SENTUHAN Rozaimi Abd Rahman terus berbisa apabila menjaringkan dua gol untuk membantu skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22) menumpaskan Taiwan 4-2 sekali gus merekod
kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan G Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2013 B-22 di Yangon, Myanmar semalam.
Selepas meledak empat gol ketika Malaysia membelasah Filipina 7-0 pada aksi kedua Isnin lalu, Rozaimi, pemain tengah berasal dari Sabah itu membolosi gawang Taiwan pada minit ketujuh dan 40.
Dua lagi gol skuad negara dihasilkan menerusi jaringan sendiri pemain Taiwan, Chen Yen-Jui pada minit ke-32 dan D Saarvindran (m-78) namun jurulatih negara, Ong Kim Swee nyata kurang berpuas hati dengan kelekaan anak buahnya sehingga dibolosi Lin Chang-Lun (m-50) dan Wen Chih-Hao pada masa kecederaan.
“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana tiga mata yang diraih amat mustahak untuk kita meneruskan saingan dalam pusingan kelayakan ini. Kita berjaya mendahului 3-0 pada babak pertama namun pemain leka dan akhirnya dihukum menerusi serangan pantas Taiwan.
“Pada separuh masa kedua, kita boleh menambah jaringan namun tiga percubaan terkena palang. Saya harap semua pemain memperbaiki kelemahan kerana selepas ini kita akan berdepan perlawanan lebih sukar menentang Vietnam,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Yangon semalam.
No comments:
Post a Comment