Faisal Zainal menunjukkan tempat pencuri yang menceroboh rumah keluarganya nyenyak tidur dalam kejadian pecah rumah di Jalan Dato’, Chukai |
Dalam kejadian di Jalan Dato’, dekat sini pada Selasa lalu itu, kehadiran lelaki itu disedari pemilik rumah, Kamsiah Wan Othman, 59, kira-kira jam 8.15 pagi ketika mahu mengemas bilik tidurnya sejurus menunaikan
solat Subuh dan menyediakan sarapan.
Lebih mengejutkan, daripada sisa nasi yang dimakan dipercayai pencuri berumur 35 tahun itu membawa bekalnya sendiri kerana nasi berlaukkan daging dan pinggan yang digunakan bukan milik tuan rumah.
Terkejut lihat seorang lelaki tidur di sofa
ANAK Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata, sebelum keluar dari bilik tidur untuk mengambil wuduk kira-kira jam 6 pagi, ibunya menyedari terdapat tiga beg dan satu bungkusan di laluan keluar dari bilik tidur tetapi menyangka ia milik adik-beradiknya yang lain.
“Apabila selesai menyediakan sarapan dan mahu masuk ke bilik tidur semula, mak terkejut melihat seorang lelaki nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua rumah, sebelum mak bertanya kepada saya sama ada membawa kawan tidur di rumah atau tidak ketika saya sampai di rumah mak kira-kira jam 8 pagi.
“Terkejut dengan pertanyaan mak saya segera pergi melihat lelaki itu lantas mengejutkannya daripada tidur dan ketika itu berlaku pergelutan kerana dia cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap. Pada masa sama, adik saya, Saifullah, 21, menghubungi polis,” katanya sambil mengakui banglo itu dihuni ibu bapanya, dua adiknya dan seorang anak saudara.
Katanya, bapanya, seorang merupakan pengusaha kilang papan yang terlebih dahulu bangun daripada tidur untuk ke masjid juga tidak menyedari kehadiran lelaki berkenaan di rumah mereka.
Curi pelbagai barangan termasuk berus gigi
FAISAL Zainal berkata, apabila diperiksa tiga beg dan bungkusan yang terletak di laluan berdekatan bilik tidur ibunya tidak jauh dari lelaki itu tidur, ia mengandungi sebanyak 10 utas jam tangan pelbagai jenama, seunit telefon bimbit, dua bentuk cincin suasa dan seunit ‘walkman’ yang merupakan barangan dicuri dari rumah mereka.
“Selain itu banyak lagi barang lain yang dicuri termasuk berus gigi. Dalam satu bungkusan pula ditemui banyak pakaian milik keluarga saya. Setelah itu kami memeriksa keadaan rumah dan mendapati empat bilik tidur yang tidak dikunci berselerak kerana bilik tidur yang berpenghuni dikunci ketika tidur.
“Di belakang sofa tempat suspek tidur pula, kami temui sisa nasi berlaukkan daging goreng dan petai dalam pinggan dan di sebelahnya terdapat biskut raya yang pada asalnya kami letakkan di dapur. Mungkin dia makan biskut selepas makan nasi lalu tertidur,” katanya yang percaya suspek memecah masuk rumahnya melalui tingkap sekitar jam 3 pagi.
Sejurus polis tiba dan suspek diperiksa, turut ditemui pada badan suspek sebilah pisau serta pemutar skru selain hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Rasa tidak sedap hati
SEMENTARA itu, Kamsiah berkata, dia tidak menyangka rasa tidak sedap hatinya ketika mahu tidur menjadi petanda rumahnya dimasuki pencuri lagi.
“Pada malam sebelum kejadian saya tidur agak lewat iaitu kira-kira jam 12 tengah malam. Sebelum tidur saya sudah pastikan semua pintu dan tingkap berkunci. Tak sangka pula rumah dimasuki pencuri lagi dan kes ini adalah kes pecah rumah kedua yang kami sekeluarga alami tahun ini.
“Sebelum ini sudah banyak kali rumah kami dipecah masuk dan yang paling menakutkan dalam satu kes, saya melihat penyamun sedang mencangkung mencari barang berharga di hadapan katil ketika saya tersedar daripada tidur,” katanya
sumber sinar online
No comments:
Post a Comment