“Kemalangan itu amat dahsyat, tapi saya terkilan kerana tak mampu berbuat apa-apa, sebaliknya hanya mampu lihat saja mayat seorang daripada mangsa terbujur di atas jalan dalam keadaan perut terburai manakala yang lain tersepit dalam kenderaan masing-masing yang remuk.”
Demikian kata Mohd Aliff Farhan Mohd Hatta, 16, antara individu terawal tiba di lokasi kemalangan di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Labok, di sini, yang mengorbankan tiga nyawa termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56, awal pagi semalam.
Dua lagi yang terbunuh ialah Sarjan Abd Kadir Kumin, 48, dari Ulu Cheka, Jerantut, Pahang, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dan suri rumah, Membunga Mamat, 61, dari Rancangan Kemajuan Tanah Paloh 1, Gua Musang.
Kemalangan berlaku ketika Abdul Wahab dan Abd Kadir dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Krai dengan menaiki kereta BMW bertembung sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dari arah bertentangan dinaiki Membunga bersama anaknya, Mohd Saari Asmawi, 36.
Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan dan mayat mereka dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.
Mohd Saari yang memandu Pajero itu pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.
Menceritakan pengalamannya, Mohd Aliff Farhan yang rumahnya hanya 20 meter dari tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika
menonton televisyen pada jam 1 pagi.“Selepas mendengar bunyi dentuman kuat itu, saya keluar rumah dan melihat kepulan asap serta api kecil menyala. Sebaik mendekati dua kenderaan yang terbabit nahas itu saya tergamam melihat darah membasahi jalan dan seorang mangsa terbaring di atas jalan dalam keadaan mengerikan,” katanya.
Menurutnya, tidak lama kemudian, bapa saudaranya, Hussin Ismail, 45, tiba di tempat kejadian dan memadamkan api menggunakan air yang diisi ke dalam baldi kerana bimbang berlaku letupan.
“Dentuman kuat itu kedengaran sehingga kampung sebelah, Kampung Bunut Mak Teh sehingga ramai yang keluar untuk melihat apa berlaku. Penduduk kemudian menghubungi polis dan bomba untuk kerja menyelamat,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah Machang 1 itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua kenderaan itu disyaki dipandu laju sebelum bertembung.
Menurutnya, jenazah Abdul Wahab dan Abd Kadir sudah dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Taman Segambut, Kuala Lumpur dan Ulu Cheka, Jerantut.
Beliau meminta orang ramai yang melihat kemalangan berkenaan menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment