Pengikut Boyzzonne

Wednesday, July 18, 2012

lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai - Bukan lebuh raya politik


Kesediaan Kerajaan Negeri membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai menimbulkan reaksi pelbagai pihak. Ramai yang teruja inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di negeri ini, namun tidak kurang juga memandang
sinis kemampuan Kerajaan membina projek mega tersebut.

Ketua Wartawan Mohd Zailani Abdul Rahman dan wartawan Malini Mazlan menemu bual individu yang bertanggungjawab melaksanakan pembinaan terbabit iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

SINAR HARIAN: Selepas Kerajaan Negeri mengumumkan pembinaan lebuh raya terbabit, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meminta Kerajaan Negeri berbincang dengan kerajaan pusat  memandangkan beliau telah memohon kepada Perdana Menteri sendiri untuk membina lebuh raya sehingga ke Gua Musang. Adakah perkara ini telah dibincangkan.
HUSAM: Sebelum pelancaran itu saya telah hubungi Menteri Kerja raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor memaklumkan keputusan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan lebuhraya atas inisiatif Kerajaan Negeri. Dalam tempoh itu diputuskan untuk Datuk Shaziman menulis surat memaklumkan kepada menteri terbabit. 

Saya tidak ada keberatan untuk berjumpa Datuk Shaziman kerana kerjasama sangat diperlukan dan pembinaan lebuh raya ini, ia bukan kerana Kerajaan Negeri menganggap Kerajaan Pusat tidak penting, tetapi kita berpandangan bahawa lebuh raya ini mesti bermula supaya akhirnya ia menjadi kenyataan dan menunggu semata-mata adalah satu tindakan yang tidak bijak bagi pihak Kerajaan Negeri dan jika Kerajaan Pusat serius untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya, Kerajaan Pusat akan diberikan segala kemudahan untuk melanjutkan lebuhr aya ini daripada Kuala Krai ke Gua Musang.

Adapun yang telah kita laksanakan ini Kerajaan Pusat boleh membantu dengan memberikan semua reka bentuk yang telah mereka lakukan selama ini dan segala bantuan termasuk peruntukan, ia masih terbuka untuk Kerajaan Persekutuan untuk terlibat sama dalam pembinaan ini.

SINAR HARIAN: Dalam keadaan ini, apa yang Kerajaan Negeri perlukan?
HUSAM: Kita sangat mengalu-alukan Kerajaan Pusat membiayai dari segi kewangan dan melanjutkan Kuala Krai ke Gua Musang. Kita sangat menghargai jika Kerajaan Pusat melaksanakannya.

SINAR HARIAN: Timbul isu mengatakan Datuk yang menjadi pengerusi di Syarikat Baldah Toyyibah, syarikat yang menguruskan wakaf?
HUSAM: Sebenarnya pungutan derma dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam bentuk membuka satu dana bagi memohon bantuan orang ramai. Baldah adalah organisasi sementara waktu yang ditubuhkan oleh kerajaan dan dana ini disalurkan kepada Kerajaan Negeri. 

Pada masa yang sama Baldah akan menyiarkan jumlah 17 kutipan.  Pada waktu pelancaran ini, dana tersebut belum ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri bersama exco bersetuju menubuhkan satu dana rasmi dan semua pungutan-pungutan boleh disalurkan kepada dana ini.

Sama ada oleh Baldah, NGO, anak-anak Kelantan di luar dan orang-orang perseorangan. Kami tidak gunakan wang tersebut untuk Baldah, kami salurkan dana kepada Kerajaan Negeri. Pengerusi tidak salah tetapi agensi lain daripada kerajaan tidak elok memungut derma kerana kebenaran memungut derma ada satu peraturan-peraturan tetapi bagi tujuan-tujuan sementara kepada dana rasmi tidak jadi satu kesalahan.

SINAR HARIAN: Isu pembinaan lebuh raya ini timbul disebabkan rakyat ragu-ragu keupayaan kewangan Kerajaan Negeri. Boleh Datuk jelaskan.
HUSAM: Orang ramai meragui kerana mereka menganggap Kerajaan Negeri adalah lemah, ini adalah kongkongan minda dan kerana inilah sesetengah pihak membuli Kelantan selama-lamanya. Jadi, kita kena pecahkan kongkongan minda ini.

Adakah benar-benar sebuah Kerajaan Negeri tidak mampu membangunkan satu dana bagi tujuan-tujuan membina infrastruktur. Dalam aturan kerajaan persekutuan sendiri, sesetengah projek dilaksanakan oleh pihak swasta dan bank-bank membiayai projek tersebut dengan jaminan pembayaran oleh kerajaan.

Jika kerajaan persekutuan boleh berhutang dengan bank dan bank membiayai projek-projek kemudian kerajaan persekutuan membayar mengikut jadual yang tertentu, takkan tiada sebuah kerajaan negeri tidak boleh membuat perkara yang sama. Dari situ kita mengatur dan Kerajaan Negeri sebenarnya mempunyai sumber-sumber yang kadang-kadang lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan.

Tinggal lagi bagaimana disusun atur. Pembayaran pembinaan ini tidak dibayar sekali gus, ia dipecahkan kepada jangka masa 25 tahun. Bagi 43 kilometer, pertama ini, jumlahnya adalah sekitar RM800 juta, tidak termasuk pengambilan tanah. Ini bermakna kita perlu membayar lebih kurang RM30, juta setahun, selama 25 tahun.

Ini bukanlah perkara yang terlalu besar untuk sebuah Kerajaan Negeri mengumpul, menyediakan atau membiayai RM30 juta setahun dengan adanya anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri yang mencatatkan keuntungan seperti ladang Sungai Terah, kelapa sawit, kedua, Kerajaan Negeri mempunyai sumber-sumber seperti besi.

Pembukaan lombong-lombong besi yang baru secara berskala besar boleh menjadi sumber pendapatan baru Negeri Kelantan untuk membiayai lebuh raya ini. Itu lebih kurang secara kasar gambaran lebuh raya ini akan diadakan.

SINAR HARIAN: Bagaimana perjanjian dengan syarikat pembinaan?
HUSAM: Pembayaran kepada syarikat Menta Construction dibuat melalui pembayaran tertangguh, kontraktor sendiri mencari kewangan dan Kerajaan Negeri membuat pembayaran mengikut tempoh masa 25 tahun.

SINAR HARIAN: Bagaimana dengan penyelenggaraan selepas siapnya lebuh raya terbabit.
HUSAM: Kaedah penyelenggaraan telah dibincangkan dan kami mempunyai satu kaedah tertentu tetapi saya tidak perlu umumkan sekarang kerana itu menjadi satu strategi Kerajaan Negeri. Mungkin sesetengah pihak tidak percaya. Jadi dari segi perundangan mana-mana kerajaan ingin membina jalan ada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan mesti menanggung pembiayaan.

Selain daripada peruntukkan perlembagaan yang mewajibkan Kerajaan Persekutuan menghantar geran pembiayaan, saya dan pihak-pihak yang bertanggungjawab mempunyai satu rancangan untuk mendapatkan hasil bagi menanggung pembiayaan lebuh raya ini secara berterusan.

SINAR HARIAN: Konsep derma yang diperkenalkan Kerajaan Negeri mendapat reaksi negatif dari pihak tertentu, boleh Datuk jelaskan?
HUSAM: Semua kos pembiayaan ini telah diselesaikan bagi pakej yang pertama kerana itu kontraktor bersetuju membiayai projek itu. Oleh kerana lebuh raya ini dibina dengan aspirasi keperluan rakyat Kelantan. Dalam Islam sendiri aspirasi orang ramai amat penting.

Jika kita bina lebuh raya dan kita bayar begitu saja tidak rasa kepunyaan kepada rakyat jelata yang melihat sahaja. Tidak ada satu ikatan emosi. Namun, mana-mana kerajaan boleh membina lebuh raya. Ini tidak ada satu ikatan sentimental. Sedangkan dalam contoh Islam. Saya telah bawakan contoh Zulkarnain adalah model dan bukan untuk dibaca semata-mata.

Beliau perlu dijadikan contoh yang terbaik. Dalam model Zulkarnain ini, bahawa beliau mempunyai kekuatan dari segi kewangan. Konsep Islam ada menyebut wakaf. Wakaf adalah di luar kerajaan yang tidak dikongkong oleh kerajaan dalam sejarah Islam. Jangan pandang kecil terhadap wakaf dan konsepnya ialah tiap-tiap orang yang mewakaf mendapat pahala hingga kiamat.

Terbukti apabila saya buka konsep ini. Amat menakjubkan saya apabila profesional-profesional mewakafkan perkhidmatan jentera, khidmat kejuruteraan dan konsultan secara percuma. Konsep wakaf ini, kalau kita lihat ia boleh mewujudkan semula semangat gotong-royong umat Islam dan ini dijanjikan oleh Allah mendapat pahala sampai hari kiamat.

Ini peluang yang sangat besar yang sangat baik dunia akhirat. Jadi lebuh raya ini tidak jadi lebuh raya semata-mata tetapi menjadi lebuh raya akhirat juga. Saya berasa bangga kerana mengikut serta dalam inovasi ini.

SINAR HARIAN: Ada yang mengatakan pembinaan ini tidak lebih kepada faktor politik semata-mata?
HUSAM: Lebuhraya ini dicadangkan sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5). (Tun Abdullah Ahmad Badawi) Pak Lah telah memasukkan dan kontraktor dan kerja-kerja ukur telah dilantik. Tiba-tiba ia tertangguh dan tiada lagi dalam rancangan Malaysia kesepuluh dan Kerajaan Negeri telah berjumpa dengan Menteri Jabatan Perdana Menteri merayu supaya dilaksanakan lebuh raya ini.

Pada masa yang sama orang ramai merungut kerana terpaksa berdepan kesesakan khususnya pada hari perayaan. Kemudian JKR telah menjelaskan jalan buruk sejak tahun 1986. Pada masa yang sama kegiatan ekonomi Kelantan berkembang. Kita memerlukan jalan tengah yang boleh memberi laluan. Ia adalah keperluan Kerajaan Pusat berdolak-dalik.

Adakah Kerajaan Negeri ini hanya kena tunggu dan lihat. Pendekatan yang penting pada masa ini adalah mengubah minda, mengubah kongkongan dengan kita menjadi lebih persaingan, lebih kompetitif dan tidak ada lagi satu keputusan dengan sifat menganaktirikan Kelantan.

Masih ada peluang untuk pembesaran lapangan terbang, pendaratan gas di Kelantan. Meningkatkan kereta api untuk Negeri Kelantan juga masih ada peluang, menyambung lebuh raya Kuala Krai ke Gua Musang ke Jalan Tengah Semenanjung masih ada peluang.

Anggaplah ini sebagai satu letusan rakyat Kelantan untuk melihat negerinya maju sama dengan negeri lain. Jangan politikkan lebuh raya ini. Saya sendiri tidak berhasrat mempolitikkan  lebuh raya. Kerja-kerja pelaksanaan ini dibuat secepat mungkin untuk membuktikan bahawa ia adalah satu cadangan yang serius dan bukan bermaksud politik. Jika kita kata ia tidak politik, kenapa Kerajaan Pusat tidak boleh membantu?

SINAR HARIAN: Kenapa dahulukan lebuh raya sedangkan kepentingan air di Kelantan belum dapat diuruskan dengan baik lagi.
HUSAM: Kerajaan Negeri melantik saya untuk menguruskan lebuh raya. Saya hanya membuat apa yang ditugaskan. Kerajaan Pusat mesti melihat diri dia sendiri kenapa dia boleh memberi peruntukan kepada negeri-negeri lain sampai berbilion ringgit sejak tahun 1980 lagi dalam bentuk geran yang tidak perlu dibayar untuk bantuan mengurus air.

Kenapa Kelantan hanya diberi pinjaman RM500 juta lebih setelah lima tahun kemudian. Ini tidak mencukupi dengan penduduk Kelantan yang ramai. Wang yang diberikan itu dikenakan bunga tidak diberikan geran seperti negeri lain.

Mengapa ada tiga jenis perbezaan?  Kerajaan Pusat mesti jelaskan kenapa Kelantan diberikan pinjaman sedangkan negeri lain diberikan geran. Kelantan diberikan jumlah kecil sedangkan negeri lain diberi jumlah yang besar. Kelantan diberikan lewat sedangkan negeri lain diberi awal.


Saya tidak ada cita-cita politik

SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan mengenai ura-ura mengatakan Datuk akan bertanding di Parlimen.
HUSAM: Sejak saya terlibat dalam Pas, saya tiada cita-cita peribadi, saya hanya mengikut keputusan parti dari dulu hingga sekarang. Saya hanya berkhidmat sepenuh hati untuk mencapai kekuatan cita-cita parti dan mengukuhkan Kerajaan Negeri. Jika diikutkan hasrat saya tidak kisah diletakkan di mana-mana walau di dapur sekalipun kerana yang penting adalah perkhidmatan cemerlang.

SINAR HARIAN: Ura-ura itu ada kaitan dengan kemampuan Datuk di peringkat pusat dan jawatan parti yang disandang?
HUSAM: Saya tidak mendapat apa-apa arahan lagi. Saya berharap pimpinan Pas peringkat menerajui dan inovasi. Ini kerana, apabila kita tentang dengan Umno, bermakna kita bersaing untuk memberi sesuatu yang lebih baik. Pada masa ini saya tertumpu pada pembinaan lebuh raya, pendaratan gas, pembinaan stadium dan memperluaskan lapangan terbang.

Kemungkinan stadium akan dibina pada pertengahan Julai ini. Kemungkinan pendaratan gas dalam proses perundingan dengan pihak Cina dan Petronas supaya diizin didaratkan di Kelantan supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Pembesaran lapangan terbang pula, kami masih berunding tetapi dalam peringkat perbincangan untuk mencari rakan kongsi bagi tujuan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan, lapangan terbang ini diuruskan secara penswastaan untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive