Pengikut Boyzzonne

Monday, April 4, 2011

1,000 bilah keris Zul Purba


ZULKIFLI sedang menempa besi untuk dibentuk menjadi keris di bengkelnya di Kampung Pengkalan Batu.


KEMAHIRAN Zulkifli Wahab, 48, menghasilkan keris terbukti apabila dia tidak pernah putus pelanggan sejak terlibat dalam pertukangan itu lebih sedekad lalu. Jika dilihat keris-keris yang dihasilkan, tiada siapa menyangka yang empunya diri merupakan seorang yang kelainan upaya (OKU).
Justeru, kecekalan Zulkifli dari Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor mencari rezeki tanpa mengharapkan bantuan orang lain bukan sahaja dipuji malah, dikagumi ramai. Bagi Zulkifli sendiri, kekurangan tersebut tidak pernah membuat dia berputus asa, sebaliknya menaikkan semangatnya untuk terus bekerja bagi mencari sesuap nasi.
Tidak hairanlah, setelah lebih 12 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, dia yang juga dikenali sebagai Zul Purba telah berjaya menyiapkan lebih 1,000 bilah keris.
“Mula-mula menceburi bidang ini, saya agak kekok kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi dan ketelitian untuk menghasilkan sebilah keris. Bagaimanapun, saya tidak mudah berputus asa dan akhirnya pengorbanan saya berbaloi apabila kerja-kerja ini telah menjadi kebiasaan sekali gus ia menjadi lebih mudah pada hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mempelajari ilmu dan kemahiran tersebut daripada seorang pembuat keris, kongsi Zulkifli membuat sebilah keris adakalanya memakan masa sehingga sebulan kerana memerlukan ketelitian untuk menggabungkan tujuh sehingga lapan jenis besi selain kemahiran mengukir.
Selain itu katanya yang mengalami kecacatan di kaki selepas terlibat dalam satu kemalangan, pembuatan keris juga bergantung kepada permintaan pelanggan yang inginkan saiz dan bentuk hulu tertentu.
“Saya turut membuat pelbagai jeAnis hulu keris, antaranya Hulu Jawa Deman yang reka bentuknya berasal dari Indonesia. Tidak ketinggalan Kake Pusaka dari Terengganu, Gajah Mina dan lain-lain lain. Yang pasti, semua bentuk hulu yang direka mempunyai maksud tersendiri,” katanya.
Selain itu, bagi membuat hulu dan sarung keris, beberapa jenis kayu digunakan seperti leban tanduk, macang hutan, kayu boin dan kemuning yang diperoleh daripada pembekal kayu dari daerah lain.
“Seni membuat keris tidak semudah yang disangka kerana terpaksa menggabungkan besi, membentuk alur dan luk keris serta mengikut bentuk yang diinginkan pelanggan,” katanya.
Dia turut memberitahu, keris yang sering mendapat tempahan ialah keris Malela, Anak Alang, Pandai Sarah, Pandai Mamat, Pukal dan Bugis.
Selain membuat keris bersama sarung, Zulkifli juga arif dalam membuat pisau seperti pisau daging, pisau lapah dan pisau sembelih serta parang.
Sedia berkongsi ilmu yang dimiliki, Zulkifli menjemput sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajarinya memandangkan keris adalah warisan yang perlu diketahui generasi akan datang.
“Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan ilmu membuat keris datanglah dan tiada bayaran dikenakan. Cuma memerlukan minat sahaja kerana inilah warisan yang ditinggalkan panglima kita sebagai senjata dan lambang kekuatan anak Melayu,” katanya mengakhiri perbualan.
Bagi sesiapa yang berminat menempah atau belajar membuat keris, Zulkifli boleh ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, Mersing atau menghubunginya di talian 019-764 4573
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive