TANYA KHABAR...seorang mangsa menceritakan kejadian kepada keluarganya.
|
SAKIT...dua mangsa dibawa menaiki ambulans ke hospital. |
Lima pekerja syarikat Petronas Carigali di perairan Tukau, kira-kira 31 batu nautika dari kuala Sungai Miri, di sini, cedera termasuk seorang melecur 70 peratus badan selepas pemampat udara di pelantar minyak itu terbakar.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, dua daripada mangsa yang cedera ialah kakitangan Petronas Carigali manakala tiga yang lain pekerja kontrak yang menyelenggara pelantar berkenaan.
Mangsa yang melecur 70 peratus di badan dikenali Bernad Christopher, 39, manakala empat mangsa lain ialah Mohd Syahrizal Yusop, 27; Joseph Brandah Buar, 25; Stephen Anyi, 50; dan Saberi Khan Abdul Ghani Khan, 40.
Semua mangsa diterbangkan dengan helikopter dari tempat kejadian ke Terminal Dua, Lapangan Terbang Miri, sebelum dibawa menggunakan ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Miri, jam 12.45 tengah hari bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Jurucakap hospital berkata, Bernad melecur hampir 70 peratus di bahagian badan manakala empat lagi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sehingga kini, semua mangsa masih berada di Hospital Miri .
.
“Mangsa yang melecur teruk itu masih ditempatkan di ICU dengan kakitangan perubatan mengkategorikan tahap kelecuran mangsa pada tahap satu,” katanya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika semua mangsa melakukan kerja rutin, namun mereka tiba-tiba disambar api yang merebak terlalu pantas.
No comments:
Post a Comment