Pengikut Boyzzonne

Sunday, September 9, 2012

Igauan suami isteri jadi kenyataan, rumah di tepi jalan dirempuh Datsun Merah

Mahani menunjukkan kereta yang merempuh bumbung tandas rumahnya kelmarin.

PELANGAI – Igauan sepasang suami isteri bimbang rumahnya yang terletak di tepi jalan dirempuh kereta akhirnya menjadi kenyataan apabila sebuah kereta lama jenis Datsun berwarna merah terbang ke
bumbung rumahnya, di Kampung Pelangai Hilir, di sini kelmarin.
Mangsa, Mahani Kahar, 68, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja menunaikan solat Asar sementara suaminya sedang menonton televisyen di ruang dapur yang hanya beberapa meter dari tandas.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang sewaktu hujan renyai.
"Saya dengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan dan beranggapan mungkin berlaku kemalangan kerana rumah saya berada di tepi jalan utama dari Bahau ke Kuala Pilah.
"Sejurus keluar, saya terkejut apabila melihat sebuah kereta sudah merempuh bumbung tandas menyebabkan salah satu tayar kereta terbabit tercampak," katanya.
Mahani berkata, mujur remaja lelaki bersama rakannya berusia 20-an tidak mengalami kecederaan serius.
"Remaja itu memberitahu dia membawa laju dan terbabas ke kiri jalan lalu tidak sempat membrek hingga melambung ke atas bumbung tandas rumah saya," katanya.
Katanya, jalan selekoh di tepi rumahnya itu sememangnya sering berlaku kemalangan dan merbahaya.
"Adakalanya kereta terbabas ke kiri jalan namun saya tidak menyangka rumah saya terbabit dalam kemalangan untuk kali pertama ini.
"Saya bersyukur tiada siapa di dalam tandas berkenaan, jika tiada pasti berlaku perkara tidak diingini," katanya.
Malah katanya, demi menjaga keselamatan keluarga, permohonan bagi membina besi pengadang sudah diusulkan kepada pihak berkaitan namun masih tiada jawapan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek menghulurkan bantuan kilat bagi membaiki kerosakan akibat kemalangan.
Dalam pada itu, Setiausaha Sulit Parlimen, Zain Zainal berkata, beliau telah menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memantau jalan utama.
Malah, pihaknya meminta  JKR memasang besi pengadang di laluan selekoh itu bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
"Mujur sekarang hanya merempuh bahagian tandas yang tiada orang, di waktu akan datang kita tidak tahu.
"Jadi untuk meredakan kebimbangan saya harap pihak JKR dapat memasang besi tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive