Pengikut Boyzzonne

Thursday, September 6, 2012

Jenazah Hamzah Abu Samah dikebumi di Makam Pahlawan

NAJIB menabur bunga mawar di atas pusara Allahyarham Hamzah sambil diperhatikan oleh Muhyiddin (tiga dari kiri) di Makam Pahlawan 

KUALA LUMPUR - Jenazah Tan Sri Hamzah Abu Samah selamat dikebumikan di pekarangan Masjid Negara di sini pada kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Jenazah Allahyarham sebelum itu ditempatkan di dewan solat utama Masjid Negara pada pukul 1 petang bagi membolehkan orang ramai menziarah dan memberikan penghormatan terakhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai solat jenazah sejurus selepas solat Zuhur sebelum jenazah diusung ke kawasan pusara itu yang terletak bersebelahan Makam Pahlawan bagi upacara
pengebumian.
Turut hadir pada pengebumian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib ketika ditemui berkata, Allahyarham Hamzah memberi banyak sumbangan kepada negara melalui pelbagai jawatan yang dipegangnya sama ada dalam bidang politik atau sukan.
"Barangkali, kejayaan bola sepak tanah air dan sukan tanah air ketika Allahyarham memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia amat diingati dan dikenang oleh para peminat sukan dan rakyat," kata Najib.
Hamzah, 88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan.
Anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertahanan serta Menteri Perdagangan dan Industri.
Allahyarham yang juga adik ipar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, meninggalkan isteri Puan Sri Zainon dan tujuh anak. - Bernama

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive