Disangka mati selepas terjun ke dalam Tasik Raja Lumu di sini, rupa-rupanya dia masih hidup dan sedang bekerja. Itu yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 32 tahun yang disangkakan mati selepas beg pakaiannya ditemui terapung di permukaan tasik berkenaan, semalam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), polis serta dibantu anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula jam kira-kira jam 5 pagi, semalam, pada mulanya dilaksanakan selepas bilik gerakan mendapat panggilan seorang wanita mengatakan nampak seorang wanita lain terjun di tasik itu.
Pasukan mencari dan menyelamat hanya menemui dua beg termasuk satu beg terapung berisi pakaian dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sumber polis berkata, selepas melihat alamat tertera di sijil itu, pihaknya menghubungi polis Terengganu untuk mengesan keluarga ‘mangsa’.
“Kami hubungi pihak keluarga berdasarkan alamat itu. Pada mulanya bapa kepada lelaki yang memiliki sijil SPM itu tidak mahu bekerjasama bimbang anaknya terbabit dalam kes jenayah.
“Tetapi kami menerangkan perkara sebenar kemungkinan anaknya terjun di tasik sebelum dia bersetuju memberi nombor telefon anaknya.
“Kami menghubungi pemilik sijil itu dan dia terkejut apabila diberitahu beg pakaiannya ditemui timbul di Tasik Raja Lumu. Lelaki berusia 32 tahun itu mengakui sebelum ini dia menumpang di surau berhampiran tasik itu selama dua bulan selepas berhijrah dari Terengganu untuk mencari kerja.
“Kini dia bekerja di Pelabuhan Klang dan akan hadir ke balai polis untuk mengambil beg berisi pakaian dan sijil miliknya itu,” kata sumber polis ketika ditemui pada operasi semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob yang dihubungi mengesahkan laporan bagaimanapun berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dikatakan wanita itu tetap diteruskan.
“Kami akan lebih fokus kepada usaha mencari dan menyelamat. Siasatan setakat ini menjurus kepada kes bunuh diri.
“Siasatan mengenai saksi yang memanggil talian kecemasan 999 sama ada membuat laporan palsu atau tidak, itu kita kira kemudian,” katanya.
Difahamkan, polis sedang mencari alamat pemanggil wanita misteri itu berdasarkan pendaftaran talian telefon bimbitnya berikutan dia tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu jam 4.48 pagi semalam.
No comments:
Post a Comment