Pengikut Boyzzonne

Friday, May 25, 2012

Juara American Idol 11

Rekod ciptaan Philip



HAKIKATNYA, bukan satu kejutan apabila Phillip Phillips menjadi juara terkini American Idol yang telah memasuki musim ke-11.
Sejak awal kemunculan, dia hadir dengan aura dan pesona tersendiri. Dalam setiap persembahan yang dilakukan pada setiap minggu, Phillip dilihat sentiasa konsisten walau sesekali ditegur juri tentang pemilihan lagu yang dibuatnya kurang bersesuaian untuk sebuah pertandingan. Namun Phillip adalah Phillip. Dia berani mengambil risiko, mendengar gerak hati dan sentiasa tampil dengan idea yang segar.
Maka ketika dia dipilih oleh sebanyak 132.2 juta peminat sekali gus menewaskan pesaingnya yang juga bukan calang-calang gadis, Jessica Sanchez ia dilihat bukan satu keputusan yang semborono.
Malah undian tersebut merupakan rekod baharu dalam sejarah American Idol sejak program realiti TV dimulakan 11 tahun lalu.
Malah laporan akhbar Los Angeles Times menyifatkan pertarungan akhir antara Phillip dan Jessica telah menampakkan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Phillip.
Ia berikutan impak daripada keupayaan Philip yang mengalunkan lagu Billy Joel, Movin' Out menjadi seperti lagu miliknya sendiri manakala Jessica pula mendendangkan lagu balada berjudul Change Nothing.
Sementelah Jessica dikatakan langsung tidak memberi saingan kepada Phillip, malah dia disarankan Los Angeles Times untuk mencari nama komersial bagi memastikan kelangsungan kariernya berjalan lancar.
"Ia adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat beraksi di atas pentas ini dan bermain dengan banyak orang yang hebat.
"Kepada para peminat saya, berterima kasih kerana mengundi kami berdua sehingga ke peringkat ini," ucap Phillip sebelum diumumkan sebagai pemenang baharu program tersebut.
Berusia 21 tahun, Phillip yang berasal daripada Leesburg, Georgia, Amerika Syarikat sememangnya bukan peserta yang pertama tampil dalam American Idol bertemankan gitar atau kebolehan bermain instrumen. Dia juga bukan peserta pertama yang berbakat mengubah lagu sedia ada menjadi lebih segar.
Detik debaran Phillips dan Jessica ketika melangkah di pentas final American Idol 11.


Namun hal yang tidak dapat disangkal, dalam American Idol 11, hanya Phillip seorang yang membawa 'bekal lebih' berbanding peserta lain. Tidak dinafikan 13 peserta yang bertanding kali ini masing-masing mempunyai vokal yang mengagumkan.
Sekadar menyebut beberapa nama seperti Heejun Hun, Joshua Ledet, selain Jessica sendiri, ketiga-tiga mereka memang terkenal dengan vokal luar biasa.
Heejun misalnya sentiasa menggoda audiens dengan vokal dalam tonasi rendah, Joshua yang hanya menduduki tangga ketiga memukau dengan vokal emasnya selain Jessica yang tidak pernah gagal melontar vokal gemersik dengan kawalan yang cukup baik.
Tuah bagaimanapun lebih memihak kepada Phillip. Pada malam final yang berlangsung semalam, Phillip dilihat menangis sewaktu membawakan lagu karya sulungnya berjudul Home sebaik sahaja diumumkan sebagai juara American Idol 11 sebelum dia meninggalkan pentas dan berpeluk-pelukan dengan ahli keluarganya sebagai tanda meraikan kemenangan yang diperolehnya itu.
Sentiasa konsisten menukar lagu-lagu yang diberi menjadi seperti lagu miliknya, barangkali itu yang membuat pengundi tertawan dengan kebolehannya.
Selain itu, dia yang kerap mengucapkan ucapan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan mengundinya melalui Twitter peribadinya juga dilihat menjadi antara faktor kemenangan yang diperoleh.
Sakit
Di sebalik kemenangan dan kemasyhuran yang diperoleh, ada harga yang tetap perlu dibayar oleh jejaka dengan senyuman manis itu.
Oleh kerana dia terbabit dengan American Idol 11, Phillip terlepas untuk menghadiri majlis konvokesyennya selepas tamat pengajian di Albany Technical College, Albany, New York.
SAAT gemilang Phillip sebaik diumumkan sebagai juara American Idol 11 sambil dipeluk oleh Jessica.


Pada bulan Mac yang lalu, dia juga pernah dikejarkan ke hospital kerana masalah buah pinggang yang dihidapinya selama ini.
Malah sebaik dinobatkan sebagai juara American Idol 11, Phillip akan segera menjalani pembedahan bagi membantu dia bebas daripada penyakit tersebut.
Dia juga dikhabarkan tidak akan turut serta dalam beberapa buah promosi American Idol 11 kerana pembedahan tersebut yang memerlukan dia berehat panjang.
Namun sebaik sahaja dia sihat sepenuhnya, Phillip akan terus aktif dan memulakan kembara baharunya sebagai artis sebenar. Dengan semua bakat yang telah ditonjolkan dalam American Idol 11, persoalan timbul mampukah Phillip bersaing dengan artis sedia ada dan seterusnya mengekalkan popularitinya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive