PUTERA William dan isteri melihat bunga orkid yang diberi nama sempena nama ibunya, Puteri Diana di Taman Botanikal Singapura |
SINGAPURA - Putera William dan isterinya, Catherine tiba di negara ini semalam bagi memulakan lawatan ke Asia Tenggara dan Asia Pasifik sempena pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II.
Dalam lawatan selama sembilan hari itu, Duke dan Duchess of Cambridge akan singgah ke Malaysia, Kepulauan Solomon dan Tuvalu.
Catherine turut dijadual memberi ucapan pertamanya di luar negara sebagai
tanggungjawab rasmi beliau dalam kerajaan monarki Britain.
Acara pertama pasangan popular itu adalah melawat Taman Botanikal Singapura di mana sekuntum bunga orkid akan dinamakan sempena nama mereka.
Taman orkid itu juga mempunyai bunga yang dinamakan sempena nama Ratu Elizabeth II yang kali terakhir melawat Singapura pada tahun 2006 dan nama ibu William, Puteri Diana yang maut pada tahun 1997 dalam satu kemalangan kereta di Paris.
"Tujuan lawatan ialah bagi meraikan sambutan pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II," kata Setiausaha Peribadi Duke and Duchess of Cambridge, Jamie Lowther-Pinkerton.
William dan Catherine yang berkahwin pada April tahun lalu akan berada di sini hingga Khamis. Mereka kemudian akan ke Malaysia dan melawat Kuala Lumpur serta Sabah bermula 13 hingga 15 September ini.
Di Malaysia, Catherine dijangka menyampaikan ucapan kepada kakitangan dan pesakit dalam satu program kesihatan. - AFP
No comments:
Post a Comment