KESUNGGUHAN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mendapatkan khidmat pemain paling bernilai (MVP), Norshahrul Idlan Talaha mungkin terpaksa dibayar harga cukup tinggi memandangkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pastinya mahu merasai keuntungan selepas ‘melabur’ membentuk pemain itu menjadi penyerang
digeruni negara.
Adakah benar nilai RM1 juta perlu dibayar PBNJ untuk menebus baki kontrak setahun Norshahrul bersama Kelantan atau jumlahnya lebih tinggi mengikut penilaian majikannya yang kini mencongak dengan teliti kontrak itu dari sudut pasaran dan perundangan.
Situasi itu membuatkan pemain berusia 26 tahun itu ‘pening kepala’ apabila kedudukannya hingga kini belum dipastikan sedangkan dirinya secara terbuka sudah meluahkan isi hati untuk mencari angin baru selepas tiga tahun bersama Kelantan dan menyertai pasukan ‘Manchester City’ Malaysia yang baru, iaitu Johor.
Biarpun tiada pengesahan rasmi gaji RM80,000 sebulan ditawar kepada Norshahrul seperti yang dilapor media tempatan setakat ini, namun yang pasti, PBNJ menawarkan pakej menarik untuk pemain kelahiran Besut, Terengganu itu.
“Setiap pemain kalau dapat tawaran macam itu, pasti ada keinginan untuk pergi,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita semalam mengenai tawaran yang diberikan oleh Johor.
Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo yang berlepas ke Hanoi, Vietnam semalam bersama skuad Harimau Malaya kini menyerahkan kepada Kafa dan PBNJ membuat keputusan.
“Saya serahkan segala keputusan kepada mereka (Kafa dan PBNJ). Saya tak tahu perkara ini menjadi serius, tunggu selepas saya balik dari Vietnam. Saya akan beritahu keputusan daripada perbincangan itu.
“Kafa beritahu mereka sudah baca kontrak (yang diberikan oleh PBNJ) tapi mereka tak cakap tolak, mereka tidak cakap apa-apa. Sekarang saya pening tapi jurulatih (Datuk K Rajagobal) minta saya beri tumpuan kepada pasukan kebangsaan dan biar mereka (Kafa dan PBNJ) buat kerja. Saya harap mereka boleh beritahu keputusan secepat mungkin,” katanya.
Norshahrul yang dinobat MVP dan penyerang terbaik kebangsaan buat kali ketiga berturut-turut tahun ini menjadi buruan skuad Harimau Selatan selepas mempamerkan aksi mantap dengan meledak dua gol ketika membantu Kelantan menewaskan ATM, 3-2 pada final Piala Malaysia, piala ketiga musim ini selepas Liga Super dan Piala FA.
Penyerang itu ke Hanoi bagi aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan menentang Vietnam esok dan akan ke Chiang Mai bagi perlawanan dengan Thailand pada 7 November sebelum pulang ke tanah air.
Norshahrul adalah tonggak utama Harimau Malaya ketika menjulang Piala Suzuki AFF dua tahun lalu dan sekali lagi bakal menjadi taruhan utama Rajagobal untuk menerajui barisan serangan melaksana misi mempertahankan kejuaraan hujung bulan ini.
No comments:
Post a Comment