Pengikut Boyzzonne

Wednesday, December 19, 2012

Pengakuan Zila Bakarin Yang Sangat Berani


Zila Bakarin

Zila bersama barisan pelakon drama Setia Hujung Nyawa.


SEBUT sahaja nama Zila Bakarin, pasti minda akan segera terarah pada susuk tubuh putih gebu yang sering menjayakan watak antagonis dalam hampir setiap drama lakonannya.

Sedar akan hakikat itu, Zila atau nama sebenarnya, Rosmawati Bakarin mendedahkan dia sebenarnya lebih selesa menjayakan watak atau karakter antagonis.

"Biarpun orang label saya sebagai pelakon stereotaip, tapi pada saya, saya rasa lebih selesa membawa watak perempuan jahat. Saya suka pada watak yang menjadi pencetus kepada segala masalah dalam sesebuah cerita.

"Pernah saya menjayakan watak ibu yang baik, namun akhirnya saya ditegur pengarah kerana katanya, gaya saya seperti mahu memikat anak saya pula. Malah kadangkala saya jadi tertekan kerana perlu mengawal segala tindak tanduk, kawalan suara, reaksi muka dan banyak lagi," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Zila berkata, selain watak wanita jahat, dia juga kini sering diberi kepercayaan membawakan watak ibu, namun masih bersifat antagonis.

Katanya, faktor kebanjiran pelakon terutamanya pelakon muda pada masa kini membuatkan dia tidak boleh bersikap selektif dalam menerima tawaran.

"Kalau saya menolak tawaran, ibaratnya macam saya menolak rezeki. Karier lakonan adalah sumber periuk nasi saya dan saya kena jaga.

"Walaupun saya sering membawakan watak yang sama, namun saya akan pastikan imej dan intonasi suara saya berbeza untuk setiap drama yang dilakonkan.

"Apa yang penting, setiap kali berlakon, saya akan pastikan buat sebaik mungkin dengan ikhlas dan jujur. Saya tidak pernah buat kerja sambil lewa kerana pada saya, kerja itu adalah amanah," ujarnya.

Masih seksi

Selain watak antagonis, satu perkara yang bagai sudah sebati dengan wanita berusia 37 tahun ini, adalah imej seksinya.

Malah, biarpun kini sudah bergelar ibu kepada dua puteri - Kaseh dan Chinta, namun, masih ramai yang melabelkan Zila sebagai wanita seksi.

"Bila usia semakin meningkat, sebolehnya saya mahu kurangkan imej seksi. Kadangkala saya rasa, saya masih seksi, tapi tidaklah seperti zaman sebelum saya berkahwin.

"Apatah lagi kini, apabila saya terlibat dengan penggambaran, pihak produksi dari awal lagi sudah ingatkan saya supaya tidak berpakaian terlalu seksi. Ini juga menyebabkan saya kadangkala jadi risau bila berpakaian," jelasnya.

Ditanya tidakkah dia berkeinginan untuk bertudung, Zila berkata, dia mahu mengubah dirinya terlebih dahulu sebelum memakai tudung.

"Saya tidak mahu,  bertudung litup, tapi mulut masih jahat, mengata orang, mengutuk orang. Biarlah saya ubah perangai saya dahulu dan seterusnya menjadi Muslimah yang baik," katanya.

Akui menyesal

Dalam pada itu, Zila sempat berkongsi kekesalannya kerana membuat suntikan pada bahagian dagu dan bibirnya lebih empat tahun lalu sehingga merubah wajahnya.

Katanya, kerakusannya untuk mengikut apa yang dilakukan orang lain membuatkan dia merasa sangat bersalah kerana mengubah ciptaan ALLAH SWT.

"Kalau masa boleh diputar ke belakang, saya memang tak akan lakukan suntikan pada wajah. Walaupun sudah lebih empat tahun saya tidak menyuntik apa-apa pada wajah, tapi bentuk tersebut masih kekal.

"Bila saya lihat gambar lama, saya rasa wajah saya sudah cukup sempurna.

"Jadi pada sesiapa yang mahu menyuntik atau mengubah wajah, saya rasa baik lupakan sahaja niat mereka itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

SHARE THIS

Blog Archive