KEMAMAN – Sebanyak 64 rumah dan lima gerai makan di lima buah kampung di daerah ini ranap dan rosak teruk gara-gara dipukul ribut dan puting beliung dalam kejadian bermula jam 11.15 malam tadi.
Jumlah rumah yang rosak membabitkan 34 buah di Kampung Bukit Anak Dara; Kampung Titian Bertayun (22); Kampung Ibai Penunjuk (4); Kampung Che Wan (3) dan Kampung Teluk Kalong (1) manakala lima gerai makan sementara di Medan Selera Geliga.
Lebih menyedihkan selain atap rumah diterbangkan pusaran angin dan ribut, terdapat juga rumah yang ranap dihempap pokok tumbang.
Seorang mangsa, Adam Halim, 23, dari Kampung Bukit Anak Dara, Kijal berkata, dia sekeluarga sedang nyenyak tidur apabila terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur rumah kira-kira jam 11.45 malam.
“Terkejut dengan bunyi kuat itu, saya pergi memeriksa di dapur dan melihat pokok rambutan di belakang rumah sudah menghempap bahagian kiri dapur rumah dan saya segera membawa isteri dan anak yang berusia dua tahun keluar dari rumah. Apabila diperiksa, pokok itu tumbang kerana akarnya tercabut dipukul ribut
“Namun, syukur kepada ALLAH SWT kerana bilik tidur kami berada di bahagian kanan hadapan rumah. Jika berada di hadapan bahagian dapur pasti sesuatu yang tidak diingini berlaku memandangkan kami sekeluarga sudah tidur ketika itu,” katanya yang mengakui mereka sekeluarga mula masuk ke bilik pada jam 11 malam.
Menurutnya, sejak menyewa di rumah berkenaan tujuh tahun lalu, musibah tersebut adalah kali pertama menimpa keluarganya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohamad Jusoh, 60, berkata, ketika kejadian berlaku dia bersama isteri Fatimah Ishak, 45, dan dua anaknya Nur Jufadiha, 17, dan Nur Jufarahain, 14, baru bersiap untuk tidur.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti dahan patah sebanyak tiga kali dan dengan sepantas kilat bumbung rumah kami diterbangkan angin menyebabkan kami empat beranak segera keluar menyelamatkan diri setelah melihat bumbung telah tiada,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu terjadi pada jam 12 tengah malam dan selepas keluar dari rumah, dia empat beranak terkedu melihat bahagian bumbung rumah berada di hadapan pintu dapur.
No comments:
Post a Comment