SUNGAI BESAR: Seorang remaja mengalami detik amat menyedihkan apabila melihat sendiri neneknya ditekup dengan bantal hingga mati oleh dua perompak yang menceroboh rumah mereka di Kedai Luar Bandar, Jalan Parit 6 Timur, di sini, awal pagi semalam.
Mohammad Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang turut ditumbuk dan diacukan parang oleh dua penjenayah terbabit
berkata, sebelum itu neneknya, Sadariah Tubasar @ Ahmad, 65, diikat dengan tali rafia manakala mulutnya ditekup dengan tuala. “Walaupun diikat, nenek tetap melawan dan menjerit menyebabkan suspek panik lalu seorang daripada mereka mengambil bantal dan menekup muka nenek. Beberapa minit kemudian, nenek lemah dan tidak lagi bersuara,” katanya.Mohammad Hafizul berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika dia dan neneknya nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.
Menurutnya, seorang daripada lelaki itu menghempap tubuhnya sebelum tangan dan kakinya diikat menggunakan tali rafia.
“Saya juga ditumbuk beberapa kali dan diacukan parang supaya tidak melawan. Mereka mengarahkan saya membantu mereka menggeledah bilik nenek.
“Selepas berjaya mendapatkan wang tunai dan barang kemas milik arwah nenek, mereka tergesa-gesa meninggalkan rumah melalui pintu belakang,” katanya sewaktu ditemui, semalam. Mohammad Hafizul berkata, kejadian menimpa arwah neneknya menyebabkan dia lebih tertekan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, polis menerima panggilan kira-kira 5.30 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di ruang tamu rumah.
Noor Mushar berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan lain di badan mangsa kecuali sedikit pendarahan di mulut dipercayai akibat diikat dengan kuat menggunakan tuala dan sewaktu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek melarikan wang tunai RM500, barang kemas dan sebuah beg tangan mangsa didapati hilang. Nilai keseluruhan kira-kira RM2,000,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
No comments:
Post a Comment