Gambar:Asap tebal menyelubungi udara selepas berlaku letupan dalam kejadian lori tangki membawa minyak tumpah di Port Harcourt semalam mengakibatkan 95 orang terbunuh dan 18 lain cedera. – AFP
PORT HARCOURT, Nigeria 12 Julai – Sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh setelah mereka cuba mencedok minyak petrol yang tumpah dari sebuah lori tangki yang terbalik sebelum ia terbakar dalam satu kejadian di sini, hari ini.
Komander sektor Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan, Kayode Olagunju berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan itu berlaku ketika lori tangki itu cuba mengelak satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah bas.
Menurut saksi, sejurus kemalangan itu berlaku, ratusan penduduk sekitar tempat kejadian berpusu-pusu mengerumuni lokasi kejadian bagi mengambil minyak yang tumpah dari lori itu.
Tiba-tiba berlaku satu letupan diikuti dengan kebakaran. Sebanyak 93 orang rentung, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital dan 18 lagi parah,” katanya.
Jurugambar AFP berkata, kebanyakan yang terbunuh merupakan pengendali teksi motosikal ‘Okada’ yang berlumba-lumba memenuhkan tangki kenderaan masing-masing.
Olagunju berkata, sekurang-kurangnya 34 motosikal musnah dalam kebakaran itu. – AFP
No comments:
Post a Comment