Pengikut Boyzzonne

Monday, November 5, 2012

Bomba disambar api kilang

BERTUNGKUS-LUMUS...anggota bomba menggunakan buih sabun memadamkan kebakaran tangki minyak pelincir yang bocor

KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar berulang-kali mengiringi suasana cemas di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, selepas sebuah tangki minyak pelincir terpakai berkapasiti antara 16,000 hingga 25,000 liter meletup sehingga ‘memuntahkan’ minyak bersama
api dan membakar anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.
Kilang itu yang ditawarkan untuk dijual pada harga RM5 juta pada mulanya terbakar pada jam 8 pagi sebelum anggota bomba tiba pada jam 8.11 pagi, namun ketika menyudahkan tugas memastikan api di tangki berkenaan padam sepenuhnya setengah jam kemudian, minyak dari tangki itu memancut meletuskan api setinggi lebih 30 meter dan membakar beberapa anggota bomba yang berada berhampiran tangki berkenaan.

Akibatnya, tercetus suasana kelam-kabut apabila ada anggota bomba terbakar bersama pakaian dan ada pula yang berlari, berguling sebelum terbaring.
Seramai 10 pegawai dan anggota bomba cedera termasuk seorang anggota bomba wanita dengan lima daripadanya parah selepas melecur di muka dan badan. Sekumpulan wartawan dan jurugambar turut bertakbir apabila berdepan detik cemas kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.

Malah, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman yang turun padang turut memberi pertolongan kepada anggotanya yang cedera.

Antara yang parah ialah tiga pegawai bomba, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Abdullah Din Mohd, 55, dan Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Nazah Nafi, 43 yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala seorang lagi, PBKII, Wan Asri Wan Yaacob, 53, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Mangsa melecur di muka, tangan serta badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang anggota bomba, Mahusin Hassan, 45, bersyukur kerana api hanya membakar baju khas memadam kebakaran yang dipakai, namun sayu melihat rakan setugas yang melecur akibat terbakar.
Katanya, mereka tidak menyangka tangki minyak berkenaan meletup sehingga api menyambar anggota bomba.

“Ketika kejadian saya berehat dan berada 50 meter dari tangki berkenaan selepas memadamkan kebakaran di beberapa bahagian lain. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat api seperti menyambar dan mengejar dari belakang.

“Saya bingkas bangun untuk melarikan diri sebelum menyedari api menyambar belakang baju khas memadam kebakaran. “Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melihat beberapa anggota yang berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api di pakaian mereka dan ada yang melecur di muka, badan, dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.

Dalam pada itu, saksi kebakaran, Nadzri Noor, 37, yang juga pemilik kedai makan berhampiran kilang tayar itu berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap tebal bersama api menjulang tinggi sebelum terdengar letupan.

“Saya melayan pelanggan sebelum terlihat kepulan asap dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan. “Walaupun jarak kedai dan kilang kira-kira 100 meter, saya dapat rasa bahang apinya,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lima jentera dan 39 pegawai serta anggota bomba dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan Katanya, pihaknya berdepan masalah tekanan air, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran selain perlu menggunakan buih untuk memadamkan api yang berpunca daripada minyak.

“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darulnaim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian, malah kami juga meminta bantuan tambahan selepas letupan yang mencederakan 10 anggota bomba berlaku.

“Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggota yang cedera dihantar ke HUSM dan HRPZ II,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive