Pengikut Boyzzonne

Monday, April 4, 2011

Dunia Baru Liyana Jasmay

Sibuk jadi pelatih produksi






SESI fotografi khas bersama Kosmo! kali ini sedikit berbeza daripada kebiasaannya, apabila aktres dan penyanyi Liyana Jasmay terpaksa mencuri masa daripada penggambaran filem Aku, Kau dan Dia arahan Pierre Andre.
Bagaimanapun, penglibatan Liyana bukan sebagai pelakon sebaliknya sebagai pelatih yang menjalani latihan praktikal di syarikat perfileman Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Meskipun hadir sedikit lewat daripada waktu yang dijanjikan, Liyana tampil dengan riak wajah gembira dan segera memohon maaf atas kelewatannya itu.
“Saya tidak sampai hati mahu tinggalkan set penggambaran kerana terlalu banyak pelakon tambahan yang perlu dijaga. Sebab itu saya sedikit lewat,” katanya.
Dalam tempoh tiga bulan, bermula pertengahan Mac lalu, rutin hariannya berubah sama sekali daripada kebiasaan.
Melupakan sebentar statusnya sebagai pelakon, jadualnya terikat sama dengan jadual filem yang sedang berjalan.
Akui Liyana, sebelum menjalani latihan praktikal 1000 macam perkara bermain di minda.
Bimbang dengan kerja yang dilakukan serta penerimaan orang sekeliling, ternyata kini, Liyana mempunyai masa yang cukup seronok. Malah, dia juga tidak lupa komitmennya sebagai seorang pelatih dan melakukan sesi fotografi sepantas yang mungkin.
“Saya kena kembali semula ke set penggambaran, ada kerja,” balasnya dengan senyuman.
Latihan praktikal
Pelakon ini dengan penuh teruja bercerita mengenai pengalamannya menjalani latihan praktikal demi memperoleh diploma daripada Kolej Sunway, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dalam jurusan seni persembahan dan media sekitar hujung tahun ini.
“Pengalaman paling menarik bila mula-mula saya datang ke set penggambaran filem, semua krew ingat saya yang akan berlakon.
“Bila saya cakap saya buat latihan praktikal mereka semua terkejut.
“Dulu saya yang sibuk hafal skrip dan tidak memikirkan perkara lain selain lakonan tetapi sekarang saya yang harus memastikan penggambaran berjalan lancar,” ujarnya.
Tambah gadis berusia 23 tahun itu lagi, disebabkan dia telah bekerja dalam industri filem sejak usia sembilan tahun, tidak sukar buatnya untuk melakukan kerja-kerja belakang tabir. Malah, dia dihormati sebagai salah seorang pekerja di sana.

KATA Liyana dia seronok terlibat dalam pengurusan belakang tabir untuk menambah ilmu di dada.


“Sebenarnya saya agak cemas sebab bimbang kena buli dan bermacam-macam lagi.
“Namun bila saya sudah menjalani latihan praktikal, semua orang sangat menghormati dan amat mudah untuk saya bekerja kerana saya mengenali kebanyakan kru yang terlibat di belakang tabir,” katanya yang bertanggungjawab sebagai pembantu pengurus produksi dan pembantu produksi.
Sambungnya lagi, menjalani latihan di sebuah syarikat perfileman merupakan persediaan buatnya yang mempunyai impian untuk membuka sebuah syarikat produksi miliknya sendiri pada masa depan.
“Selain saya belajar untuk dapatkan diploma, saya juga belajar cara-cara pengurusan sebuah produksi dan mengetahui dengan lebih mendalam perjalanan sesebuah produksi filem.
“Sebenarnya ini bagus untuk saya, sebab saya ada impian untuk memiliki sebuah syarikat produksi.
“Sebelum saya boleh merealisasikannya, saya harus timba pengalaman di tempat orang dan memahami perjalanan sebuah produksi.
“Kalau dulu saya hanya berlakon dan tidak ambil peduli tentang pengurusan, sekarang saya dapat belajar banyak benda baru serta belajar memikul tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya panjang lebar.
Walaupun sibuk dengan latihan praktikal, itu tidak membataskan Liyana untuk meneruskan kerjaya lakonannya. Masih sempat mencuri masa untuk promosi filem seram terbarunya Senjakala, Liyana juga akan terlibat dengan penggambaran filem Papadom 2 sekitar bulan April depan.
“Nasib baik saya buat praktikal di Tayangan Unggul dan mereka yang menerbitkan filem Papadom 2, jadi tidak ada masalah untuk saya buat praktikal dan bekerja sebagai pelakon dalam masa yang sama,” katanya lagi.
Ajal dan kiamat
Awal Mac lalu, selama dua minggu, Liyana bersama ibunya serta keluarga abang iparnya berada di Mekah kerana mengerjakan umrah. Itu merupakan umrah kali kedua buat Liyana.
Meskipun masih muda, tegas Liyana itu bukan alasan untuknya tidak menjejakkan kaki ke tanah suci. Dia cukup senang sepanjang berada di sana, malah disifatkan sebagai tempat paling aman dan tenang buatnya.
“Selalu orang akan buat persepsi umrah dan haji hanya untuk orang tua. Ada juga orang yang takutkan saya kenapa nak pergi Mekah, nanti mesti ada benda yang akan jadi. Sebenarnya itu salah, mengikut kata jurupandu yang membawa kami di sana, kebanyakan orang tidak mahu ke Mekah kerana belum bersedia.

LIYANA kembali berpasangan dengan ‘hero’ lamanya, Zahiril Adzim dalam filem Senjakala.


“Sedang hakikat sebenarnya, orang yang banyak buat dosa patut pergi, minta keampunan daripada Allah. Alhamdulillah, saya tidak menghadapi sebarang masalah di sana, saya mempunyai masa yang cukup seronok,” tuturnya.
Jelas Liyana, ketika usia masih mudalah sepatutnya pergi Mekah kerana masih mempunyai kekuatan untuk berjalan dengan mengerjakan umrah atau haji.
“Umrah dan haji bukan untuk orang tua sahaja tetapi untuk semua orang tidak kira usia. Saya bersyukur kerana dapat jadi tetamu Allah pada usia ini, bukan semua orang yang dapat jemputan untuk ke sana. Ramai orang kaya yang belum sampai ke Mekah sedangkan tempat lain sudah mereka lawati.
“Jadi, jika berkemampuan dan mempunyai rezeki, apa salah melawat Mekah. Kita juga tidak tahu bila ajal dan kiamat, sekarang pun tanda-tanda kiamat kecil sudah mula kelihatan. Kalau tua, belum tentu larat untuk melakukan semua perkara di sana,” balasnya.
Kata Liyana lagi, jika berkesempatan dan mempunyai rezeki, dia ingin menjadikan Mekah sebagai destinasi tahunannya untuk dilawati, bagaimanapun dia belum bersedia untuk menunaikan haji.
“Saya rasa dalam hati semua orang yang beragama Islam mesti nak ke Mekah, saya sudah lakukan umrah manakala haji saya belum bersedia. Saya sudah simpan niat yang saya akan menunaikan haji selepas saya berkahwin dan pergi bersama suami. Kalau boleh saya ingin buat haji sebelum usia 40 tahun

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive