Pengikut Boyzzonne

Monday, September 5, 2011

Ayam organik tanpa suntikan



DR. LOh Teck Chew (dua dari kiri) mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Johari Baharum melawat pameran ternakan ayam selepas majlis pelancaran NutriPro di Serdang baru-baru ini.


RATA-RATA pengguna kini sedia maklum mengenai ayam pedaging yang terdapat di pasaran kebanyakannya menerima antibiotik sama ada melalui suntikan mahupun makanannya untuk tujuan tumbesaran dan ketahanan melawan penyakit.
Malah, masyarakat juga sedar akan keburukan memakan ayam yang disuntik antibiotik secara berlebihan ini kerana ia akan menyebabkan kesan negatif ke atas manusia.
Sehingga hari ini, masih ramai penternak ayam menggunakan sejenis antibiotik yang mempunyai kesan karsinogenik (penyebab barah) dan boleh merosakkan sistem saraf pusat.
Nitrofuran, satu kelas ubatan yang amat toksik digunakan untuk mengawal penyakit yang menyerang ayam. Tetapi kini ia lali terhadap dos antibiotik yang diberi.
Justeru, penggunaan dos yang lebih tinggi mungkin digunakan oleh penternak untuk memastikan ayam mereka tidak di serang penyakit. Namun kesan negatif di atas tindakan tersebut adalah terhadap manusia.
Pensyarah Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Loh Teck Chew tampil dengan penemuan baru beliau yang mampu menggantikan penggunaan antibiotik ke atas ayam pedaging.
"Saya sering ke ladang ternakan ayam dan saya lihat mereka (penternak) sering menggunakan antibiotik untuk membantu tumbesaran ayam serta mengelakkan ayam daripada mati diserang penyakit.
"Namun, ia (antibiotik) bukan sahaja sepatutnya diberikan kepada ayam yang sakit malah kepada semua ayam untuk memudahkan kerja.
"Justeru, saya mula fikirkan alternatif lain (probiotik) bagi menggantikan penggunaan antibiotik ini ke atas ternakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2011 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Di kenali sebagai Nutripro, produk tersebut dihasilkan melalui proses pengasingan sejenis bakteria baik daripada tapai ubi (proses penapaian).
Nutripro iaitu makanan penggalak tumbesaran ayam dihasilkan bagi menggantikan antibiotik yang biasa digunakan penternak ayam bagi mempercepatkan tumbesaran ayam.
Jelasnya, probiotik tersebut dihasilkan daripada sejenis bakteria Lactobacillus Plantarummenggunakan sistem fermentasi dikenali sebagai metabolites dalam proses penapaian ubi kayu.
Bahan tersebut yang juga merupakan ekstrak semulajadi dihasilkan dalam dua bentuk iaitu cecair dan serbuk.
Bagi bentuk serbuk, ia perlu dicampurkan ke dalam makanan ayam sebagai makanan tambahan sementara bentuk cecair hanya perlu disembur ke atas ternakan.
Nutripro mempunyai banyak kebaikan terhadap kesihatan haiwan ternakan selain dapat meningkatkan asid laktik dalam sistem pencernaan dan mengurangkan bakteria yang boleh menyebabkan cirit birit.
"Asid laktik penting bagi mengurangkan cirit-birit dan memperbaiki sistem pertahanan badan ternakan.
"Selain itu metabolites juga berperanan memastikan organ penghadaman dan proses pembesaran berada dalam keadaan baik," ujar Dr. Loh.
Fungsi Nutripro sama seperti penggunaan produk Vitagen, namun ia tidak menggunakan bakteria sebaliknya hasilan ekstrak daripada bakteria tersebut.
"Ia sekali gus dapat menggantikan penggunaan antibiotik yang banyak memberi kesan buruk terhadap ternakan yang paling penting mengurangkan kesan negatif terhadap manusia," katanya.
Malah, kos pengunaan Nutripro juga lebih rendah berbanding bahan makanan tambahan serta antibiotik yang lain.
Jelas beliau lagi, probiotik metabolites yang dihasilkannya juga tidak memberi kesan sampingan kepada manusia yang makan daging ayam tersebut.
Menurut Dr. Loh lagi, beliau mengambil masa 12 tahun kajian dan melibatkan geran penyelidikan hampir RM4 juta hingga RM5 juta untuk menghasilkan Nutrino. Kini beliau sedang berusaha untuk memasarkan produk tersebut kepada orang ramai.
Selain ayam, Nutripro juga sedang diuji penggunaannya ke atas ikan dan ternakan berkaki empat seperti kambing.
Penggunaanya Nutripro ini juga dilihat selamat dan tiada kesan sampingan yang negatif terhadap manusia.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive