Pengikut Boyzzonne

Friday, September 14, 2012

'Toyol kabel' kantoi dipenjara 31 bulan

KUALA TERENGGANU - Individu paling aktif melakukan curi kabel milik syarikat Telekom Malaysia (TM) di sekitar kawasan Manir, di sini dikenakan hukuman penjara selama 31 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Abdullah Embong, 32, yang turut digelar ‘toyol kabel’ disebabkan hobinya yang suka mencuri kabel itu dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas empat pertuduhan memiliki harta curi iaitu kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, Abdullah didakwa pada 9 September lalu kira-kira jam 4.40 petang di kawasan semak berhampiran sawah padi Kampung Kubang Lembik, Manir,
di sini, memiliki harta curi iaitu empat keratan kulit kabel milik TM berharga RM5,000.

Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa pada 10 September lalu kira-kira jam 4 petang di kawasan sama memiliki harta curi, iaitu enam urat kabel TM.

Selain itu, bagi pertuduhan ketiga, dia yang memiliki tiga rekod jenayah lampau itu didakwa memiliki empat urat kulit kabel milik TM di lokasi sama pada 8 September lalu kira-kira jam 3.30 petang dan pertuduhan keempat, dia didakwa pada 11 September lalu kira-kira jam 5 petang di kawasan semak itu dan jalan Simpang Padang Machang, Manir, di sini, memiliki kabel sepanjang 120 meter milik TM.

Selepas pengakuan bersalah Abdullah bagi keempat-empat pertuduhan itu direkodkan, Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan 10 bulan penjara untuk pertuduhan pertama dan 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua yang mana kedua-dua hukuman itu diarahkan berjalan serentak.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, Noradila menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara dan 10 bulan penjara bagi pertuduhan keempat dan kedua-dua hukuman diarahkan berjalan berasingan.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan seorang buruh yang dipercayai antara individu paling ‘aktif’ melakukan kegiatan curi kabel milik syarikat TM di sekitar kawasan Manir, di sini, dicekup polis manakala rakannya ‘Sirul’ masih diburu.

Susulan penahanannya, polis berjaya menyelesaikan 13 kes kecurian kabel di sekitar kawasan Manir milik TM yang melibatkan kerugian RM50,000 selain berjaya mengesan kedai-kedai barang lusuh yang menyediakan perkhidmatan membeli tembaga-tembaga curi di sekitar kawasan itu.

Modus operandi yang digunakan Abdullah bersama rakannya adalah dengan membuat rondaan dengan motosikal pada sebelah malam bagi mengenal pasti kawasan yang akan menjadi sasaran.

Selepas itu, mereka berdua akan melakukan kerja-kerja memotong kabel antara jam 3 atau 4 pagi yang mana ketika itu, penduduk setempat sedang tidur, sebelum memotong kabel manakala rakannya menarik kabel itu ke dalam semak dan proses pengasingan tembaga bermula dengan cara membakarnya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive