Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang remaja berusia 17 tahun yang didapati bersalah membunuh seorang wanita warga Indonesia di Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, tahun lalu, ditahan selama tempoh mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas remaja lelaki itu mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 16 tahun ketika melakukan kesalahan itu.
Mengikut Seksyen 97 akta tersebut, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat selagi mendapat perkenan sultan atau raja.
Remaja terbabit bersama sepupunya yang berusia 24 tahun, didapati bersalah atas dakwaan membunuh Christy Erny, 19, di No. 13, Taman Desa Permai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini antara 2 petang dan 5 petang pada 12 Mei, tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Sepupu remaja terbabit, Mohd Azmi Ibrahim telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah sama, 1 Jun lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, remaja terbabit bersama sepupunya memasuki sebuah premis judi untuk bermain judi di pekan Simpang Durian, Jelebu, dekat sini yang pada waktu itu terdapat dua pekerja yang sedang bertugas iaitu Christy Erny dan ibunya Sumirnah.
Setelah habis beratus-ratus ringgit, sepupu remaja tersebut iaitu Mohd Azmi pergi berjumpa dengan Sumirnah untuk meminjam wang, manakala remaja terbabit berada di luar bersama Christy Erny yang sedang melayari laman Facebook.
Apabila permintaannya enggan dituruti, Mohd Azmi yang ketika itu baru empat hari mendirikan rumah tangga, telah memulas leher dan menghentakkan kepala Sumirnah ke lantai dan pada masa yang sama Christy Erny yang melihat kejadian itu menjerit meminta tolong.
Remaja terbabit yang berada dekat dengan Christy Erny kemudian menyerang dari belakang sebelum Mohd Azmi membantu remaja itu dengan menendang dan menghentak kepala mangsa ke lantai beberapa kali.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya cuba memusnahkan kamera litar tertutup di premis tersebut namun tidak berjaya dan melarikan diri setelah mengambil wang RM500 dari premis itu.
Christy Erny yang akan melangsung perkahwinan sebulan dari hari kejadian maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala ibunya yang parah ditemui orang awam dan sempat menerima rawatan.
No comments:
Post a Comment