Pengikut Boyzzonne

Sunday, October 28, 2012

Cemas ditanduk lembu korban

GEORGETOWN - Mungkin kerana ‘takut’ dijadikan korban, seekor lembu yang baru sahaja diikat hampir menanduk beberapa kanak-kanak.

Gambar lembu cuba melompat dan menanduk kanak-kanak berkenaan dirakam pembaca Sinar Harian, Mohd Ali Talib, 28, di salah sebuah masjid di Jelutong.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dua kanak-kanak sedang asyik
memerhatikan lembu korban berkenaan.

“Ketika itu saya hanya berniat untuk merakam suasana korban kerana lembu tersebut dikorbankan atas nama anak saya.

“Jadi niat saya ingin tunjukkannya kepada anak dan juga isteri, tetapi tidak sangka ia mengganas dan nasib baik ahli kariah sudah biasa dan menguruskannya dengan baik,” katanya.

Mohd Ali berkata, setiap kali Hari Raya Aidiladha menjelma, dia bersama adik beradik tidak akan melepaskan peluang untuk melihat orang ramai menyembelih lembu dan juga kerbau untuk dijadikan korban.

Menurutnya, namun kali ini ia adalah pengalaman manis yang dilalui sepanjang hidupnya.

“Bukan mudah hendak uruskan lembu-lembu yang hendak dijadikan korban ini, mungkin ia juga berdebar, selain kejadian hampir ditanduk lembu, ada juga lembu yang berdegil tidak mahu turun dari lori,” katanya.

Selain Mohd Ali, Yusri Suhaimi juga sempat berkongsi pengalamannya ketika menyertai suasana gotong-royong menyembelih daging korban.

“Kejadian berlaku ketika hari raya pertama Aidiladha apabila saya dan anak-anak menunggu lembu turun dari lori.

“Mungkin terlalu seronok mahu melihat lembu yang akan dikorbankan atas nama saya, kedudukan saya pada masa itu begitu dekat dengan lori sehinggalah kaki lembu yang dibawa turun menendang bahu saya sendiri.

“Sakitnya bukan kepalang tapi mungkin itu pengalaman terawal dan terakhir ditendang lembu kerana saya tidak mahu ia berlaku lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive