Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan melepaskan dua tembakan amaran ke udara menyelamatkan kilang tempat bertugas daripada diceroboh tiga lelaki untuk mencuri besi dalam kejadian di Jalan Sungai Buloh-Subang.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, pengawal berusia 44 tahun itu meronda di bahagian belakang premis membekal diesel itu bersama seorang rakan sekerja sebelum mereka ternampak kelibat tiga lelaki dalam bangunan sebuah kilang yang dalam pembinaan.
Menurut sumber, pada mulanya kedua-dua pengawal berkenaan ternampak dua lelaki tidak dikenali memasuki bangunan yang dalam pembinaan itu dan mengesyaki mereka datang untuk mencuri besi.
“Pengawal berkenaan menjerit ke arah dua lelaki terbabit sebelum melepaskan satu tembakan ke udara menggunakan senapang.
“Tembakan itu menyebabkan dua lelaki terbabit ketakutan dan melarikan diri ke kawasan kilang bersebelahan,” katanya.
Pengawal berkenaan melakukan pemeriksaan di tempat dua lelaki terbabit dilihat sebelum terkejut menemui seorang lagi lelaki tidak dikenali memegang besi konkrit.
“Ini menyebabkan pengawal berkenaan sekali lagi melepaskan tembakan ke udara menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri.
No comments:
Post a Comment