Pengikut Boyzzonne

Monday, September 5, 2011

Sejuta ayam mentah sehari



RUANG memproses dan mengasingkan bahagian-bahagian ayam selepas melalui fasa penyembelihan.


MALAYSIA merupakan antara 15 buah negara yang menjadi destinasi eksport bagi produk ayam segar dan makanan proses sejuk beku berasaskan ayam keluaran syarikat Kumpulan SAHA Farms.
Berpangkalan di Bangkok, Thailand, syarikat berkenaan berupaya menghasilkan satu juta ekor ayam mentah sehari.
Kemampuan itu telah menjadikan produk-produk syarikat tersebut kini berjaya menembusi pasaran banyak negara dunia seperti Kanada, Denmark, Jerman, Dubai, Jepun, Vietnam, Singapura dan China.
Di Malaysia, 95 peratus pengimport utama produk-produk keluaran syarikat gergasi itu adalah Ayamas dan Kumpulan KFC.
Baru-baru ini, sekumpulan petani, penternak dan peladang dari Malaysia yang menyertai program Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) berpeluang melawat kilang pemprosesan tersebut.
Terletak di daerah Petchabun, kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok, kilang itu merupakan sebahagian daripada lokasi persinggahan dalam siri jelajah kembara tani berkenan.
Ketibaan para peserta di sambut baik oleh Naib Presiden Eksekutif Kumpulan SAHA Farms, Jesse Liu bersama kakitangan syarikat.
Bercerita mengenai perniagaan yang dijalankan, Liu memberitahu, kilang seluas 912 hektar itu memberi tumpuan kepada proses penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah.
"Selain penyembelihan dan pemprosesan, kita juga mempunyai rangkaian perniagaan berkaitan seperti penternakan ayam pedaging, penetasan, pembuatan makanan ayam, pemprosesan produk makanan berasaskan ayam serta aktiviti kajian dan penyelidikan.
''Secara keseluruhannya, ladang-ladang kami mampu mengeluarkan 450 juta biji telur ayam dan 360 juta anak ayam setahun.
''Untuk kilang penyembelihan dan pemprosesan di sini, kita mempunyai tiga buah bilik penyembelihan utama dengan sokongan 500 orang kakitangan bagi mengurus kerja-kerja memproses dan mengasing bahagian-bahagian ayam.
''Ini kerana, setiap negara yang mengambil bekalan ayam dari SAHA Farms mempunyai permintaan tersendiri daripada segi saiz dan jenis potongan. Jadi kita perlu ikut keperluan itu,'' jelasnya kepada para peserta.
Sesuatu yang unik mengenai kilang tersebut, ia memberi penekanan maksimum kepada sistem keselamatan bio sekuriti agar kesemua produk mentah yang dihasilkan bebas daripada bakteria.
Sistem tersebut merangkumi teknologi pengawasan maksimum melibatkan pembahagian zon dan sistem amaran kehadiran virus seperti selesema burung dalam jarak satu kilometer.
Jesse memberitahu, bangunan kilang SAHA Farms juga dilengkapi teknologi penyejukan udara di mana ia merupakan yang pertama dilaksanakan di Asia.
Bangunannya yang berada dalam kawasan geografi berbukit-bukau pula bertujuan menyekat kehadiran bakteria berpenyakit dan burung-burung daripada terbang melintasi kawasan kilang.
''Pelaksanaan semua usaha ini bermatlamat memastikan ayam-ayam mentah dan produk makanan sejuk beku yang dikeluarkan SAHA Farms bermutu tinggi, bersih, sihat dan bebas daripada pencemaran.
''Sama seperti ladang penternakan di Supcharoen dan Patthana, kita turut menggunakan sistem ternakan tertutup berteknologi tinggi lengkap dengan sistem bio sekuriti dan pengudaraan terbaik untuk keselesaan haiwan,'' jelasnya.
Bagi memastikan kesihatan ayam ternakan di SAHA Farms, haiwan itu diberi makanan berasaskan sayur-sayuran lengkap dengan vitamin, protein dan mineral.
Apa yang menarik, kesemua haiwan tersebut juga tidak diberi suntikan hormon atau sebarang ubat antibiotik.
Daripada sudut keperluan air untuk melancarkan proses kilang pula, pihak syarikat melaksana teknologi sistem rawatan air tersendiri.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive