Pengikut Boyzzonne

Wednesday, May 23, 2012

Nazmi mula meniti puncak karier


NAZMI menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab Beira-Mar di Aveiro, Portugal semalam.


‘ARKITEK’ muda negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor kini mula meniti kemuncak dalam kariernya.
Awal pagi semalam, pemain berusia 17 tahun itu sah menjadi milik kelab Portugal, S.C. Beira-Mar apabila menandatangani kontrak selama tiga tahun.
“Saya telah mula jatuh cinta kepada kelab ini (Beira-Mar) sejak saya menjejak kaki buat kali pertama di sini (Portugal).
“Saya dilayan dengan baik dan saya akan sentiasa mengingati kata-kata dan tunjuk ajar daripada jurulatih (Ulisses Morais) dan kapten, Hugo.
“Saya sangat gembira dan sudah tidak sabar untuk memulakan karier baharu sebagai pemain bola sepak profesional,” kata Nazmi yang dipetik dalam laman sosial Twitter miliknya.
Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee pasti menjadi individu paling gembira apabila anak buahnya itu dilamar kelab Eropah.
“Pujian harus diberikan kepada Nazmi yang telah banyak berusaha untuk beraksi di Eropah.
“Saya sangat bangga apabila mengetahui salah seorang pemain muda negara dapat beraksi bersama salah sebuah kelab utama di Portugal.
“Ini menunjukkan hasil usaha FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menghantar pemain-pemain muda beraksi di Slovakia telah membuahkan hasil, seterusnya menutup mulut para pengkritik yang mengatakan ia satu pembaziran,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kim Swee merupakan individu bertanggungjawab mencungkil bakat Nazmi yang digelar ‘Kaka Malaysia’ apabila mula menyaksikan kelibat pemain itu empat tahun lalu.
“Banyak pihak yang mempersoalkan saya apabila menyenaraikan Nazmi bagi mewakili negara pada Sukan SEA 2011 di Indonesia biarpun baru berusia 17 tahun.
“Ada pihak turut mempertikai keputusan saya apabila menurunkan Nazmi ketika menentang Thailand tetapi sejak daripada itu, dia telah dikenali ramai,” katanya.
Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes enggan mendedahkan nilai kontrak berkenaan, sambil memberitahu, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tersebut akan kembali menjalani sesi latihan bersama BeiraMar mulai Julai depan.


No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive