Pengikut Boyzzonne

Thursday, September 6, 2012

Lagu 'Berkikis Bulu Betis' rai sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri

MIRI - Lagu Iban popular 'Bekikis Bulu Betis' menarik perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke Sarawak Jun lalu sempena Hari Gawai, dan Sabtu ini lagu itu akan didendangkan lagi, khusus untuk meraikan
ulang tahun ke-91 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
   
Perdana Menteri menganggap lagu itu sesuai untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kerana lirik dan rentak yang memberi semangat pantang menyerah.
   
Selain lagu nyanyian Anderson Ngalai itu, Stadium Terbuka Miri pada Sabtu ini akan meriah dengan lagu-lagu malar segar seperti 'Sangam', daripada filem Hindustan Sangam yang diterbitkan pada 1964, dan lagu popular 'Anak Kampung', kegemaran masyarakat Sabah, yang kini menjadi siulan seluruh negara apabila dirakamkan semula oleh penyanyinya Jimmy Palikat bersama kumpulan hip-hop One Nation Emcee.
   
Menteri Perumahan yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur sambutan hari jadi Yang Dipertua Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, segmen lagu dan tarian itu antara elemen baharu yang diperkenalkan selari dengan konsep 1Malaysia dan untuk memberi nafas baharu pada sambutan dan penglibatan aktif golongan remaja.
   
"Lagu-lagu itu sebenarnya melambangkan semangat perpaduan," katanya selepas menyaksikan raptai penuh perbarisan dan persembahan sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Sarawak di Stadium Terbuka Miri hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata lagu Sangam contohnya sebagai pengiktirafan sumbangan kaum India di Sarawak walaupun mereka kaum minoriti.
   
Golongan muda turut dilibatkan dengan membawa lagu "I am For You" bagi menghargai serta memberi ruang kepada mereka menunjukkan bakat dan menyatakan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak.
   
Beliau berkata secara keseluruhan persiapan berjalan lancar dan dijangka lebih 10,000 orang akan berhimpun di Padang Terbuka Miri seawal 7 pagi Sabtu ini untuk memeriahkan sambutan.
   
Sebanyak 91 kontinjen, mengikut umur Yang Dipertua Negeri, akan terlibat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti politik, persatuan dan jabatan kerajaan negeri serta persekutuan.
   
"Rakyat negara jiran Brunei dijemput juga untuk memeriahkan sambutan," katanya sambil menambah sambutan pada tahun ini dijangka lebih meriah kerana ia akan memperkenalkan elemen baharu supaya relevan dengan perkembangan sosial dan ekonomi semasa. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive