Pengikut Boyzzonne

Wednesday, August 22, 2012

Maut motosikal bertembung

Muhammad Shahir dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
 Alor Gajah - Seorang maut manakala seorang lagi dilaporkan masih koma selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sebelum tercampak ke tepi jalan di Jalan Kampung Paya Datuk, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia pada jam 9.40 malam, Zainal Othman, 26, menunggang motosikal Yamaha SS dari jalan lama kampung terbabit menghala ke pekan Alor Gajah bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Shahir Rafiq Rashid, 19, bersama rakannya, Norfatehah Rehan, 19, dari arah pekan Alor Gajah menuju ke Paya Datuk.

Difahamkan, pertembungan dalam kejadian itu mengakibatkan Zainal tercampak ke tepi jalan manakala Muhammad Shahir dan Norfatehah tercampak ke tengah jalan sebelum ditarik oleh orang awam ke tepi.

Saksi kejadian juga adik kepada Norfatehah, Nurul Laila, 17, berkata, ketika kejadian dia yang menaiki motosikal bersama rakannya berada di belakang tidak jauh dari motosikal dinaiki kakaknya.

"Setiba di tempat kejadian saya lihat kakak dan Muhammad Shahir tercampak ke tengah jalan sebelum saya segera menariknya ke tepi sementara Shahir yang tidak sedarkan diri dibantu orang awam.


"Manakala penunggang Yamaha SS tidak sedarkan diri terbaring di tepi jalan dan berlumuran darah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Nurul Laila berkata, dia bersama kakaknya dan dua rakan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kebaya, dekat sini selepas berhari raya sebelum terbabit dalam kemalangan.

Seorang pengguna jalan raya yang tiba awal di tiba kejadian, Tan Boon Han, 40-an berkata, ketika kejadian dia lihat kedua penunggang tidak sedarkan diri kecuali mangsa perempuan yang masih mampu bangun sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah.

Boon Han yang juga anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, dia cuba membantu mangsa yang cedera dan ingin membawa ke hospital namun dihalang beberapa orang awam yang bimbang sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.

"Saya kemudiannya segera menghubungi bantuan kecemasan dan ambulans tiba beberapa minit kemudian," katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Alor Gajah.

Sementara ibu Zainal, Fatimah Ahmad, 55, bagaimanapun enggan mengulas berhubung kemalangan yang menimpa anak keempat daripada tujuh beradik itu berikutan masih terkejut dengan pemergian anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin pula berkata, jenazah Zainal dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Mangsa yang cedera parah dirujuk ke Hospital Melaka sementara pembonceng motosikal hanya cedera ringan dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive