Pengikut Boyzzonne

Monday, August 27, 2012

Syurga gelandangan, Jalan Tun Perak jadi ‘hotel’

Dataran Menara Maybank, Jalan Tun Perak dekat sini terus menjadi rumah sementara bagi golongan pengemis dan gelandangan berehat tidak kira siang ataupun malam meskipun pelbagai operasi dijalankan pihak berkuasa sejak Ramadan lalu.

Apa yang pasti, kewujudan golongan ini bagi sesetengah orang amat merimaskan berikutan
jumlah kehadiran mereka semakin bertambah terutama pada Ramadan dan Syawal.
Pekerja Maybank, Mohd Amirul Aziz, 40, berkata, kebanyakan golongan yang tidur di kaki lima dan tembok sekitar menara bank itu adalah orang yang sama.

“Banyak dalam kalangan mereka adalah warga asing terutama dari Myanmar dan Vietnam manakala selebihnya adalah terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya.

Menurutnya, keadaan yang berlaku bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah turut menjadi kawasan itu tidak terurus berikutan sampah seperti botol plastik minuman dan  bekas makanan polistirena bersepah.

Bagi pemandu teksi, Mohd Hussin Abu Bakar, 44, berkata, kewujudan kutu rayau di situ bukan perkara baru.

“Mereka ini semua memang tiada rumah jadi lokasi di sini strategik untuk mereka berehat tambahan siar kaki yang ada boleh menjadi tempat berteduh sama ada siang ataupun malam,” katanya.

Sinar Harian yang membuat tinjauan di sekitar kawasan itu jam 2 pagi kelmarin berkesempatan berbual dengan seorang daripada kutu rayau yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 35.

Ali berkata, sebelum ini dia pernah dua tahun menjalani sesi pemulihan di sebuah pusat pemulihan dadah terkenal namun nasibnya terus dirundung malang selepas keluarga tidak menerimanya kembali.

“Hendak buat macam mana kalau sudah nasib begini, terpaksalah tinggal di mana-mana  asalkan selesa dan boleh tidur itu sudah memadai,” katanya yang enggan gambarnya dirakamkan.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive