Pengikut Boyzzonne

Wednesday, October 3, 2012

4 beranak belasah perompak

SEREMBAN – Enggan berputih mata, empat beranak nekad membelasah seorang perompak yang cuba melarikan kereta mewah milik mereka di Taman Kwang Tong, Templer, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, tujuh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia 2 tahun dan sebulan, berdepan detik mencemaskan apabila diserang dua lelaki bersenjatakan pistol.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ho, 58, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga mahu menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga di bandar ini.





Menurutnya, dia bersama isteri, dua anak berusia 38 dan 24 tahun termasuk dua cucunya berada di dalam kereta, sedang menunggu menantunya yang masih berada di dalam rumah.

Bagaimanapun katanya, ketika berada di dalam kereta, seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah mereka dan mengugut menggunakan sepucuk pistol.

"Dia ugut akan melepaskan tembakan sambil mengarahkan kami keluar.

"Perompak mungkin meletakkan kereta tidak jauh dari kawasan kediaman kami sebelum bertindak," katanya.

Ho berkata, mereka mengikut arahan suspek kerana takut dicederakan dan dia turut mengarahkan isteri membawa dua cucu mereka masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, suspek memintanya menyerahkan kunci kereta atau memilih menyerahkan wang sebanyak RM30,000.

Namun katanya, disebabkan dia enggan menyebabkan suspek mula berang lalu menghentak kepala anak sulungnya menggunakan pistol.

“Jadi saya serahkan sahaja kunci kereta kerana tidak mahu anak sulung terus dicederakan. Suspek terus meluru ke dalam kereta dan cuba menghidupkan enjin.

 “Namun, kami tidak mahu terus mengalah dan kedua-dua anak saya yang tidak berpuas hati cuba mematahkan usaha suspek melarikan kereta kami dengan salah seorang anak saya mencekik leher suspek.

“Jadi, saya mengambil peluang memukul tangan suspek menyebabkan pistol yang dipegangnya terjatuh sebelum saya mengambil dan menyimpan pistol tersebut ke dalam poket seluar,” katanya.

Ho yang bekerja sebagai subkontraktor berkata, seorang rakan suspek yang menunggu di dalam kereta menyedari rakannya diserang, bertindak melanggarnya anak beranak.

Katanya, dia dan anaknya menolak suspek keluar dari kereta menyebabkannya terjatuh sebelum nyaris dilanggar rakannya sendiri.

“Insiden menakutkan ini tidak berhenti setakat ini sahaja kerana rakan suspek yang mula naik angin turun dari kereta sambil membawa sebatang besi dan memukul anak sulung saya.

“Ketika itulah, saya dan seorang lagi anak cuba melawan mangsa. Isteri saya juga turut membantu memukul mangsa menggunakan kayu menyebabkan berlaku pergelutan beberapa minit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek yang cedera dipukul segera melarikan diri dengan menaiki kereta mereka.


“Saya percaya suspek mahukan kereta mewah milik anak sulung saya yang baru beberapa bulan dibeli,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai lingkungan 20-an.

“Ketika kejadian, mereka tidak memakai topeng dan menaiki kereta jenis Mercedes menggunakan nombor pendaftaran WVY9188.

“Kita percaya suspek mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan. Jadi, saya minta kepada semua klinik atau hospital untuk menghubungi segera mana-mana balai polis berhampiran jika suspek terbabit cuba mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive