Pengikut Boyzzonne

Friday, August 31, 2012

Mahkamah batal kes Sri Wani | Profesor kena bayar Rm12,000


KUALA LUMPUR – Pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah berkali-kali mengucapkan kesyukuran apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan bantahannya bagi membatalkan empat kes yang difailkan suaminya sebelum ini.
“Alhamdulillah, segala telah terbela, terima kasih kepada yang
mendoakan saya,” katanya tersenyum gembira serta turut berterima kasih kepada peguam, Boestamam Ahmad yang mewakilinya.
Apa yang lebih menggembirakan Sri Wani, 37, ialah Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan turut mengarahkan Prof. Dr. Bahrom Sanugi, 61, membayar sebanyak RM12,000 iaitu RM3,000 untuk setiap kes kepada Sri Wani sebagai kos mahkamah.
Beliau memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah tinggi di sini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau membicarakan kes tersebut.
Ini kerana, jelas Abdul Walid, pihak responden iaitu Bahrom tidak langsung membalas atau memasukkan sebarang jawapan serta afidavit yang menyangkal dakwaan pemohon (Sri Wani) bahawa alamat penyampaian saman bukan alamat tetap responden.
Sri Wani dalam bantahan awal sebelum ini menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah selepas mendakwa Bahrom menipu alamat penyampaian di Kuala Lumpur dalam semua dokumen kes tersebut sedangkan alamat sebenar adalah di Batu Caves, Selangor.
Sehubungan itu, Abdul Walid membatalkan empat kes permohonan Bahrom iaitu antaranya pengesahan nikah untuk memfaraqkan (memisahkan perkahwinan), perintah untuk menjalani ujian DNA terhadap Sri Wani dan permohonan komital untuk penjarakan pemohon kerana melanggar perintah mahkamah.
Sementara itu, peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid yang mewakili Bahrom memberitahu pihaknya akan membuat rayuan berhubung kos bayaran RM12,000 tersebut Isnin depan selain bercadang memfailkan kes pengesahan nikah dan faraq yang baharu di Negeri Sembilan.
Merujuk kepada tindakan pihaknya yang tidak memfailkan sebarang jawapan terhadap bantahan pemohon, peguam itu mengakui anak guam hanya menyewa di sebuah bilik di alamat tersebut (Taman Dato’ Senu) kerana pada ketika itu dia mendakwa diancam bunuh oleh Sri Wani.
Bahrom yang hadir bersama isteri keduanya kelihatan tenang dengan keputusan mahkamah.
Kes pasangan ini menjadi buah mulut masyarakat apabila Bahrom, bekas dekan di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan mendakwa isteri ketiganya, wanita mualaf yang dikahwini selama setahun pada 2009 adalah seorang lelaki.
Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Bahrom membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak dan mereka diarah berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive