Pengikut Boyzzonne

Friday, November 16, 2012

Dua sepupu hilang dilari lima penculik bersenjata


KOTA KINABALU - Dua sepupu hilang selepas dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata api ketika sedang meninjau operasi rumah burung walet milik keluarga mereka di Ladang Lian Hin Lee berhampiran Felda Sahabat 15, Lahad Datu dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi, kedua-dua mangsa lelaki berusia 25 dan 33 tahun yang turut menguruskan
ladang kelapa sawit di situ juga dikatakan pergi ke lokasi tersebut bersama dua lagi pekerja mereka.
Ketika berada di rumah burung walet itu, keempat-empat mangsa dipercayai didatangi lima lelaki membawa empat laras senjata api dipercayai jenis M203 dengan salah seorang daripada mereka memakai topeng.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib (gambar kecil) berkata, kumpulan suspek itu kemudian menahan kedua-dua sepupu terbabit manakala dua lagi pekerja tidak diapa-apakan dan dibebaskan.
Ketika kejadian, dua pemuda yang bekerja sebagai pengurus dan penolong pengurus di ladang kelapa sawit juga milik keluarga mereka dipaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer menuju ke pantai di Kampung Manakayang.
"Kedua-dua mangsa kemudian menaiki sebuah bot dipercayai milik kumpulan itu dan beredar.
"Dua lagi pekerja yang turut berada di rumah burung walet itu dilepaskan tanpa dicederakan," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Polis sedang mengesan lokasi dua pemuda tersebut disembunyikan. Bagaimanapun, ada penduduk kampung di Pandami mendakwa melihat sebuah bot melintasi kawasan itu membawa tebusan.
Lokasi terdekat dengan kawasan penculikan tersebut ialah Pulau Sitangkai di selatan Filipina.
Hamza memberitahu, selain menculik dua pemuda itu, suspek turut merampas barangan berharga milik dua mangsa itu seperti cincin, rantai emas, telefon bimbit serta dua kunci kereta yang kesemuanya dianggar bernilai RM28,000.
Beliau bagaimanapun menafikan kegiatan itu didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.
Setakat petang semalam, kumpulan suspek terbabit belum menghubungi keluarga kedua-dua mangsa terbabit untuk meminta wang tebusan.
Difahamkan, dua mangsa yang berasal dari Semenanjung telah mengusahakan rumah burung walet dan ladang kelapa sawit itu sejak 10 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive