rakan sebayanya sibuk mencari hala tuju masa depan setelah menamatkan pengajian, Farlisa Yaafar, 25, nekad memulakan perniagaan Fantastic Car Wash, sebuah kedai mencuci kereta separuh automatik menggunakan
mesin khas.

Melihat kepada potensi besar dalam bidang jenis ini dan berbekalkan minat mendalam terhadap dunia perniagaan sejak masih di bangku sekolah lagi, Farlisa optimis meneruskan cita-citanya sekali gus bergelar usahawan muda.

Tidak menjadikan faktor jantina sebagai halangan untuk menceburi bidang yang kebanyakannya dipelopori golongan lelaki, Farlisa yakin apa yang lebih penting adalah komitmen yang diberi dalam melakukan sesuatu perkara.


Bumiputera pertama bekalkan mesin F1

Menggunakan mesin khas F1, yang diimport teknologinya dari Eropah, mesin ini lebih menjimatkan masa kerana semburan air dan sabun dilakukan oleh mesin berbanding cara manual yang biasa dilakukan.

Menurut Farlisa, walaupun penggunaan mesin ini dapat menjimatkan masa, namun elemen kebersihan sesebuah kereta tetap diutamakan supaya dapat memberi kepuasan kepada pelanggannya.

“Biasanya, proses mencuci sebuah kereta boleh mengambil masa 15 hingga 30 minit. Tetapi di sini kami cuba siapkan dalam masa lebih kurang 5-8 minit (bergantung saiz kereta) kerana kebanyakkan pelanggan yang datang ingin cepat disiapkan.

“Bagaimanapun, kualiti kebersihan tidak akan diketepikan. Malah ia adalah aspek utama yang dititik beratkan di kedai ini,” katanya.
Sementara menunggu kereta siap dicuci, Fantastic Car Wash turut menyediakan ruang menunggu yang dilengkapi penghawa dingin, televisyen dan WiFi supaya proses menunggu lebih selesa.


Mengulas mengenai idea untuk membawa mesin ini ke Malaysia sekali gus menjadi usahawan Bumiputera pertama yang membekalkan produk ini, Farlisa berkata, ianya bermula semasa dia menjalankan tesis di tahun akhirnya pengajiannya.

Setelah melakukan penyelidikan, dia mendapati perniagaan ini antara kerjaya profesional di luar negara.


Fantastic Prepaid Card

Bagi  mudahkan urusan pelanggan, Fantastic Car Wash memperkenalkan Fantastic Prepaid Card pada April lalu yang dapat memberi lebih penjimatan kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di sini.

Sebagai contoh, sekeping kad untuk Saloon Car (cuci dan vakum) adalah berharga RM70 dan ia boleh digunakan sehingga 10 kali cucian.  Dengan pembelian kad ini juga, pelanggan boleh jimat RM3 untuk setiap cucian berbanding harga biasa RM10.
Menurut Farlisa, sambutan yang diterima untuk kad ini amat menggalakkan dan permintaannya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, terdapat lima jenis kad promosi yang ditawarkan iaitu Saloon Car; Luxury Small MPV dan Small SUV; 4WD/ van dan Grand SUV; Limo Taxi dan Saloon Taxi. Harga kad juga dijual berbeza mengikut jenis kenderaan.


Impi miliki sebuah pusat sehenti

Setelah lebih setahun beroperasi, Farlisa kini akan mengembangkan perniagaannya dan berhasrat untuk memiliki sebuah pusat sehenti yang menempatkan bengkel membaiki kenderaan, tempat mencuci kereta dan menjual pelbagai aksesori kereta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Bagi melaksanakan hasrat ini, saya juga ingin memiliki tanah sendiri di sekitar Selangor. Buat masa ini juga, saya telah mula mencari pengusaha bengkel yang berminat untuk menjadi menyewa di pusat sehenti itu nanti.

“Selain itu, saya juga ingin mempunyai cawangan sendiri di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Saya melihat perniagaan yang dibina untuk satu tempoh yang panjang dan sememangnya saya serius dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Selain itu, Farlisa juga ingin menambah mesin F2 iaitu mesin yang mencuci kereta secara automatik sepenuhnya menjelang awal tahun depan.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive